Thursday, February 26, 2009

Kelmarin Satu Lagi Rekod Negara Yang Paling Lucu Di Dunia Tercipta Di Malaysia


Malaysia memang negara yang banyak mencipta rekod dunia. Semuanya menyentuh mengenai rekod-rekod keganjilan, keanehan dan kelucuan pemimpin-pemimpinnya. Dulu pernah ada rekod Menteri Besar melarikan anak Raja di Selangor. Ada juga rekod perogol bersiri bergelar Ketua Menteri memperkosa seorang kanak-kanak perempuan 14 tahun di Melaka. Anehnya Ketua Menteri itu dilepaskan, tetapi pembela kepada si-gadis Melayu yang merupakan seorang wakil rakyat Cina dipenjarakan 18 bulan atas tuduhan mempertahankan kehormatan seorang gadis Melayu.

Lepas itu ada pula rekod Ketua Polis Negara (KPN) memukul mantan Timbalan Perdana Menteri hingga lebam. Sebagai hukuman Ketua Polis Negara itu dihukum 2 minggu penjara, manakala mangsanya pula dihukum lebih berat iaitu penjara 9 tahun atas tuduhan membiarkan dirinya dipukul teruk oleh KPN dalam keadaan tangan bergari. Selain itu ada juga rekod seorang Menteri Besar yang membawa wang tunai $Aust 2.4 juta ke Brisbane dan dalam perbicaraan Menteri Besar itu berkata dia tidak memahami Bahasa Inggeris dan hanya mampu bercakap, "Me No Speak English".

Satu lagi rekod dunia ialah mengenai pembunuhan seorang model Monggolia dengan menggunakan bahan peledak C4. C4 ialah peledak untuk meruntuhkan bangunan konkrit. Tapi di Malaysia yang suka mencipta sejarah ini ia digunakan untuk menghancurkan manusia dan memusnahkan bukti. Mengikut yang empunya cerita si-pembunuh menyangka model itu bangunan konkrit dan terus mengebomnya hingga semua daging dan tulangnya berkecai menjadi debu. Motif pembunuhan tidak ada, kerana motif bukan perkara penting dalam undang-undang Malaysia. Kononnya ia cuma kesilapan memilih sasaran - antara bangunan tinggi dan gadis tinggi lampai.

Banyak lagi rekod dunia yang dicipta oleh ahli-ahli politik kita. Banyak lagi. Yang terbaru ialah rekod tentang sebuah negeri di utara Malaysia yang mempunyai dua orang Menteri Besar.

Dan kelmarin satu lagi rekod dipecahkan di Malaysia. Tapi rekod ini bukan peringkat dunia, cuma peringkat Komanwel. Ia mengenai SPRM yang menghina Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak apabila Speakernya dipanggil memberi keterangan. Belum pernah berlaku di mana-mana institusi penggubalan undang-undang di mana-mana negara Komanwel, Speakernya disiasat kerana melaksanakan tugas yang diamanahkan kepadanya. Penghinaan terhadap badan penggubal undang-undang sebegini belum pernah terjadi di mana-mana negara Komanwel yang sangat menghormati undang-undang, tapi sejarah telah tercipta di negara ini apabila badan penggubal undang-undangnya sendiri dihina oleh SPRM. Ia bertentangan dengan Enakmen Sidang Dewan Undangan Negeri (Hak-Hak Istimewa) 1959 yang dibaca bersama Perkara 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan secara jelas bahawa apa-apa keputusan oleh badan itu dilindungi secara mutlak serta kebal daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah. Tetapi Malaysia memutuskan untuk tidak menghormati undang-undangnya sendiri.

Mengapa banyak sangat rekod tercipta di Malaysia? Jawapannya mudah: kita ingin menjadikan Malaysia negara paling lucu di dunia!

Oleh: pendikar gunung kriang

1 comment:

ziza said...

ahli politik sama sahaja.........semua tak betul......cakap tak serupa bikin

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.