Monday, March 23, 2009

Yahaya Cuma Minta Khairy RM100,000?


Esok bermulalah Persidangan Agung UMNO. Hari ini pastinya laluan ke ibu negara banyak dipenuhi dengan pelbagai kenderaan milik ahli-ahli UMNO. Selamat bersidang!

Pastinya perwakilan yang berada di PWTC esok bukan saja untuk mendengar bicara pemimpin mereka, bukan saja untuk mengundi, bukan saja untuk beli kain baju dan perhiasan yang dijual di gerai yang disediakan, tetapi sebahagiannya tercari-cari buku 'Tuah dan Sial Khary Jamaluddin'. Kelmarin Khairy telah membuat laporan polis terhadap Yahaya Ismail, penulis buku yang didakwa memfitnahnya itu.

Dan hari ini Yahaya mempertahankan kandungan buku tersebut dengan menegaskan, beliau pula akan membuat laporan polis esok.

Jelas Yahaya, apa yang ditulisnya adalah berdasarkan fakta dan pandangan beliau sebagai seorang penulis bebas. Yahaya berkata, ini bukan pertama kali beliau menulis tentang Khairy kerana pada 2005 turut menulis buku Khairy Jamaluddin Bakal PM yang dikatakan turut mengkritik Khairy.

"Pada masa itu, tiada pula laporan terhadap saya tetapi sekarang kenapa baru nak lapor? Beliau mahu menakut-nakutkan saya supaya saya berhenti menulis mengkritiknya. Selain itu, beliau juga mungkin risau kerana tidak pasti akan menang pada pemilihan Ketua Pemuda minggu depan," jelas Yahaya kepada Star Online.

Bagi saya kandungan buku tersebut tidak penting sangat. Jika yang disentuh mengenai 'tuah' Khairy, semua rakyat Malaysia sudah tahu betapa bertuahnya menantu Pak Lah yang seorang ini. Baru berusia 33 tahun sudah jadi kaya raya bukan saja kerana ibu bapa dan bapa mertuanya kaya tetapi ada faktor-faktor luaran lain yang menjadikannya bertuah. Yang 'sial'nya tentang Khairy ini pun ramai yang sudah tahu juga. Mulutnya, gerak gerinya yang keterlaluan itu sudah banyak dipaparkan, sudah banyak diceritakan orang.

Cuma yang orang hendak tahu sangat ialah mengenai kononnnya Yahaya meminta RM100,000 sebagai balasan untuk tidak mengedarkan buku itu. Bukannya tidak ada penulis buku yang pernah menjadikan bukunya sebagai perangkap untuk menebus wang, ia memang pernah dilaporkan berlaku di seluruh dunia. Yang menjadi persoalannya apakah benar Yahaya meminta wang dan jika meminta adakah cuma RM100,000 sahaja? Yahaya bukanlah nama kecil dalam dunia penulisan negara ini. Beliau bukan penuis muda yang baru mencari-cari arah untuk menulis. Usia Yahaya sudah pun mencecah hampir 70 tahun dan sumbangannya dalam bidang penulisan cerpen, novel, esei dan kritikan sudah terkenal sejak tahun-tahun 1960-an dan 1970-an lagi sehingga pernah mendapat julukan sebagai H.B. Jassin Malaysia kerana ketokohannya dalam bidang penulisan.

Dan apabila Yahaya penulis yang terkenal itu dikatakan meminta RM100,000 ia seperti sukar dipercayai. Bukan saja sukar mempercayai Yahaya melakukannya, tetapi juga jumlah yang dimintanya tidak berbaloi dengan nama besar yang digalasnya. Jika yang dimintanya paling kurang RM1 juta lainlah, padanlah dengan nama besar yang ada pada Yahaya dan padanlah dengan taraf jutawan muda yang ada dengan Khairy. Tapi yang diminta cuma RM 100,000 yang hendak beli rumah kos sederhana pun tak lepas?

Malangnya dalam kenyataan Yahaya kepada Star Online hari ini tidak pula disebut sama ada dia mengaku atau menafikan meminta wang RM100,000 kepada Khairy. Tapi sama ada benar atau tidak benar Yahaya meminta wang sebanyak itu, penerbitan buku itu ketika Perhimpunan Agung UMNO berlangsung pasti mempunyai agenda dan implikasi tersendiri. Mungkin buku itu bakal membawa nasib sial kepada Khairy menerusi pelbagai pendedahan di dalamnya. Tapi mungkin juga buku itu bakal membawa tuah kepada menantu Pak Lah seorang ini kerana dia bakal mendapat undi simpati perwakilan UMNO yang tiba-tiba jatuh kasihan kepadanya.

Jika penerbitan buku ini membawa tuah kepada Khairy, maka tentu ramai yang akan tabik spring kepada strategi beliau berpolitik. Orang akan berkata: tak sia-sia belajar sampai Oxford, otak bergeliga mengalahkan Obama!

Oleh: pendikar gunung kriang

1 comment:

Prof. Era Pasca said...

hehehe tuah ke sial Khairy... buku blm kuar dia tau org fitnah die... mesti bace tajuk je...

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.