Wednesday, June 10, 2009

Apa Ke Jadahnya Kerajaan Perpaduan Tu?



Maaf, saya ini bukan ahli politik. Saya hanya peminat politik. Ini kerana sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari terbabit dengan politik. Apa yang jadi dalam dunia ini sedikit sebanyak ada kaitan dengan politik. Jadi mau tak mau saya terpaksa jadi peminat politik.


Kerana saya bukan ahli politik, jangan marah jika saya menulis sesuatu yang nampak tidak cerdik mengenai politik. Salah satu yang sangat saya tidak faham akhir-akhir ini tapi hampir setiap hari dibincangkan dalam media kita ialah mengenai kerajaan perpaduan Malaysia. Saya sangat tidak faham mengenai kerajaan perpaduan yang pada mulanya ialah ilham TG Haji Hadi tapi sekarang ini nampaknya sudah menjadi modal besar Umno pula sampai setiap hari sejak lepas Muktamar PAS ada-ada saja komen dari pemimpin Umno mengenainya.

Tapi masalahnya saya tidak faham makna sebenar kerajaan perpaduan ala-Malaysia ini. Yang saya ingat kerajaan perpaduan ini pernah wujud di Palestin dahulu, iaitu lepas pilihanraya Parlimen Palestin pada 2006 yang menyaksikan Hamas yang dipimpin oleh Ismail Haniyeh menang besar menewaskan Fatah yang dipimpin oleh Mahmoud Abbas. Walaupun Hamas di bawah Ismail Haniyeh boleh membentuk kerajaannya sendiri, tapi ia memberi peluang kepada Fatah yang nyawa-nyawa ikan itu untuk berkongsi kuasa dalam kerajaan perpaduan Palestin. Kerajaan perpaduan Palestin ini terdiri dari 9 anggota dari HAMAS termasuk Perdana Menteri Ismail Haniyeh, 6 dari FATAH termasuk Timbalan Perdana Menteri, 4 dari parti-parti lain dan 5 dari calon bebas.

Tapi selepas Fatah yang nyawa-nyawa ikan itu diberi peluang memerintah dalam kerajaan perpaduan, mereka berusaha memperkuatkan diri sehingga akhirnya Hamas yang menerima sokongan rakyat dalam pilihanraya sebelum itu diusir keluar dari tebing barat oleh Fatah dan kini hanya berkuasa di Gaza yang mundur dari segi ekonomi itu. Akhirnya gara-gara kerajaan perpaduan parti yang disokong majoriti rakyat diusir oleh puak minoriti yang mulanya hanya tinggal nyawa-nyawa ikan!

Dan kini media heboh dengan kerajaan perpaduan Malaysia. Saya tidak faham dengan dengan makna kerajaan perpaduan itu, sangat tidak faham! Yang menjadi saya tidak faham kerana pertama ia seolah-olah hanya membabitkan Umno dan Pas tanpa mengambilkira pandangan kerabat-kerabat Umno yang lain dalam BN dan kerabat-kerabat Pas dalam PR. Ia berbeza dengan kerajaan perpaduan Palestin yang juga termasuk parti-parti kecil lain, malah calon bebas pun ada dalam kerajaan perpaduan itu. Tapi kerajaan perpaduan Malaysia hanya melibatkan Umno dan Pas!

Itu pertama, yang keduanya saya khuatir sejarah lalu akan berulang kembali. Sejarah Pas dihalau dari BN bagai anjing kurap pada 1978 tentu masih segar dalam ingatan dan tidak mungkin dipadam oleh catatan sejarah. Dan yang ketiga saya tertanya-tanya mungkinkah selepas terbentuknya kerajaan perpaduan Umno-Pas, nasib Pas akan menjadi seperti Hamas yang menang besar dalam pilihanraya Parlimen Palestin pada 2006 tapi akhirnya dihalau keluar ke Gaza seperti yang berlaku kepada Pas pada 1978? Kata sejarawan 'history repeat itself'!

Memandangkan saya sangat tidak faham dengan konsep kerajaan perpaduan ini, saya rasa gembira apabila ada desakan supaya TG Haji Hadi menerangkan konsep kerajaan perpaduan itu bagi mengelakkan kekeliruan dan perpecahan ummah. Selagi ia masih sebagai konsep yang tidak difahami, pasti ada yang akan tertanya-tanya, 'Apa itu kerajaan perpaduan?'. Dan jika bekas wartawan NTV7, Wan Kamaruddin Wan Ibrahim yang terkenal outspoken itu memahami apa yang sedang saya fiirkan tentu dia juga akan bertanya, 'Apa ke jadahnya kerajaan perpaduan' itu? (Jangan marah kerana menggunakan perkataan popular Kamaruddin dalam blog ini).

- pendikar gunung kriang

1 comment:

Anonymous said...

kerajaan perpaduan untuk org2 melayu jer kot ?

org cina dan india lantak dia org laaaa

tapi bukankah islam itu utk SEMUA?

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.