Friday, February 13, 2009

Mengapa SPR Memberi Layanan Berbeza Antara PRK Permatang Pauh Dengan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau?


SPR hari ini mengumumkan bahawa pilihanraya kecil (PRK) bagi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau akan diadakan serentak pada 7 April depan, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Mac. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata hari ini, kerusi Bukit Selambau kosong mulai 8 Februari, manakala kerusi Bukit Gantang kosong mulai 9 Februari. Ini bermakna hari pengundian bagi pilihanraya kecil Bukit Gantang diadakan pada hari yang ke-58 manakala kerusi Bukit Selambau pada hari ke-59.

Mengapa kedua-dua PRK itu terlalu lewat diadakan tidak sukar difahami di sebuah negara 'demokrasi cap ayam' seperti Malaysia. Perhimpunan Agung UMNO akan diadakan dari 24 hingga 28 Mac 2009. Penamaan calon pula diadakan sehari selepas Perhimpunan Agung itu selesai, iaitu pada 29 Mac 2009 dan PRK 9 hari kemudian. Nampaknya SPR sengaja menetapkan tarikh tersebut selepas pemilihan UMNO hujung bulan depan bagi mengelak bakal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada malu sekiranya BN kalah dalam pilihanraya kecil berkenaan.

Cuba bandingkan fakta PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan PRK Permatang Pauh tempoh hari:

i) Muktamar Agung PAS: 15 hingga 17 Ogos 2008

ii) Hari penamaan calon PRK Permatang Pauh: 16 Ogos 2008.

Mengapa SPR ketika itu tidak menetapkan hari penamaan calon PRK Permatanng Pauh pada 18 Ogos iaitu sehari selepas muktamar PAS selesai? Mengapa dalam kes PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau SPR menetapkan hari penamaan calon sehari selepas Perhimpunan Agung UMNO selesai, tetapi dalam kes Muktamar PAS pendekatan yang sama tidak diambil? Jawapannya tentu tidak sukar dijawab: SPR cuba memastikan penyokong-penyokong PAS tidak hadir ke Permatang Pauh kerana ketika itu mereka sedang sibuk bermuktamar di Ipoh.

Saya pernah berkata dalam blog saya sebelum ini bahawa ada tangan-tangan ghaib yang sentiasa mempengaruhi keputusan penting SPR. Dan hari ini SPR sekali lagi membuktikan kepada rakyat Malaysia betapa berkuasanya tangan-tangan ghaib itu. SPR hanya dapat bebas dari pengaruh tangan-tangan ghaib itu sekiranya ia menjadi Suruhanjaya yang tidak terikat sama sekali dengan pejabat Perdana Menteri.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.