Thursday, April 9, 2009

Mereka Digantung Bersama Misteri Kematian Altantuya Yang MasihTergantung



Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar selepas mereka didapati bersalah terhadap tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya.

Hari ini Azilah dan Sirul dihukum mati. Beberapa tahun dahulu, Altantuya diletupkan dengan kejam. Seorang sudah meninggal, dua lagi bakal menyusul.

Jika Azilah dan Sirul TIDAK dihukum mati, jika mereka dibebaskan, mereka berpeluang menceritakan 'kisah benar' di sebalik pembunuhan wanita Mongolia itu untuk tatapan masyarakat. Tetapi kini mereka dihukum mati, soalan tidak terjawab.

Selepas Azilah dan Sirul dihukum mati kelak, tentu ada yang berharap kes ini dilupakan masyarakat. Tetapi manusia berakal tidak akan melupakan seorang Altantuya yang dibunuh dengan begitu kejam. Masyarakat akan terus tertanya-tanya: apa motif kedua orang polis berpangkat rendah itu membunuh Altantuya? Masyarakat tidak hairan jika Azilah dan Sirul membunuh nyamuk atau lalat, tetapi membunuh seseorang yang mereka akui tidak mengenalinya adalah sesuatu yang sangat aneh.

Walaupun Azilah dan Sirul dihukum mati, tetapi yang hidup akan terus tertanya-tanya soalan yang gagal dijawab oleh mahkamah: apa motif Altantuya dibunuh, mengapa dia begitu bahaya hingga perlu diletupkan sedemikian rupa, idea terkutuk siapakah yang begitu kejam memilih Altantuya kematian begitu dan sebagainya.

Azilah dan Sirul mungkin mati di tali gantung bersama misteri kematian Altantuya yang masih tergantung. Dan selagi soalan masih tergantung, pelbagai andaian masih diperkatakan.

Oleh: pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.