Thursday, February 5, 2009

Darurat Bagi Merungkai Krisis Di Perak?

Jika krisis perlembagaan berterusan, mungkinkah darurat akan diisytiharkan di Perak? Persoalan ini dilontarkan berdasarkan sejarah lepas yang berlaku di mana keengganan Menteri Besar/Ketua Menteri meletakkan jawatan telah menyebabkan Kerajaan Persekutuan terpaksa mengisytiharkan darurat di negeri berkenaan. Dalam sejarah politik Malaysia sebelum ini seorang Menteri Besar dan seorang Ketua Menteri pernah enggan meletak jawatan dan akhirnya darurat terpaksa diisytiharkan.

Yang pertama berlaku di Sarawak apabila Stephen Kalong Ningkan yang menjadi Ketua Menteri pada Julai 1963. Bagaimanapun beliau disingkirkan oleh Gabenor kerana tidak lagi mendapat sokongan majoriti daripada Dewan itu dan Gabenor tersebut terus melantik seorang Ketua Menteri baru.

Tetapi Ningkan enggan meletak jawatan. Keengganan Ningkan mengosongkan jawatannya menyebabkan satu krisis perlembagaan berlaku di Sarawak. Bagi mengatasi krisis itu, pada 14 September 1966, Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan zarurat di Sarawak.

Satu lagi yang membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohamed Nasir pada 1977, yang tidak memperdulikan usaha untuk menyingkirkan beliau daripada jawatannya. Dan akhirnya Kerajaan Persekutuan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan perintah darurat di negeri itu.

Hari ini, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah memerintahkan Mohammad Nizar dan anggota Exco negeri beliau meletakkan jawatan berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mohammad Nizar enggan meletakkan jawatan berpandukan peruntukan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak.

Krisis perlembagaan sedang berlangsung kini di Perak berikutan keengganan Nizar meletak jawatan. Adakah darurat bakal diisytiharkan bagi merungkai krisis itu? Atau Sultan bakal menggunakan kebijaksanaan baginda dengan mengisytiharkan pembubaran DUN bagi memberi peluang rakyat menggunakan suara mereka sejajar dengan prinsip demokrasi negara ini?

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.