Friday, February 13, 2009

Cetusan Rasa Rakyat Tamil Yang Sukar Difahami


Ketika melalui bulatan kecil berdekatan Stadium Darulaman , Alor Setar pagi tadi, saya terserempak satu kain rentang bertulis tangan tertera:


"May God Save Us And Tamil People Sri Lanka From Tsunami & Gempa Bumi"

Tidak tahulah siapa yang menulis kain rentang itu. Walau bagaimanapun, berdasarkan makna yang tersirat, ia seperti ditulis oleh mereka yang bersimpati dengan nasib orang Tamil negara ini dan juga Sri Lanka. Tulisan di kain rentang itu jika dihalusi mempunyai 2 ayat yang mempunyai makna tersendiri:

i) "May God Save Us From Tsunami and Gempa Bumi"; dan

ii) "May God Save Tamil People Sri Lanka From Tsunami and Gempa Bumi"

Lebih mudah rasanya memahami perkataan "May God Save Tamil People Sri Lanka From Tsunami and Gempa Bumi" dari memahami perkataan "May God Save Us From Tsunami and Gempa Bumi".

Ayat "May God Save Tamil People Sri Lanka From Tsunami and Gempa Bumi" pasti merujuk kepada kempen ketenteraan Kerajaan Sri Lanka kini ke atas gerila Tamil LTTE. Bagi orang-orang Tamil, termasuk di Malaysia, ramai yang menganggap kempen ketenteraan Kerajaan Sri Lanka itu adalah satu penghapusan terancang etnik Tamil kerana ramai dari kaum itu telah terbunuh. Tentu ramai rakyat Tamil negara ini yang bersimpati dengan nasib rakyat Tamil Sri Lanka, sebagaimana rasa simpati sebahagian besar rakyat beragama Islam negara ini terhadap nasib rakyat Palestin yang sedang diganyang oleh tentera Zionis Israel.

Namun ayat "May God Save Us From Tsunami and Gempa Bumi" agak sukar difahami. Dalam hati tertanya-tanya jika "us" yang dimaksudkan itu ialah kita rakyat Malaysia, apa pula maksud "tsunami" dan "gempa bumi" dalam ayat itu? Mungkinkah ia bermaksud "tsunami dan gempa bumi politik" tanah air yang sangat mengguris hati rakyat Tamil negara ini?

Apakah krisis politik Perak begitu mengguris hati rakyat Tamil negara ini kerana dalam kerajaan baru BN Perak hari ini tiada seorang pun kaum India yang menjadi EXCO Kerajaan Negeri, mahu pun jawatan-jawatan tinggi lain seperti Speaker sebagaimana dalam kerajaan negeri di bawah PR sebelum ini? Atau ayat dalam kain rentang itu ditujukan kepada krisis terbaru politik Kedah yang membabitkan EXCO tunggal dari kaum Tamil yang juga ADUN Bukit Selambau yang terpaksa meletak jawatan? Apakah ketiadaan jawatan tertinggi dari kalangan kaum Tamil yang membarisi kepimpinan Kerajaan Negeri Perak dan Kedah kini merupakan satu malapetaka yang dianggap sebagai tsunami dan gempa bumi kepada orang-orang Tamil negara ini?

Sekiranya kesan krisis politik di Perak dan Kedah dianggap oleh orang-orang Tamil sebagai malapetaka yang besar kepada mereka, apakah yang bakal mereka lakukan? Mungkin mereka akan melakukan sesuatu dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau kelak. Lihatlah arah sokongan mereka dalam pilihan raya itu nanti, mungkin di situ ada jawapannya terhadap maksud kain rentang tersebut.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.