Saturday, July 4, 2009

PKR Kedah: Kami Tak Kan Merajuk Macam DAP

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menolak desas-desus bahawa ia juga kemungkinan akan keluar Pakatan Rakyat Kedah mengikut langkah rakannya, DAP yang Rabu lalu mengumumkan pendirian meninggalkan ikatan pembangkang itu.

Sambil menegaskan anggapan sedemikian tidak benar, Pengerusi PKR Kedah, Ahmad Kassim berkata, pihaknya yakin isu DAP negeri itu keluar Pakatan akan dapat diselesaikan dengan baik secepat mungkin.

"Tak betul. Saya pegang (kerusi) Pengerusi PKR negeri, tak akan keluar (Pakatan).

"Kita pun sudah selesaikan isu babitkan PAS berkaitan dengan kerajaan perpaduan, tak akan kami nak keluar Pakatan Rakyat," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah ketika dihubungi mStar Online.

Beliau memberitahu, pihaknya akan berusaha untuk memujuk DAP agar mengkaji semula pendirian mereka dan kekal dalam Pakatan.

"Harap (mereka) tidak keluar. Kalau saya diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya akan menemui DAP dan memujuk mereka," kata Ahmad lagi.

Beliau berkata, isu penyembelihan babi di Alor Setar yang digunakan sebagai alasan untuk keluar Pakatan sebenarnya "perkara kecil yang boleh diselesaikan."

"Saya pun sudah bercakap dengan Menteri Besar Kedah semalam. Cuma masa sahaja tidak kena (tindakan merobohkan pusat penyembelihan)... isu ini adalah isu yang boleh diselesaikan," kata beliau sambil menambah, pusat yang dirobohkan Rabu lalu merupakan salah satu daripada tiga lokasi penyembelihan yang sedia ada.

"Jadi saya tidak menganggap pusat penyembelihan adalah isu yang membawa kepada tindakan mereka keluar, mereka cuma merajuk... kita boleh selesaikan," katanya.

"Lokasi pusat ini tidak sesuai... kalau ada reban ayam pun, saya akan robohkan," katanya.

(Sumber: Star Online)

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.