Thursday, March 5, 2009

Kerajaan Campuran Perak Ya Pak Mukhriz?


Datuk Mukhriz Mahathir, Exco Pemuda Umno sebagaimana yang dipetik star online hari ini berpendapat kerajaan (BN) dan pembangkang (PR) berkompromi dan bekerjasama bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak yang dilihatnya "tidak adil" kepada rakyat negeri itu. Sambil mengakui krisis di Perak semakin membingungkan, beliau berkata keadaan itu hanya akan merugikan semua pihak jika dibiarkan berterusan.

"Buat masa ini seolah-olah perkara yang penting kita ketepikan kerana kemelut politik ini. Itu saya fikir tidak wajar dan tidak adil untuk rakyat," katanya ketika ditemubual dalam program "Kerusi Panas" di Radio 24 petang semalam.

Beliau berkata adalah lebih baik sekiranya Barisan Nasional dan pakatan DAP, PAS dan PKR bekerjasama untuk mentadbir negeri itu selain menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat seperti pengangguran.

Mukhriz berkata, tinjauan mendapati 70 peratus daripada rakyat "sudah bosan dengan isu politik dan mahu semua pihak kembali ke pangkal jalan" untuk mentadbir negara dengan berkesan.

"Selagi tiada pihak yang mengalah selagi itu kemelut politik ini akan berpanjangan. Selagi kita melengahkan penyelesaian atau ruang masa untuk selesaikan masalah rakyat, itu akan merugikan semua pihak," katanya.

Saya tidak dapat menangkap dengan jelas apa maksud 'kompromi' yang dinyatakan oleh Mukhriz itu. Namun apabila beliau berkata "..adalah lebih baik sekiranya Barisan Nasional dan pakatan DAP, PAS dan PKR bekerjasama untuk mentadbir negeri itu", ia seperti bermaksud perlu diwujudkan satu kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan di Perak.

Jika hendak mewujudkan kerajaan campuran di Perak perlu ada pihak ketiga yang berkecuali di antara BN dan PR yang bakal menjadi orang tengah membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan. Yang menjadi masalahnya ialah siapa pihak ketiga itu yang bersedia menjalankan inisiatif mendamaikan pertelagahan tersebut? Mungkin ramai pihak yang bersetuju pihak ketiga yang dapat diterima kedua-dua pihak yang bertelagah ialah istana Perak!

Namun memandangkan krisis perlembagaan Perak telah sampai ke tahap yang begitu parah dengan meninggalkan luka yang begitu besar, adakah kedua-dua pihak bersedia untuk berdamai? Buat masa ini kelihatannya tiada peluang ke arah itu.

Alternatif terbaik ialah pulang semula kepada suara rakyat. Adakan pilihanraya baru kerana bukankah dalam demokrasi suara rakyat suara keramat? Siapapun pemenangnya dalam pilihanraya baru itu, kedua-dua pihak BN dan PR akan menerimanya. Selepas pilihanraya baru, Perak dapat memacu semula jentera ekonominya yang sudah sebulan semput kerana krisis politik yang tidak menguntungkan sesiapa ini.

Tetapi beranikah BN membubarkan DUN Perak. Itu masalahnya: beranikah BN menghadapi suara rakyat? Jika BN tidak berani, campurtangan istana sekali lagi diperlukan. Itu pun jika Sultan masih menyedari keluh kesah rakyat baginda. Jika tidak, krisis ini akan terus berpanjangan dan rakyat akan terus merana.

Oleh: pendikar gunung kriang

1 comment:

Anonymous said...

hanya Sultan tempat rakyat bergantung harap.tuanku akan lebih dihormati rakyat jika mata dapat melihat dan telinga dapat mendengar suara rakyat.

daulat tuanku, bubarkan dewan undangn negeri perak!!

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.