Friday, February 6, 2009

Demokrasi Atau Dia Mau Kerusi?

Semasa ayah saya masih hidup dahulu, beliau yang merupakan penyokong UMNO totok pernah memberi definasi demokrasi yang ketika itu saya anggap melucukan. Kata ayah demokrasi bermakna dia mau kerusi.

Maksud ayah saya mudah saja: apa yang digelar sebagai sistem demokrasi
di negara ini sebenarnya hanya satu perjuangan untuk mendapatkan kerusi. Ahli politik bukan menggunakan demokrasi untuk kesejahteraan rakyat, tetapi semata-mata untuk mendapatkan kerusi, untuk kuasa.

Dan hari ini apabila Kerajaan Negeri Perak yang dipilih oleh rakyat ditumbangkan dalam rampasan kuasa yang menjelikkan dan diizinkan pula oleh sistem demokrasi kita, saya semakin yakin apa yang allayarham katakan itu benar belaka: tujuan demokrasi hanyalah untuk mendapatkan kerusi, untuk mendapatkan kuasa! Dan untuk mendapatkan kerusi apa sahaja boleh dilakukan berdasarkan prinsip tujuan menghalalkan cara. Sebab itulah ada Wakil Rakyat dicolek, ada yang disogok, ada yang dijanjikan sesuatu dan sebagainya. Segala-galanya dilakukan demi untuk mendapatkan kerusi, tidak kiralah melalui jalan biasa atau jalan belakang seperti yang berlaku di Perak. Untuk mendapatkan kerusi maruah digadai, untuk mendapatkan kerusi halal haram dikesampingkan, untuk mendapatkan kerusi suara rakyat tidak dipedulikan.

Demokrasi bukan bererti sebuah kerajaan yang dibina berdasarkan konsep 'dari rakyat untuk rakyat' seperti yang kita pelajari di sekolah dahulu, kerana jika konsep ini digunakan pasti Perak masih kekal di bawah PR yang telah memberinya mandat dalam PRU ke-12 dahulu. Tetapi kerana demokrasi hanya untuk mendapatkan kerusi, maka segala ikhtiar dibuat untuk mendapatkan kerusi, termasuk mencurinya menerusi jalan belakang.

Apabila anak-anak anda atau cucu anda yang baru belajar subjek sivik bertanya: apa erti demokrasi; jawablah kepada mereka dengan jujur: demokrasi bermakna dia mau kerusi!!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.