Friday, February 27, 2009

Mudah Sungguh Untuk Menculik atau Menghapuskan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri!


Saya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Parlimen. Selepas PRU-12 ini belum sekali pun saya ke sana. Semasa bertugas di Kuala Lumpur dahulu ketika sesi Parlimen bersidang memang acapkali saya ke sana. Pergi kerana menjalankan tugas rasmi.


Seingat saya berdasarkan pengalaman terdahulu, kawalan keselamatan di Parlimen memang agak ketat. Di pintu masuk kita perlu tunjukkan kad kuasa yang dibekalkan pejabat, kemudian baru boleh masuk. Di tingkat bawah lobi Parlimen pula perlu tunjukkan kad kuasa kepada petugas Parlimen yang kemudian akan menyimpannya dan memberi kita pas Parlimen. Jika terlupa bawa kad kuasa, petugas Parlimen tidak membenarkan kita masuk kerana kad pengenalan tidak diterima. Tetapi jika merayu-rayu dengan suara sedih, petugas Parlimen akan hulur borang untuk diisi dan kemudian baru pas parlimen diberi. Lepas itu baru boleh masuk untuk bertugas di Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Ketika itu semua yang memasuki Parlimen cuma orang berkenaan saja - sama ada Ahli Parlimen, pegawai bertugas dari agensi-agensi kerajaan, wartawan dan pelawat yang diluluskan kemasukannya oleh Urusetia Parlimen, termasuk pelajar.

Pada masa dahulu itu tidak pernah terdengar ada yang membuat parti hari jadi kanak-kanak di Parlimen seperti yang berlaku pada tahun lepas itu. Pada masa itu tidak pernah sesiapa membayangkan ada kumpulan politik yang berlagak seperti samseng dan mafia 'menyerang' Parlimen seperti yang dilakukan oleh Pemuda UMNO Selangor kelmarin. Masa itu kawalan keselamatan agak ketat, tidak mungkin ada ruang untuk kanak-kanak dan mafia menyelinap masuk. Mereka mungkin akan tersangkut di pintu pondok pengawal dan diminta berpatah balik.

Tetapi apa yang berlaku di Parlimen kelmarin sangat mengejutkan saya. Parlimen sebagai institusi tertinggi negara dicerobohi oleh pemuda sebuah parti yang menjadi tunjang kuasa negara ini. Mereka masuk seperti mafia untuk menyerang seorang ahli Parlimen yang malangnya seorang OKU.

Saya tertanya-tanya dalam hati di mana pengawal keselamatan ketika itu? Masa yang diambil untuk membiarkan drama pertengkaran dan pukul memukul berlaku terlalu lama sebelum pengawal tiba. Agaknya jika penyerang itu membawa senjata merbahaya, pasti sudah ada yang meninggal atau tercedera kelmarin.

Mengenangkan betapa longgarnya kawalan keselamatan di Parlimen itu, hati saya berkata: bagaimana jika ada yang datang ke Parlimen untuk menculik Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri atau mana-mana Menteri dan Ahli Parlimen? Saya rasa jika begitulah tahap keselamatan Parlimen kita, dan kebetulan ada yang datang untuk menculik mana-mana Ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri atau menghapuskan mereka, misi itu boleh dilakukan dengan amat mudah. Jika ada yang berniat buruk selain dari bekalan sebuah keberanian, mereka hanya perlu membawa senjata yang disembunyikan dalam sut kot mereka. Kemudian misi boleh diselesaikan dengan mudah, lebih mudah dari merompak sebuah kedai emas! Mudah sungguh!!

Saya rasa pihak Urusetia Parlimen perlu meningkatkan tahap keselamatan Ahli Parlimen. Jadikan serangan mafia kelmarin sebagai satu iktibar. Bayangkan jika yang datang kelmarin mafia berprofil tinggi yang kemudiannya bertindak meletupkan Dewan Rakyat, kita bukan sahaja akan kehilangan semua Ahli Parlimen dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan, tetapi terpaksa mengadakan satu lagi Pilihanraya Umum dan membina sebuah bangunan Parlimen baru.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.