Thursday, June 4, 2009

Pakai Baju PKR Tapi Darah Masih Cap Dacing

http://undp-swm.seri.com.my/images/mpsp.gif

Kabar dari Butterworth menyatakan lapan ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dari PKR memboikot majlis angkat sumpah presiden MPSP yang baru, Mokhtar Mohd Jait pagi tadi. Mereka bertindak demikian sebagai membantah pelantikan kakitangan awam memegang jawatan tersebut.

Saya tidak faham mengapa marah sangat pemimpin-pemimpin PKR ini kepada penjawat awam, hingga bila penjawat awam memegang jawatan presiden MPSP mereka memboikot perlantikannya. Nampaknya mereka juga seperti orang-orang Umno dan BN yang sering mencurigai penjawat awam. Di suatu agensi kerajaan di mana saya pernah bertugas dahulu, begitu marahnya seorang pemimpin tempatan BN terhadap kakitangan agensi itu hingga dia memanggil agensi itu sebagai 'telaga buruk pembangkang'. Ini kerana kebetulan hampir kesemua anggota agensi itu penyokong PR termasuk bossnya sekali yang sering berkempen secara bisik-bisik kepada anak buahnya.

Sebenarnya bagi kebanyakan kakitangan awam terutama di peringkat daerah dan negeri, mereka sangat kecewa dengan perangai sesetengah pemimpin politik (baca: BN/Umno) peringkat pertengahan dan bawahan. Bila menghadiri kursus pengurusan yang dihadiri oleh kakitangan kerajaan, salah satu masalah yang sering dibangkitkan ialah mengenai campur tangan politik, maksudnya ketika itu, campurtangan pemimpin-pemimpin Umno/BN dalam pengurusan agensi masing-masing. Malah dalam satu bengkel yang pernah saya hadiri, campurtangan pemimpin Umno/BN dalam pengurusan agensi itu telah diadukan kepada Pak Menteri yang merasmikan bengkel berkenaan. Dan Pak Menteri itu seperti biasa berjanji untuk mengkajinya. Tapi bila masing-masing balik ke pejabat campur tangan politik itu masih tidak berakhir.


Saya lebih suka melihat jika orang politik tidak kira orang BN atau PR buat kerja politik dan membiarkan pentadbiran awam itu diuruskan oleh kakitangan awam. Dalam konteks MPSP, walaupun presidennya boleh sama ada dijawat oleh pegawai awam atau ahli politik, tetapi PKR tidak perlu mempamerkan diri mereka sebagai puak yang terlalu kemaruk dengan jawatan dan kuasa. Jika mereka terlalu kemaruk dengan jawatan, pangkat dan kuasa, kakitangan awam akan melihat mereka sebagai dua kali lima sahaja dengan perangai pemimpin-pemimpin BN yang memerintah mereka dahulu. PKR sudah ada perwakilan yang cukup dalam MPSP, tidak perlulah mereka berebut dengan penjawat awam jawatan presiden pula. Janganlah tunjuk wajah seperti pemimpin Umno/BN yang semuanya mereka hendak, kaut habis dari bawah sampai atas. Tunjuklah diri sebagai wira rakyat yang sentiasa sedia berkhidmat serta tidak gila jawatan dan kuasa.

Saya menulis ini kerana saya begitu mengenali perasaan mereka yang bekerja dalam agensi kerajaan yang sering menjadi hamba kepada tuan-tuan besar mereka yang kebanyakannya dulu memakai baju bercap dacing. Tapi kini jika ada tuan-tuan mereka yang memakai baju bercap mata juga bersikap seperti mereka yang memakai baju bercap dacing, saya sangat dukacita. Jika sudah pakai baju PKR tapi darah masih cap keris dan dacing, apa gunanya?

Blog saya ini terlalu kerdil dan saya berharap tiada pendokong PKR yang membacanya, kerana saya tahu mereka pasti marah jika membacanya.

- pendikar gunung kriang

1 comment:

malaysia baru said...

Bagi peluang presiden MPSP yang baru tunjukkan kehebatan melaksanakan kerja... Lepas itu kalau tak setuju...baru minta dia resign!

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.