Friday, February 20, 2009

Jaga-Jaga Tuanku, Takut Keris Yang dihunus Itu Sekali Lagi Mengerat Lidah Tuanku!


Pada 6 Februari 2009, negara ini mencatatkan episod yang akan terus dikenang oleh generasi akan datang: rampasan kuasa dengan cara paling tidak bermoral. Bermula dengan ugutan, penculikan, m.c. yang diragui kesahihannya, keluar parti dan akhirnya majlis pengisytiharan rampasan kuasa junta baru BN di Perak.


Lepas itu bermulalah siri demonstrasi menyokong suara rakyat yang dipelopori PR, manakala satu pihak lagi mengadakan demonstrasi menyokong raja-raja yang dipelopori oleh UMNO. Jika demonstrasi menyokong suara rakyat melibatkan ketiga-tiga komponen PR, demonstrasi menyokong raja hampir tidak melibatkan parti-parti komponen BN yang lain. Dengan kata-kata lain UMNO bersendirian dalam isu itu, 13 parti komponen BN lain seperti tidak peduli. MCA, MIC, Gerakan, PPP, PBS, Parti Pesaka Bumiputra dan lain-lain parti dalam komponen BN tidak pernah pun terdengar berdemonstrasi untuk isu derhaka. Mereka membiarkan UMNO menyalak seorang diri setiap hari. Kasihan UMNO, bersendirian dengan isu derhakanya seperti kisah si-luncai yang bersendirian dengan labu-labunya.

Dan malam tadi kononnya 3,000 pemuda BN mengadakan demonstrasi menyokong raja dan menentang 'penderhakaan' di PWTC (kata mereka yang bijak mengira matematik dalam Bahasa Inggeris jumlah yang hadir cuma 300 sahaja). Yang hadir pula rata-ratanya berkulit sawo matang, tapi adalah juga beberapa kerat yang berkulit cerah dan bermata sedikit sepet dan juga berkulit gelap. Kata yang empunya cerita Ketua Pemuda UMNO memaksa semua sayap pemuda komponen BN hadir, tetapi malangnya sambutan dari parti-parti selain UMNO sangat meleset. Perhimpunan tersebut turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin, Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan mantan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo. Ketua-Ketua Pemuda dari komponen BN lain dilaporkan tidak hadir. Perhimpunan tersebut diisi dengan beberapa ucapan dan berakhir dengan laungan "Daulat Tuanku".

Yang menjadi tanda tanya mengapa parti komponen BN yang lain tidak berminat dengan demonstrasi menyokong raja dan tidak berminat menjerit "Daulat Tuanku"?. Mengapa UMNO ditinggalkan bersendirian menghadapi isu yang mereka anggap besar itu?

Mungkinkah parti lain tidak berminat dengan isu 'derhaka' yang dimainkan oleh UMNO itu kerana mereka sangat arif siapakah penderhaka sebenar? Mereka pasti telah mempelajari sejarah penderhakaan terhadap Raja selepas merdeka yang bermula dengan kisah penderhakaan Ghazali Jawi di Perak pada 1970an, Muhammad Muhd Taib di Selangor pada 1980an, Dr Mahathir dan semua kepimpinan UMNO ketika isu pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993 dan berakhir dengan penderhakaan Idris Jusoh dan Shahidan Kassim pada awal tahun lepas. Jika dikira sejarah penderhakaan UMNO adalah sungguh panjang, cukup untuk menyediakan satu thesis peringkat masters mahupun Ph.D.

Dan kini apabila UMNO menyalak dengan slogan "Daulat Tuanku", parti-parti komponen BN lain tidak berminat untuk turut menyalak. Parti-parti komponen lain seperti tahu salakan itu ibarat seekor anjing sakit tenat yang menyalak bukan untuk menakut-nakutkan pencuri yang cuba menceroboh rumah pemiliknya, tetapi salakan itu sekadar untuk memberitahu orang lain bahawa dia hampir mati dan minta dikasihani.

Kepada orang-orang biasa yang memahami sejarah pula mereka melihat demonstrasi UMNO menyokong raja itu tidak lebih dari satu lakon lawak yang melucukan. Ia tidak lebih dari kisah gerombolan penyamun yang menyerang sebuah kampung dan selepas mengumpul semua barang yang disamun gerombolan penyamun itu menjerit-jerit, "Penyamun-penyamun!". Mereka cuba mengaburi orang kampung mereka bukanlah penyamun, sedangkan orang kampung tidak pernah lupa merekalah penyamun yang paling berbahaya di Malaysia.

Kini sudah hampir dua minggu penyamun yang paling berbahaya di Malaysia itu menjerit-jerit, menyalak-nyalak dan melolong-lolong kata-kata, "Penyamun, penyamun!". Namun rakyat sudah muak dan telinga sudah hampir pekak mendengar jeritan hipokrit yang sama setiap hari.

Daulat Tuanku, Tuanku tentu tidak lupa siapa penderhaka yang kini sedang menghunus keris, menyalak dan berpura-pura setia di hadapan Tuanku, kan? Jaga-jaga dengan keris yang dihunus itu Tuanku, kerana keris yang sama pernah digunakan untuk mengerat lidah Tuanku pada 1983 dan 1993 dahulu!

Oleh: pendikar gunung kriang



No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.