Tuesday, February 24, 2009

Banyaknya RM18 Bilion...Tapi Depa Kata Ia Tak Ada Nilai Apa-Apa


Datuk Seri Najib Razak seperti yang dilaporkan Utusan Online berkata bahawa kemerosotan nilai portfolio Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebanyak 20.18 peratus atau RM18 bilion bukan satu kerugian sebenar. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia sebenarnya kemerosotan nilai saham syarikat milik (GLC) yang tersenarai di bawah Khazanah secara keseluruhan berpunca daripada kemerosotan pasaran saham global. Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, secara dasarnya, kedudukan kewangan GLC yang dikuasai Khazanah kekal kukuh dengan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) berbanding liabiliti sebanyak 1.9 kali ganda.

Bagi mereka yang tidak terdidik dalam bidang ekonomi pasti sukar memahami maksud terma untung rugi yang dinyatakan oleh Najib dalam kenyataannya itu. Malah bagi kebanyakan rakyat biasa kenyataan itu jika dibaca boleh mengundang kekeliruan dan seperti kenyataan yang tidak membawa apa-apa erti. Ya, tidak membawa apa-apa erti kerana ramai yang tidak faham apa itu GLC, apa itu RAV dan apa itu liabiliti.

Mula-mula Najib bercakap mengenai kerugian Khazanah sekitar RM18 bilion (ooo...banyak tu!!), tetapi kemudian dia berkata itu bukan kerugian sebenar. Jika itu bukan kerugian sebenar, rakyat tersangat ingin tahu berapa nilai kerugian sebenar - RM17 bilion, RM16 bilion, RM15 bilion, atau berapa bilion? Jika ada yang tidak sebenar, pasti ada yang sebenar, jadi berapa yang sebenar itu?

Beliau seterusnya berkata kemerosotan nilai portfolio Khazanah itu berpunca dari kemerosotan nilai saham syarikat milik kerajaan (GLC) yang tersenarai di bawah Khazanah akibat daripada kemerosotan pasaran saham global. Namun katanya kedudukan kewangan GLC yang dikuasai Khazanah kekal kukuh dengan nilai aset boleh direalisasikan (RAV) berbanding liabiliti sebanyak 1.9 kali ganda. Ramai tentu tidak faham mengapa GLC yang rugi sebanyak RM18 bilion tetap ditakrifkan mempunyai kedudukan kewangan yang 'kekal kukuh'. Banyak sangatkah nilai aset GLC di bawah Khazanah hingga rugi RM18 bilion masih dianggap seperti tidak ada apa-apa?

Nilai RM18 bilion bagi kebanyakan kita yang bukan jutawan ini adalah satu angka yang sangat besar. Mana tidaknya, dengan RM18 bilion kerajaan boleh bina 50,000 unit rumah kos rendah bernilai RM35,000 seunit (harga rumah kos rendah ialah antara RM25,000-RM42,000 seunit). Dengan RM18 bilion kerajaan boleh bina 6,000 buah sekolah rendah bernilai RM3 juta setiap sekolah. Dengan RM 18 juta juga kerajaan mampu membina 1,800 klinik kesihatan kecil dengan nilai RM10 juta setiap satu atau 150 buah hospital yang bernilai RM120 juta setiap satu.

Betapa banyaknya RM18 bilion untuk kita rakyat marhaen ini. Tapi Timbalan Perdana Menteri kata RM18 bilion bukan satu kerugian sebenar, ia seperti tiada ada apa-apa. Memang benar RM18 bilion seperti tidak begitu bernilai bagi mereka yang sudah biasa dengan angka juta-juta itu. Tapi bagi majoriti rakyat yang hanya pernah melihat wang bernilai puluh dan ratus dan jarang-jarang memegang wang bernilai ribu, nilai RM18 bilion itu tersangatlah besar!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.