Sunday, February 1, 2009

Sekarang Perlu Ada Akta Pemasangan Alat Pengesan Kehilangan Wakil Rakyat Pula!

Sudah 5 hari 2 Exco Perak itu hilang tanpa kabar berita. Seperi lompat parti, pengurungan dan pencolekan politik juga bukan perkara baru dalam politik Malaysia yang dikatakan semakin busuk lagi membusukkan ini. Pengurungan ahli-ahli politik bagi memastikan mereka berada dalam kem politik tertentu pernah berlaku di Sabah. Ketika pemilihan UMNO juga pernah berlaku orang-orang politik dikurung di tempat tertentu bagi memastikan undi mereka hanya untuk tokoh tertentu sahaja. Dalam pilihnraya umum juga pernah berlaku orang yang berhasrat untuk menjadi calon pilihanraya gagal merealisasikan niatnya itu kerana dikurung oleh parti yang satu lagi.

Dalam politik tiada perkara yang mustahil. Malah di luar negara banyak berlaku pembunuhan kerana pergeseran politik. Syukur di Malaysia, ia jarang berlaku.

Lompat melompat parti memang suatu perbuatan yang tidak bermoral. Melompat parti dari PAS ke BN pernah berlaku di Kelantan, dari PBS ke BN berlaku di Sabah dan lain-lain lompatan juga berlaku, semuanya dari pembangkang ke BN. Jadi 'mahaguru' yang mengajar ahli politik kita melompat ini ialah BN. Sekarang sudah ada ADUN UMNO pula yang melompat ke PKR. Ia satu sejarah baru kerana sebelum ini hanya pembangkang saja yang melompat ke BN. Tapi sekarang sudah ada anak murid yang ingin memiliki ilmu mahaguru.

Melompat memang satu budaya yang tidak sihat. Sama ada UMNO, PKR, PAS, PBS atau DAP yang melompat sama-sama tidak sihat. Sekarang satu lagi budaya yang lebih tidak sihat berlaku - budaya pencolekan ahli politik. Sekarang sedang heboh diperkatakan mengenai 2 EXCO Perak diculik dan dipaksa memasuki UMNO dengan ganjaran lumayan. Sebenarnya budaya mencolek ini pun bukan sesuatu yang baru. Jika tanya Pairin Kitingan dia tentu tersenyum mengingatkan peristiwa sama yang berlaku 14 tahun dahulu di Sabah hingga parti yang dipimpinnya terpaksa menyerah kepada BN.

Kini apa yang berlaku di Sabah dahulu mungkin diulang tayang di Perak pula. Mungkin jika tidak bernasib baik apa yang pernah digelar sebagai "rampasan kuasa tidak demokratik mengikut perlembagaan" yang pernah berlaku di Sabah akan berulang di Perak pula.

Cuma yang tidak seronoknya ialah kemungkinan apa yang kita buat kepada orang hari ini, esok orang akan buat kepada kita pula. Seperti lompat, dulu orang lompat masuk parti kita, esok orang kita lompat masuk parti orang pula. Dan jika dulu dan kini kita colek musuh politik kita, entah esok entah lusa orang parti lain pula yang colek orang kita. Kadang-kadang kita ingat kita sahaja mahaguru ilmu busuk tanpa menyedari orang lain juga cepat mempelajari ilmu busuk itu dan memperdaya kita pula.

Hingga bila politik busuk lagi membusukkan atas nama lompat parti dan pencolekan politik ini akan berakhir tidak tahulah. Bagi menghalang lompat parti ada yang mencadangkan digubal Akta Anti-Lompat Parti. Bagi menghalang ahli hilang dicolek pihak lawan mungkin bolah dicadangkan Akta Pemasangan Alat Pengesan Kehilangan Wakil Rakyat. Melalui akta ini semua Wakil Rakyat selepas memenangi pilihanraya perlu memakai alat pengesan khas bagi mengetahui di mana mereka berada. Dengan itu tidaklah lagi yang akan hilang tanpa berita seperti yang berlaku terhadap 2 EXCO Perak itu. Parti juga dapat mengesan Wakil Rakyat yang tiada di kawasannya ketika rakyat mendambakan khidmat mereka.

Tanpa lompat melompat dan colek mencolek politik negara akan jadi lebih stabil. Wakil Rakyat dapat menumpu lebih perhatian untuk membangunkan negara, agama dan bangsa.


Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.