Friday, February 6, 2009

Web Pejabat Sultan Perak Diserang!!


Kita tahu ramai rakyat kini sedang marah dengan rampasan kuasa tanpa darah di Perak yang diketuai oleh General Tanpa Tauliah Najib Razak. Ia seperti gambaran kemarahan rakyat Thailand terhadap regim Thaksin dahulu. Tetapi di sini rakyat marah terhadap regim BN yang merampas kuasa di Perak dengan membelakangkan suara rakyat.

Malangnya ketika di puncak kemarahan terhadap regim BN, ada yang menyalurkan kemarahan itu dengan menyerang web Pejabat Sultan Perak dengan pelbagai bahasa kesat. Berdasarkan pemerhatian sepintas lalu saya terhadap web itu, hampir semua yang membuat komen menulisnya dalam keadaan sangat marah terhadap tindakan Sultan yang tunduk kepada kehendak BN. Banyak komen yang begitu dahsyat, celupar dan mungkin boleh kita panggil biadap. Semua orang marah, namun jika anda marah kepada BN tidak wajar sembah derhaka dengan bahasa yang tidak sepatutnya diucapkan kepada baginda, kepada seorang Raja berdaulat. Cukuplah dengan bahasa penghinaan yang diucapkan oleh UMNO Terengganu kepada Sultannya dahulu, cukuplah dengan bahasa penghinaan oleh UMNO Perlis kepada Rajanya dahulu yang dibuat sejurus selepas PRU ke-12. Cukuplah dengan episod hitam menghina Sultan dan Raja yang dimulakan oleh UMNO itu, janganlah pula kita mengulangi kesilapan yang sama.

Janganlah ulangi apa yang UMNO lakukan terhadap Raja kita. Jika hendak menyuarakan isi hati kepada Baginda, gunalah bahasa yang beradab dan bijaksana bagi menyalurkan ketidak puasan hati anda. Mana tahu dengan suara lembut anda, mata baginda dapat menyaksikan apa yang rakyat rasai kini dan hati baginda menjadi lembut untuk membuat satu keputusan berbeza esok?

Kepada mereka yang ingin melawati web baginda boleh layari:

Sultan.Perak.gov.my

Jika ingin tinggalkan pesanan sila pilih: Buku Pelawat dan Dreambook.

Tapi awas: jangan menulis sesuatu yang menghina institusi Raja. Kita boleh gulingkan orang politik dalam pilihanraya, tetapi hanya Baginda tempat rakyat bernaung kasih sepanjang hayat.

Ampun Tuanku, kami rakyat merafak sembah: dengarilah suara kami, suara rakyat Tuanku. Kembalikan demokrasi, kembalikan hak rakyat kepada rakyat. Biar rakyat yang menentukan masa depan mereka di negara berdaulat ini dan bukannya segelintir pemimpin politik yang tamak kuasa. Ingatlah Tuanku pepatah lama: Raja adil, Raja disembah, ampun Tuanku!!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.