Monday, June 29, 2009

Jangan Guna Bahasa Melayu, Ia Tak Komersial!!

http://2.bp.blogspot.com/_gFxWmItLIoc/R9sw7u4GKFI/AAAAAAAAAeg/X9TwSwE4HPI/s400/isa%2520sabu%2520pic.jpg


Tergelak besar saya dengan petikan berita Bernama yang melaporkan mempelam sala keluaran Perlis kini ditukar nama kepada Perlisunshine kononnya atas alasan untuk mengkomersialkan mempelam itu ke pasaran antarabangsa. Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu ketika mengumumkannya berkata penjenamaan semula mempelam sala dibuat sejajar dengan perkembangan terkini komiditi itu yang kini telah mula memasuki pasaran Indonesia dan Singapura. Beliau juga berkata dengan penjenamaan semula itu akan meletakkan komiditi itu pada tahap yang lebih baik.

Membaca berita itu, saya tertanya-tanya: benarkah nama memainkan peranan yang begitu besar hingga boleh meningkatkan permintaan pembeli? Atau adakah faktor mutu, pemasaran berkesan, keberkesanan iklan dan harga berpatutan lebih penting dari nama dalam meningkatkan jualan?

Jika nama itu begitu penting mengapa bahan keluaran Jepun berjenama bahasa ibunda negara itu seperti Fuji, Fujitsu, Nippon, Matsushita, Toshiba, Mitsubishi, Toyota, Honda, Yamaha, Suzuki dan lain-lain terus mendapat pasaran dunia tanpa perlu ditukarkan kepada nama-nama Inggeris untuk mengkomersialkannya? Begitu juga mengapa Korea masih menggunakan nama bahan keluaran dalam bahasa ibundanya seperti Samsung, Hyundai, SsangYong yang turut popular di luar negeri, tanpa perlu ditukar kepada jenama dalam Bahasa Inggeris?

Tidak tahulah idea siapakah ini untuk menukar nama mempelam sala kepada perlisunshine. Mungkin ia idea Pengarah FAMA Negeri, Pengarah Pertanian Negeri atau idea Md Isa sendiri? Mungkin ia idea Menteri Besar itu sendiri yang semasa sebelum menjadi MB sangat menggemari roti jenama sunshine bagi menggantikan nasi yang cuba dihindarinya kerana penyakit kencing manis?

Bagi saya anggapan bahawa jenama dalam Bahasa Melayu tidak komersial adalah satu penghinaan terhadap bahasa itu. Sebelum ini mereka telah menghina Bahasa Melayu dengan melaksanakan PPSMI, menukar nama Bank Pertanian kepada Agro Bank dan pelbagai penghinaan lagi, dan kini penghinaan itu diteruskan lagi dengan menukar nama mempelam sala kepada perlisunshine. Aduhai.....

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.