Monday, March 2, 2009

Misteri Di Sebalik Kenyataan Setiausaha DUN Perak ~ Ruj Malaysiakini

Tiba-tiba saja nama Abdullah Antong Sabri terkenal. Ini berikutan kenyataan akhbar Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak itu kelmarin yang menyebut cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar DUN Selasa ini adalah tidak sah. Kata Abdullah ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Bagaimanapun dalam reaksinya terhadap kenyataan Abdullah itu, Bernama memetik Sivakumar berkata sidang tergempar Dewan itu Selasa ini adalah sah dan akan diadakan seperti yang telah ditetapkan. Sivakumar berkata beliau telah berbincang dengan beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan seperti Chan Kok Keong dan Tommy Thomas serta telah meneliti peruntukan Undang-undang Tubuh dan Perintah-perintah Tetap Perak dan mendapati beliau mempunyai kuasa untuk memanggil sidang tergempar itu.

"Saya dimaklumkan dengan jelas oleh pakar-pakar perlembagaan bahawa memanggil persidangan Dewan secara tergempar adalah terletak dalam ruang lingkup bidang kuasa Speaker," katanya kepada pemberita di Ipoh kelmarin.

Bercakap mengenai perbezaan pendapat antara Abdullah dan Sivakumar itu, saya tidak bercadang menyentuh hal-hal berkaitan undang-undang dan perlembagaan yang saya tidakbegitu mahir mengenainya. Saya tidak tahu sama ada siapa yang benar di antara kenyataan Abdullah yang saya tahu tiada latar belakang undang-undang dan kenyataan Sivakumar yang bersandarkan pandangan pakar undang-undang. Mungkin salah seorang daripadanya bercakap benar, mungkinkedua-duanya bercakap benar dan mungkin juga kedua-duanya bercakap berdasarkan fakta yang salah. Ini kerana undang-undang boleh ditafsir dengan pelbagai cara. Sebab itu wujud kerjaya peguam bagi menafsir undang-undang.

Oleh itu saya tidak ingin berbicara tentang undang-undang. Saya hanya ingin bercakap tentang kenyataan Abdullah yang saya nampak seperti ada sesuatu yang tidak beres.

Pertama, saya agak hairan mengapa kenyataan Abdullah itu dikeluarkan di Kuala Lumpur dan bukannya di Ipoh tempat beliau bertugas. Tambahan pula kenyataan di Kuala Lumpur itu dibuat pada hari Ahad, hari cuti umum untuk Perak. Saya tertarik dengan pandangan menyatakan Abdullah telah diminta menemui 'seseorang yang berkuasa' di Kuala Lumpur yang memaksanya membuat kenyataan itu. Mengapa 'seseorang yang berkuasa itu' tidak membuat sendiri kenyataan tersebut? Beliau tidak membuat sendiri kenyataan itu kononnya kerana tidak ingin dilihat mencampuri bidang kuasa DUN yang terletak di bawah ruang lingkup kuasa Speaker. Jadi sebagai jalan selamat, beliau mengambil tindakan 'baling Abdullah, sembunyi tangan'. Jadi yang nampak 'jahat' di sini ialah Abdullah dan bukannya 'seseorang yang berkuasa' itu. Memang pandangan itu ada kemunasabahannya.

Yang kedua, saya hairan mengapa Abdullah seberani itu mengeluarkan penyataan awam. Ini kerana Abdullah sebagai kakitangan awam adalah tertakluk kepada Perintah Am (General Order - GO). Mengikut Peraturan 19, Perintah Am Bab D (Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib 1993), seseorang pegawai tidak boleh membuat penyataan awam, termasuk kenyataan akhbar kepada mana-mana pihak tentang apa-apa keputusan Kerajaan, kecuali selepas mendapat kelulusan Menteri.

Saya tidak percaya Abdullah sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang telah puluhan tahun berkhidmat dengan kerajaan tidak menyedari dia tidak dibenarkan membuat penyataan awam. Namun memandangkanGO menyatakan kenyataan akhbar hanya boleh dibuat dengan kelulusan Menteri, adakah kenyataan Abdullah semalam selepas mendapat perkenan Menteri yang berkenaan? Dan jika telah mendapat perkenan Menteri yang berkenaan, siapakah gerangan Menteri itu?

Saya percaya Abdullah sendiri dalam hal ini tersepit dalam dilema sama ada sebagai Setiausaha DUN beliau perlu menyokong V.Sivakumar yang merupakan Speaker atau menyokong Menteri Besar Dr Zambry yang menerajui Kerajaan Negeri Perak. Tentu sebagai pegawai PTD yang 'makan gaji' sukar untuk beliau membuat keputusan sama ada bercakap secara profesional atau mengikut apa yang telah diarahkan kepadanya.

Mungkin ketika ini ramai pihak, termasuk penyokong-penyokong PR dan pengamal undang-undang yang menuding jari kepada Abdullah dan menyalahkan beliau. Kepada sesiapa yang berburuk sangka kepada beliau, saya harap mereka dapat memahami kedudukan Abdullah sebagai kakitangan awam yang seringkali terpaksa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip hidupnya sendiri. Setiap kali menanda tangani surat, kakitangan awam mengakhirinya dengan perkataan 'saya yang menurut perintah' dan oleh itu jangan hairan jika ada kenyataan-kenyataan pegawai awam yang mengelirukan kerana kadang-kadang mereka telah diperintah untuk mengelirukan orang ramai.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.