Tuesday, July 7, 2009

PPSMI: Hadiah Untuk Pengundi Melayu MU Esok!!


http://myawfa.files.wordpress.com/2009/03/bahasainggeris.jpg

Esok, seperti kata Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi, kabinet akan membuat keputusan muktamad berhubung kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) .

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau akan turut membentangkan beberapa cadangan dan perakuan bagaimana kerajaan hendak terus memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah rendah dan menengah.

Tentunya ramai yang sedang tertunggu-tunggu pengumuman kerajaan esok. Bukan sahaja pelajar dan tenaga pengajar di sekolah dan institusi pendidikan, tetapi para ibu bapa, waris dan tokoh-tokoh bahasa tertunggu-tunggu apa yang bakal diputuskan oleh kabinet esok. Malah pengundi-pengundi DUN Manek Urai yang akan mengundi pada 14 Julai 2009 juga ingin tahu keputusannya!!

Manek Urai, Manek Urai, tapi apa kaitan Manek Urai dan PPSMI? Tentu ada kaitan rapat antara Manek Urai dan PPSMI. Kelmarin Muhyiddin menyatakan Manek Urai bakal menjadi noktah berakhirnya "nasib malang" BN dalam pilihanraya kecil selama ini. Bermakna BN akan melakukan apa saja bagi menentukan kemenangan pada kali ini. Dan jangan hairan jika PPSMI dijadikan umpan bagi memastikan kemenangan BN. Sebab itu pengumuman PPSMI diumumkan selepas mesyuarat kabinet esok dan bukannya dalam mesyuarat kabinet minggu depan (pada 15 Julai), kerana ia telah melepasi tempoh pembuangan undi pilihanraya kecil Manek Urai pada 14 Julai!

Justru pengumuman mengenai PPSMI esok sudah boleh diteka: BM akan dinobatkan semula sebagai bahasa pengantar dalam subjek sains dan matematik di negara ini. Jika ia menjadi realiti (sains dan matematik diajar dalam BM), ia pasti menggembirakan semua ibu bapa, terutama Melayu di luar bandar, termasuk pengundi Manek Urai, yang hampir kesemuanya Melayu itu.

Apapun, kita tunggu sajalah esok, sama ada ianya berita baik untuk pencinta bahasa, atau berita buruk! Tapi jauh di sudut hati, saya percaya jika pun ada berita baik (BM dinobatkan sebagai bahasa pengantar dalam pengajian sains dan matematik), ia pasti disertai dengan syarat-syarat tertentu.......

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.