Monday, February 23, 2009

Delegasi Peguam Zambry Seharusnya Ke Bangkok, Bukannya London!

Kabar yang diperolehi dari star online melaporkan Menteri Besar kudeta Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam Exconya yang digantung daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) antara 12 dan 18 bulan, mahu mendapatkan panduan Peguam Diraja British berhubung krisis perlembagaan Perak. Sehubungan itu, beberapa anggota pasukan peguam mereka dijadual berlepas ke London hari ini. Turut bersama mereka ialah salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Menurut sumber itu, mereka akan mendapatkan pandangan kedua berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar menggantung mereka dan juga tindakan perundangan yang diambil oleh Menteri Besar dalam buangan Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin.

Meneliti berita itu, di benak saya terfikir beberapa persoalan.

Soalan pertama ialah tentang kos pembiayaan. Apakah pemergian delegasi peguam itu ke London atas pembiayaan sendiri atau dibiayai oleh Kerajaan Negeri Perak? Jika barisan peguam itu ke London adalah untuk mempertahankan sebuah pulau di Perak yang terlibat dalam pertikaian hak milik dengan kuasa asing, ia memang wajar ditanggung oleh Kerajaan Negeri, kerana ia ada hubungan dengan maruah Perak. Atau jika delegasi untuk menarik pelabur ke Perak, ia wajar menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri. Namun jika mereka pergi hanya untuk mempertahankan jawatan yang disandang Zambry dan para EXCOnya yang kelihatan bersifat tuntutan peribadi itu, wajarkah ia ditanggung oleh Kerajaan Negeri?

Soalan kedua ialah tidakkah langkah Zambry ke London itu boleh menimbulkan tohmahan bahawa beliau dan kerajaan negeri yang dipimpinnya cuba bersekongkol dengan kuasa Barat seperti yang seringkali pemimpin BN katakan jika ia membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang berurusan dengan negara luar? Ini kerana sejak lebih 10 tahun lepas apa-apa saja yang berbentuk pertemuan atau kenyataaan yang membabitkan pemimpin PR dan pemimpin asing dikatakan sebagai usaha untuk bersekongkol atau menjadi dalang kepada kuasa asing. Apabila mantan Naib Presiden Amerika, AlGore mengkritik kerajaan Malaysia pada 1998, media kita dengan pantas menuduh pemimpin pembangkang adalah dalang Amerika. Apabila Vernor Munoz (US Special Repporteur On The Right To Education) pada Februari 2007 mengkritik sistem pendidikan Malaysia yang dituduh tidak berlaku adil kepada semua kaum, sekali lagi pemimpin pembangkang dipersalahkan. Begitu juga apabila Theiry Rommel (Ketua Delegasi EU) mengkritik DEB pada Jun 2007, ia dikatakan hasil kerja Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dan apabila pada Jun 2008, Tom Casey (Jurucakap Jabatan Negara Amerika) memohon kerajaan Malaysia menyiasat kes Anwar tanpa didorong oleh sentimen politik, sekali lagi PR khususnya Anwar Ibrahim dipersalahkan kerana menyebabkan kenyataan itu dikeluarkan. Kritik yang paling lazim digunakan terhadap Anwar dan pemimpin PR ialah mereka adalah dalang Barat dan bersekongkol dengan Zionis.

Dan sekarang apabila pasukan peguam Zambry ke London, ibu kota yang sering dirujuk ada hubungan dengan regim Zionis itu, adakah kita boleh menganggap pemimpin BN Perak bersekongkol dengan kuasa Barat dan Zionisme?

Dan yang ketiga ialah mengapa Zambry memilih London untuk meminta nasihat dan tidak ke kota lain yang lebih dekat? Bagi saya tempat yang paling sesuai untuk Zambry mendapatkan nasihat ialah Bangkok, bukannya London!

Mengapa Bangkok? Saya katakan Bangkok kerana Thailand mempunyai sejarah rampasan kuasa yang sangat hebat. Bayangkan sejak tahun 1932 hingga kini, 17 rampasan kuasa telah berlaku di negara gajah putih itu. Sepanjang tahun 1970an sahaja 5 rampasan kuasa telah berlangsung di Thailand, manakala sepanjang tahun 1980an dan sepanjang tahun 1990an masing-masing berlaku 2 rampasan kuasa bagi setiap dekad. Malah pada tahun 1976 dan 1977 berlaku 2 rampasan kuasa pada setiap tahun yang menceritakan betapa kayanya negara itu dengan sejarah rampasan kuasanya.

Memandangkan Zambry telah dilantik menjadi Menteri Besar hasil dari satu rampasan kuasa pada 6 Februari lepas, jadi tentu lebih sesuai untuk beliau menghantar delegasi ke Bangkok bagi mempelajari kehebatan dan pengalaman rampasan kuasa di Thailand dan bukannya ke London yang tiada pengalaman sedemikian.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.