Monday, March 23, 2009

Bila TV3, RTM, Berita Harian dan Utusan Malaysia Hendak Digantung?

Politik Machievelli yang menyatakan tujuan menghalalkan cara dipraktikkan lagi oleh Kerajaan BN. Demi memastikan wajah busuk pemimpin-pemimpin BN terus tersembunyi dan tidak terbongkar menjelang 3 pilihanraya kecil, Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengambil tindakan drastik dengan menggantung permit Harakah dan Suara Keadilan selama tiga bulan.

"Memang benar kami (KDN) telah menggantung lesen kedua-dua akhbar itu berkuat kuasa hari ini. Kami bukan ingin menyekat kebebasan akhbar di negara ini tapi mereka masih lagi menerbitkan berita-berita yang tidak benar dan berunsur hasutan," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Apa berita yang tidak benar dan berunsur hasutan itu? Adakah membongkar kisah benar mengenai salah laku, rasuah dan pelbagai tindak tanduk pemimpin-pemimpin BN yang merosakkan imej Malaysia di luar negara dan dasar memporak porandakan ekonomi negara ini boleh ditakrifkan sebagai 'berita yang tidak benar'? Sampai bila 'kisah benar' akan dibaca oleh pemimpin-pemimpin kita sebagai 'tidak benar'? Sampai bila kebenaran akan disembunyikan di balik seurat benang? Sedarkah mereka bau busuk bangkai tidak dapat disembunyikan dengan nyiru tipis kerana akhirnya lambat atau cepat, rakyat akan tahu juga?

Dan 'hasutan' pula, media mana yang sering menghasut, bukannya menghasut dua kali seminggu tetapi hampir setiap hari? Media mana yang sentiasa menghasut dan melaga-lagakan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini jika bukannya RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian? Media mana yang sentiasa berusaha mereka cipta cerita-cerita fitnah bagi menghasut rakyat membenci kerajaan negeri yang dikuasai PR jika bukannya RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian?

OK lah jika Syed Hamid nampak Harakah dan Suara Keadilan memuatkan berita tidak benar dan menghasut. Apa boleh buat jika mata rabunnya hanya nampak begitu! Tetapi tidakkah dia juga nampak media seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia dan Berita Harian selalu membawa berita tidak benar? Jika hendak berlaku adil, Syed Hamid perlu juga menggantung permit akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia di samping menggantung juga siaran berita RTM dan TV3 yang acapkali tidak benar dan menghasut itu!!

Oleh: pendikar gunung kriang



harakah newspaper pak lah abdullah with michelle yeoh photo cover




suara keadilan perak cabar spr ke mahkamah perak state challenge ec in court 110209

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.