Thursday, February 12, 2009

Rakyat Perak Telah Bersuara, Terpulanglah Kepada Pemimpin Kita Untuk Menghormatinya


Jika kajian Merdeka Centre yang terbaru ini boleh dijadikan kayu ukur untuk menggambarkan sentimen rakyat Perak sekarang, kita boleh katakan apa yang telah dilakukan BN pada minggu lepas dengan melakukan rampasan kuasa menggulingkan kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat merupakan satu kesilapan besar. Kajian pendapat umum yang dilakukan oleh Merdeka Centere yang dikeluarkan hari ini mendapati hampir dua pertiga pengundi Perak atau 74% mahu Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan di negeri itu ekoran krisis politik sejak penghujung bulan lalu. 76% pengundi juga
ingin melihat pilihan raya menerusi suara rakyat diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

Hanya 21% responden mengatakan bahawa pihak istana mempunyai "hak" untuk menentukan kerajaan bagi rakyat jelata.

Pendapat umum itu dikendalikan oleh firma tersebut antara 6 dan 8 Februari lalu untuk mengukur persepsi pandangan orang ramai berhubung perkembangan politik di Perak. Seramai 507 pengundi berdaftar di Perak dipilih untuk mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

RINGKASAN APA YANG DI TEMUI DALAM KAJIAN MERDEKA CENTRE :

i) 74% berpendapat DUN Perak perlu dibubarkan sebaik sahaja 3 ADUN PKR berpaling tadah.

ii) 76% berpendapat pilihan raya menerusi suara rakyat diadakan untuk menentukan kerajaan pilihan mereka.

iii)62% berpendapat peranan Istana membuat keputusan’bermakna Istana tidak mengiktiraf kemahuan rakyat.

iv) 66% berpendapat mereka tidak dapat menerima kerajaan negeri yang didirikan melalui wakil rakyat yang berpaling tadah.

v) 59% merasakan krisis di Perak ini akan menghakiskan lagi sokongan orang ramai terhadap Barisan Nasional.

Secara keseluruhan, kajian pendapat umum ini mendapati Menteri Besar dan EXCO BN boleh berbulan madu di atas singgahsana kerajaan Perak tetapi majoriti rakyat Perak tidak dapat menerima kuasa yang dipaksakan ke atas mereka.

Rakyat Perak telah menyatakan pendirian mereka terhadap krisis politik yang sedang melanda Perak kini. Terpulanglah kepada kerajaan yang ditunjangi oleh BN sama ada ingin menghormati suara rakyat atau tidak. Jika peristiwa rampasan kuasa minggu lepas menunjukkan suara rakyat tidak penting kepada BN, kita boleh mengandaikan mereka juga tidak akan peduli dengan keputusan kajian Merdeka Centre ini.

Apa pentingnya pendapat rakyat? Jika pendapat rakyat penting, harga petrol tidak akan dinaikkan dahulu, tol tidak akan dinaikkan, tambang pengangkutan awam tidak akan dinaikkan, Sains dan Matematik tidak akan diajar dalam Bahasa Inggeris dan pelbagai lagi dasar yang bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat tidak akan dilakukan.

Berdasarkan pengalaman lalu, pendapat rakyat tidak penting untuk BN. Pendapat rakyat hanya akan kelihatan penting kepada BN jika mereka mendapati kuasa yang ada di peringkat Persekutuan sekarang terlucut habis dalam PRU ke-13 nanti!!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.