Sunday, February 22, 2009

Beranikah Pemuda UMNO Kedah Membuat Laporan Polis Terhadap Mahdzir Khalid?


Tindakan Speaker DUN Perak, V. Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak dan enam EXCOnya telah menerima reaksi yang sungguh hebat. Sehingga kini sudah lebih 10 laporan polis dibuat terhadap Sivakumar, sebahagian besar dari bahagian-bahagian UMNO dan NGO yang berpusat di Perak.


Namun antara adua-aduan polis yang telah dibuat mengenai perkara ini, saya tertarik dengan satu aduan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yang dibuat terhadap Sivakumar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kuah, Langkawi. Saya bukan tertarik kerana aduan itu datang dari Kedah, tetapi kerana keikhlasan Pemuda UMNO Kedah untuk memperjuangkan isu yang berlaku di Perak itu. Namun bagi saya keikhlasan sahaja tidak membawa kita ke mana-mana tanpa disokong oleh sebuah keberanian. Dan saya percaya ketika membuat laporan polis itu, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah pasti pergi diiringi dengan sifat ikhlas dan berani itu.

Cuma ketika teringat tindakan Pemuda UMNO Kedah itu, saya juga teringatkan kisah mantan Menteri Besar mereka, Mahdzir Khalid yang telah dirakam percakapan cuba menyogok sejumlah wang kepada ADUN Kulim dari PKR untuk keluar dan menyertai BN. Jika perbuatan Sivakumar dianggap tidak mematuhi undang-undang dan perlembagaan negara, maka perbuatan Mahdzir yang cuba menyogok itu juga pasti dilihat oleh Pemuda UMNO Kedah dari sudut yang sama. Oleh itu jika mereka dengan jujur serta berani ke IPD Langkawi untuk membuat laporan terhadap Sivakumar, saya rasa tidak salahnya Pemuda UMNO Kedah dengan kejujuran dan keberanian yang sama melaporkan juga kepada polis perihal apa yang telah dilakukan oleh Mahdzir itu. Walaupun jumlah wang yang dikatakan cuba disogok Mahdzir kepada ADUN Kulim itu tidak banyak - cuma RM5 juta sahaja - tetapi ia tetap sesuatu yang serius dan oleh itu aduan perlu dibuat oleh sebuah pertubuhan yang cuba memperlihatkan keberanian dan kejujurannya seperti Pemuda UMNO Kedah itu.

Cuma persoalannya bilakah Pemuda UMNO Kedah akan membuat laporan Polis terhadap Mahdzir dan beranikah mereka?

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.