Saturday, July 11, 2009

KPI Nasional - Jangan Cuma Melepas Batuk Ditangga

http://2.bp.blogspot.com/_2F9nTcAJr7c/SiQFS7Xkk8I/AAAAAAAAFpg/O9M7KW0z7GQ/s1600/FEATURE_PM_NajibRazak.jpg

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional yang merangkumi enam bidang keberhasilan utama (KRA) termasuk usaha mencegah jenayah dan memerangi rasuah.

Bidang-bidang lain termasuklah usaha meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana. Pengumuman itu dibuat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung menerusi RTM.

Najib juga menyatakan butiran lanjut KPI itu akan diumumkan kepada umum selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

KPI memang telah diwujudkan di jabatan dan agensi kerajaan bagi mengukur prestasi sesuatu jabatan/agensi. Sebelum penggunaan KPI, jabatan/agensi kerajaan menggunakan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) bagi mengukur prestasi pencapaian mereka.

Apa pentingnya KPI bagi sesuatu jabatan/agensi? Menerusi KPI kita dapat menilai sejauh mana keberkesanan sesuatu jabatan/agensi melaksanakan janji-janji mereka kepada pelanggannya. Sebab itu salah satu faktor kenaikan pangkat ketua agensi berkenaan adalah dengan melihat pencapaian KPI mereka. Ketua agensi yang gagal mencapai KPI pada tahap tertentu dikira gagal mengemudikan agensinya, lemah dalam menguruskan agensi dan tidak layak dinaikkan pangkat.

Dan hari ini apabila Najib mengumumkan KPI Nasional, bermakna beliau menjanjikan satu tahap pencapaian kepada rakyat. Dan seperti KPI di jabatan/agensi kerajaan yang perlu disokong oleh angka-angka tertentu, KPI Nasional ini juga perlu ada angka petunjuknya. Maknanya apabila Najib meletakkan pencegahan jenayah dan memerangi rasuah dalam KPI Nasional, beliau perlu tunjukkan kepada rakyat angka-angkanya. Misalnya jika kini kes jenayah pada sesuatu angka tertentu, beiau perlu tunjukkan penurunannya pada sesuatu angka. Begitu juga dengan rasuah, beliau perlu tunjukkan dalam KPI Nasional angka-angka pengurangan kes rasuah; termasuk kedudukan ranking rasuah negara ini dari tangga berapa akan menurun ke tangga berapa selepas KPI Nasional dilaksanakan.

Sekiranya beliau gagal mencapai angka-angaka yang ditetapkan dalam KPI Nasional, bermakna beliau, seperti ketua agensi kerajaan tidak layak berada di atas kerusinya - beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri!

Najib menyatakan butiran lanjut KPI itu akan diumumkan selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan kerajaan. Tentu ramai yang ingin mengetahui butiran lanjut KPI Nasional, ingin tahu angka-angka yang mendokong KPI Nasional. Jika Najib berjaya menunaikan janji KPInya, beliau layak mengemudi negara, tetapi jika beliau gagal mencapai KPInya, beliau akan dianggap sebagai Perdana Menteri yang gagal dan boleh mengucapkan selamat tinngal dengan jawatan itu!

Apapun, sesuatu yang penting dalam KPI ialah kemunasabahannya. Tidak guna meletakkan sasaran KPI pada tahap terlalu rendah dan mudah dicapai semata-mata untuk menunjukkan kepada orang luar kita juga ada KPI, sedang ia cuma KPI melepas batuk ditangga!!

~ pendikar gunbung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.