Saturday, February 7, 2009

SPR Punya Pasal Kini Institusi Raja Dipersoal, Politik Perak Gawat!!



Kelmarin MB Perak yang baru di bawah BN telah dilantik. Menteri Besar di bawah PR masih enggan meletak jawatan. Jadi kini Perak mempunyai 2 orang Menteri Besar. Ia satu krisis perlembagaan yang serius. Lebih serius apabila Sultan diseret sama ke mahkamah. Secara peribadi saya tidak suka institusi Raja dipertikai apa lagi dibawa hingga ke mahkamah. Raja juga seperti manusia lain, banyak salah dan silap. Dalam krisis perlembagaan Perak ini pun memang nampak ada keputusan baginda Sultan kelihatan seperti kurang bijak. Tapi itu bukan jawapan untuk menghina Raja. Mengheret Raja ke mahkamah akan membuka lebih banyak kritikan terhadap institusi yang semakin kurang sengatnya itu selepas Pindaan Perlembagaan oleh kerajaan BN yang menghakis kuasa Raja-Raja Melayu dilakukan pada 1983 dan 1993.


Cukuplah apa yang dilakukan terhadap institusi Raja yang dihina teruk oleh kerajaan BN dahulu. Janganlah sesiapa mengulanginya lagi. Kita boleh menukar pemimpin politik kita, namun institusi Raja perlu dipertahan dari dipandang serong, diperlekeh dan diperhina. Raja dan rakyat terpisah tiada!!

Semua yang berlaku kini adalah rentetan dari keengganan SPR mengadakan pilihan raya kecil DUN Behrang dan Changkat Jering dahulu. Jika SPR bersetuju pilihanaraya kecil diadakan dahulu, kegawatan politik seperti ini tidak akan berlaku di Perak. Tidak akan ada 2 Menteri Besar di Perak, tidak akan ada perhimpunan di sana sini, tidak akan ada tunjuk perasaan, tidak akan ada masjid digempur FRU, institusi Raja tidak akan diperlekeh dan semua rakyat Perak dapat bekerja dengan tenang.

Ketika Speaker DUN Perak mengemukakan surat pengosongan kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering dahulu ramai yakin pilihanraya kecil pasti akan diadakan. Kuasa mempersoal kesahihan surat perletakan jawatan 2 ADUN PKR itu bukan di bawah bidangkuasa SPR, ia di bawah bidangkuasa mahkamah. Lihat saja dalam kes petisen keputusan pilihanraya Sanglang, Perlis. Ia hanyalah kes kesilapan teknikal yang telah menyebabkan SPR tersilap mengisytiharkan calon BN memenangi kerusi tersebut, walaupun calon PAS mendapat undi yang lebih banyak. Sepatutnya kes Sanglang itu boleh diselesaikan di peringkat SPR sendiri. Tetapi SPR memilih untuk merujuknya ke Mahkamah Tinggi bagi membuat keputusan. Dan akhirnya Mahkamah Tinggi membuat keputusan Hashim Jasin dari PAS yang mendapat lebih banyak undi memenangi kerusi DUN Sanglang.

Itulah anehnya SPR. Perkara di bawah bidangkuasanya seperti kes DUN Sanglang itu dirujuknya ke mahkamah. Manakala kes DUN Behrang dan Changkat Jering yang sepatutnya diputuskan oleh mahkamah pula, cuba ditanganinya sendiri. Nampaknya antara kes DUN Sanglang dan Behrang/Changkat Jering, SPR telah buat keputusan yang 'terbalik kod'! Mengapa tiba-tiba SPR menjadi terlebih pandai dalam kes Behrang dan Changkat Jering? Adakah wujud 'tangan-tangan ghaib' yang menentukan keputusan SPR itu? Adakah 'tangan-tangan ghaib' yang sama yang menyebabkan ADUN Behrang dan Changkat Jering 'bercuti sakit' di Pekan, Pahang dan kemudian kembali ke Putrajaya dalam keadaan segar bugar bersama Datuk Seri Najib beberapa hari kemudian?

Kini krisis perlembagaan Perak berlanjutan. Peranan institusi Raja kembali dipersoal oleh rakyat, mengulangi apa yang berlaku ketika pindaan perlembagaan pada 1983 dan 1993 oleh kerajaan BN dahulu. Mungkin akan ada lagi demonstrasi selepas ini. Kita tidak dapat menghalang rakyat menyatakan pendiriannya. Tiada siapa tahu kegawatan politik ini berterusan beberapa lama.

Semua bermula kerana SPR membuat keputusan tentang status DUN Behrang dan Changkat Jering yang bukan di bawah bidang kuasanya. Jika SPR membuat keputusan yang bijak dahulu dengan mengadakan pilihanraya kecil, pasti kini institusi Raja tidak akan dipersoal, demonstrasi tidak akan berlaku dan kegelisahan politik Perak tidak akan sampai ke tahap ini.

Kepada Pengerusi SPR: apa khabar, tidakkah anda rasa menyesal melihat apa yang berlaku di Perak kini?


Oleh: pendikar gunung kriang

3 comments:

gotahlantun said...

SATU JARI TUNJUK KASALAHAN PADA ORANG....
ADA EMPAT JARI MENUNJUK PADA DIRI SENDIRI..

pendikar gunung kriang said...

Sdr gotahlantun,

Saya setuju dgn saranan tuan. Sebab itulah dlm kehidupan yg singkat ini elakkan melakukan kesalahan spt yg dilakukan mereka yg diberi amanah itu. Manusia ini seringkali alpa bahawa Allah melihat apa yg dilakukannya.

gotahlantun said...

ZAMAN SEKARANG MANUSIA SEAKAN SENGAJA.. MEMPERLIHATKAN KEJAHATAN YANG DIBUAT, KEPADA YANG MAHA ESA.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.