Monday, March 30, 2009

Alahai Polis, Sebelah Sini Banyak Yang Tak Boleh, Tapi Sebelah Sana Pula Boleh! (Bahagian I)

Kempen pilihanraya kecil di tiga kawasan pilihanraya sedang berjalan rancak. Baru masuk dua hari sudah banyak berita menarik timbul. Sama ada ia berita betul atau tak betul, cerita nombor dua. Cerita nombor satu ialah banyak berita timbul dan banyak pula berita yang pelik-pelik.

Salah satu pihak penyumbang berita pelik ini ialah polis. Polis sekarang sibuk bukan main lagi bagi mempastikan 'pilihanraya berjalan dengan aman'. Sebab itu di kawasan pilihanraya, polis bukan saja menguasai darat, tetapi juga udara (dengan helikopternya).

Minggu lepas ada arahan daripada Ketua Polis Kedah yang tidak membenarkan ceramah diadakan di kawasan terbuka. Hendak buat ceramah, cuma boleh buat dalam bangunan saja. Kita tahu sangat mengapa arahan ini dikeluarkan. Mereka tahu PR selalu membuat ceramah di kawasan terbuka. Maklum saja ceramah PR lazimnya menarik kedatangan ramai orang, sekitar 10,000 perkara biasa, jadi sangat sesuai dibuat di kawasan terbuka. Berbeza dengan ceramah BN, kehadiran 600 orang sudah dikira bagus, oleh itu mereka buat dalam bangunan. Lagi pun penyokong BN suka dengar ceramah sambil duduk atas kerusi macam dalam bilik darjah, penyokong PR pula tidak suka ceramah macam budak-budak sekolah, sebab itu mereka lebih suka diadakan di tempat terbuka.

Tetapi sebenarnya tidak ada masalah untuk PR mengadakan ceramah dalam bangunan. Yang jadi masalahnya, jika premis cuma boleh memuatkan 500 orang, mana beribu-ribu orang lagi hendak bertenggek? Bolehkah mereka berkumpul di luar bangunan, atas pokok atau atas bumbung untuk mendengar ceramah? Khuatir pula nanti mereka yang berkumpul diluar bangunan disuraikan pula oleh polis atas alasan 'berkumpul secara haram'.

Memang dalam tempoh berkempen ini sukar berurusan dengan polis. Mereka seringkali mempamerkan diri seperti komponen ke-17 BN (komponen ke-15 ialah SPR, komponen ke-16 ialah SPRM). Jika PR buat banyak yang tak boleh, jika BN buat semuanya boleh!

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.