Wednesday, April 8, 2009

Batang dan Bukit: Mengapa Tidak Menang 5-0? ~ Malaysiakini


Antara menang 5-0 dan menang 4-1, pasti peminat bolasepak lebih suka kelab yang mereka sokong menang 5-0. Begitu juga dengan peminat politik tanah air. Sesudah PRU ke-12, 5 pilihanraya kecil sudah ditempuhi. PR sudah menang 4 kali, BN baru menang sekali. Jadi PR sudah kalahkan BN 4-1. Tapi mengapa PR cuma menang 4-1 dan bukannya 5-0?


Dalam kegembiraan blogger pro-PR menyambut kemenangan kerusi Bikit Gantang dan Bukit Selambau, saya hampir tidak nampak blog yang menyentuh kekalahan PKR di Batang Ai, Sarawak. Mengapa hanya bercakap mengenai kemenangan di Semenanjung saja dan seperti melupakan kekalahan di Sarawak? Apakah Sabah dan Sarawak tidak penting berbanding Semenanjung, atau sememangnya ketewasan di Batang Ai itu sesuatu yang telah dijangkakan?

Kita jangan lupa di Sarawak dan Sabah ada 56 kerusi Parlimen. Bukan 5 atau 6 kerusi, tetapi 56! Dalam PRU ke-12 dahulu PR hampir membentuk Kerajaan Pusat, jika tidak kerana kegagalan mendapatkan jumlah kerusi secukupnya dari Sarawak dan Sabah. Jadi jika PR masih memasang impian untuk membentuk Kerajaan Pusat, mereka perlu bekerja kuat agar rakyat Sarawak dan Sabah dapat menerima mereka.

Ada yang berkata sukar mendapatkan undi yang lumayan dari Sarawak dan Sabah kerana kebanyakan penduduknya tinggal di pedalaman yang hanya mengenali rupa dacing tua yang berkarat itu saja. Rakyat dua negeri itu juga dikatakan lebih terpengaruh dengan temberang RTM dan TV3 kerana media alternatif belum menjadi budaya yang begitu dekat dengan jiwa mereka.

Tapi benarkah begitu? Jika rakyat Sarawak dan Sabah masih terkebelakang dari segi pembangunan dan maklumat, mengapa rakyat Sabah pernah beberapa kali menukar kerajaan negeri dari USNO kepada BERJAYA dan dari BERJAYA kepada PBS?

Pada hemat saya faktor utama kemenangan sesuatu parti ialah kerja keras ahlinya di samping keampuhan strategi yang digunakan. Justru saya yakin tidak mustahil Sarawak dan Sabah ditawan jika kena gaya dan caranya!

Oleh: pendikar gunung kriang

1 comment:

koyengtempur said...

kamu sensitif...tahniah

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.