Tuesday, February 10, 2009

Menteri Besar Yang Enggan Meletak Jawatan Bukannya Tidak Pernah Berlaku Dalam Sejarah Perak!

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menyelar tindakan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang enggan meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak.

"Bayangkan orang suruh berhenti (jawatan Menteri Besar), tetapi masih tidak mahu berhenti....Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah", kata Ismail Sabri.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah, tidak pernah berlaku dalam sejarah?? Lawaknya kenyataan Ismail Sabri. Kenyataan beliau hanya menunjukkan betapa dangkal ilmu sejarah politik yang dimiliki oleh menteri tersebut.

Sebenarnya mengikut sejarah, Nizar bukanlah Menteri Besar pertama Perak yang enggan meletakkan jawatan seperti yang disarankan oleh Sultan. Menteri Besar pertama yang dinasihatkan oleh Sultan tetapi enggan berbuat demikian ialah Allayarham Tan Sri Ghazali Jawi yang menjadi Menteri Besar Perak dari tahun 1974-1977. Jika Ismail Sabri tidak tahu sejarah politik dan ingin penjelasan lanjut mengenai hal ini beliau boleh bertanya sendiri kepada anak Allayarham Tan Sri Ghazali, Tajol Rosli Ghazali. Beliau boleh menceritakan bagaimana dahsyatnya kemurkaan Al-Marhum Sultan Idris Shah kepada Menteri Besarnya dari UMNO yang walaupun banyak kali dinasihatkan untuk meletakkan jawatan tetapi masih enggan berbuat demikian. Sehingga tiba ke suatu peringkat, Sultan telah menyimpan jambang baginda dan memberitahu baginda hanya akan bercukur jika Ghazali Jawi meletakkan jawatannya!

Namun Ghazali Jawi tetap meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar Perak tanpa mengindahkan nasihat Sultan. Ghazali merasakan dirinya kuat kerana UMNO Perak dan UMNO Malaysia berdiri kukuh menyokongnya. Pihak UMNO Malaysia kemudiannya mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mengikut Perlembagaan Perak, Sultan tidak berhak melucutkan jawatan Menteri Besar, kerana itu Ghazali Jawi tidak perlu berbuat demikian.

Dan kini parti yang sama, yang lebih 30 lepas menyatakan Menteri Besar tidak perlu melepaskan jawatannya selepas menerima nasihat Sultan kerana ia tidak ada dalam Perlembagaan Perak, bercakap sebaliknya pula. Tiga puluh tahun bukanlah satu tempoh yang lama benar, mengapa UMNO mudah sangat lupa terhadap sejarah yang diciptanya dahulu? Kini beberapa perhimpunan yang didalangi UMNO diadakan yang menyokong Sultan dan menyelar tindakan Nizar enggan meletak jawatan. Pemimpin-pemimpin UMNO beriya-iya meminta Nizar meletakkan jawatan, sesuatu yang mereka sendiri tidak lakukan ketika berkuasa dahulu.

Apabila Ismail Sabri menyatakan keengganan Menteri Besar Perak meletakkan jawatan tidak pernah berlaku dalam sejarah, beliau bercakap seolah-olah beliau tidak memahami sejarah. Atau pemimpin UMNO itu adalah dari jenis Melayu yang mudah lupa seperti yang pernah diungkapkan oleh Dr Mahathir?


Oleh: pendikar gunng kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.