Tuesday, June 30, 2009

Anugerah Tun: Dr Burhanuddin, Boestamam, Pak Sako Juga Layak!!

Di Parlimen kelmarin, Perdana Menteri 1Malaysia mengumumkan kerajaaaan sedia menimbang cadangan untuk mengurniakan darjah kebesaran membawa gelaran Tun kepada pengasas Umno, Dato Onn Jaafar. Kata beliau pengurniaan darjah kebesaran itu adalah berdasarkan 'sumbangan besar' Dato Onn menyatukan rakyat berbilang bangsa dan perjuangan kemerdekaan negara.

Bagi saya jika asas pengurniaan Tun bersandarkan dua faktor itu: sumbangan besar menyatukan rakyat berbilang bangsa dan perjuangan kemerdekaan negara, bukan saja Dato Onn yang layak menerimanya, tetapi tokoh-tokoh lain juga. Ketika kita bercakap tentang tentang perjuangan kemerdekaan negara, sejarah yang dicatitikan di buku-buku teks sekolah lebih banyak bercerita tentang tokoh-tokoh Umno, termasuk Dato Onn. Nama-nama besar lain yang berjuang atas nama Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako), Dr Burhanuddin al-Helmy seperti dilupai perjuangan mereka. Mungkin cara perjuangan mereka yang anti-British dan keras itu tidak disukai oleh penjajah yang lebih menyukai cara perjuangan berkompromi Umno, tapi wajarkah selepas lebih setengah abad merdeka kita masih mewarisi kepompong pemikiran penjajah dengan melupakan perjuangan tokoh-tokoh kiri dan islamis ini? Penjajah British memang diketahui sangat benci kepada musuh-musuh mereka itu, tetapi haruskah kita juga berkongsi kebencian yang sama warisan penjajah?

Berbanding dengan Dato Onn, tokoh-tokoh kiri dan islamis ini berjuang lebih lama untuk kemerdekaan negara menerusi KMM dan PKMM. Ketika Dato Onn sibuk minum-minum teh dengan pemerintah penjajah, golongan kiri dan islamis ini pula keluar masuk penjara kerana penentangan mereka terhadap British.

Oleh itu, jika Dato Onn yang banyak berkompromi dengan penjajah itu diberikan gelaran Tun, pelopor kemerdekaan yang menentang penjajah secara kekerasan juga patut diberi penghargaan yang sama.
Bukan sahaja mereka yang berjuang dengan pena wajar diberikan penghargaan, mereka yang berjuang dengan keringat, darah dan jeriji besi penjara juga patut diberi penghargaan yang sama!

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.