Friday, July 10, 2009

Mentor Najib Mula Menikamnya Selepas 100 Hari!!



Esok genaplah 100 hari Najib Tun Razak menjadi PM 1Malaysia. Tentu esok dan lusa media akan membuat pelbagai penilaian tentang kejayaan Najib selama 100 hari berkuasa. Pastinya semuanya cerita baik-baik belaka. Jika ada cerita kurang baik, ia tidak keluar dalam media, ia disembunyi rapat di dalam laci penyunting berita.

Tapi lain pula halnya dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terkenal bermulut celupar itu. Beliau dengan sinis menempelak Najib bahawa pentadbiran beliau selama 100 hari ini "lebih banyak yang negatif daripada yang positif". Aduhai tikaman berbisa yang menikam hingga ke tulang sum-sum!

Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini seperti yang dilaporkan oleh mStar Online, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura. Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru. Satu perkara lagi yang dianggap negatif menurut Dr Mahathir ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Selama ini Dr Mahathir dikatakan ramai orang sebagai mentor kepada Najib. Tapi hari ini Dr Mahathir telah memulakan tikaman berbisanya kepada protege nya. Dulu (hingga kini pun) dia menikam Anwar, lepas itu Pak Lah dan kini Najib, semuanya protege nya, semua ditikamnya. Dan perangai Dr Mahathir sejak dulu ialah bila dia sudak mula sekali menikam, dia akan terus menikam lagi. Sebab bagi Dr Mahathir semua orang - Anwar, Pak Lah dan kini Najib merupakan mereka tidak sempurna, yang sempurna hanyalah dia sahaja....

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.