Thursday, August 13, 2009

Cuti Panjang Yang Tak Muktamad


Jika anda sudah semakin jarang melihat saya bersiaran dalam blog ini, itu bermakna apa yang saya katakan sebelum ini bahawa kesibukan bagi menyelesaikan satu
operasi khas itu semakin terasa. Dan ia ditambah pula dengan kesibukan peribadi kerana saya akan berpindah ke kediaman baru pada Sabtu ini. Kesibukan membungkus barang sekarang dan berpindah rumah 2 hari nanti membatas lagi waktu untuk melayari internet. Dan kemuncaknya ialah pada hari Ahad nanti kerana talian streamyx yang digunakan selama ini akan diputuskan sementara oleh Telekom dan akan disambung ke kediaman baru dalam tempoh yang yang belum dipastikan. Jadi selama kira-kira 2 minggu ini terpaksalah saya bercuti panjang dari melayari internet. Jika ada masa, mungkin saya akan cuba curi-curi gunakan laptop isteri untuk layari internet (Itu pun, jika di kediaman baru itu ada talian berok band!)
. Jadi cuti panjang saya itu tidak muktamad, ia bergantung kepada banyak keadaan.

Kepada sahabat blogger sama ada yang menyokong atau tidak menyokong saya, teruskan perjuangan di alam siber ini. Saya akan kembali sepenuhnya, insyaallah, selepas operasi khas dan masalah perpindahan ke kediaman baru selesai. Sementara itu, jaga kesihatan diri bagi menghadapi babi yang semakin ganas menggila itu. 44 telah pergi disondol babi dan pasti ramai lagi yang akan pergi selepas ini. Jika anda berada di negeri yang agak selamat seperti di Kelantan, Terengganu dan Perlis, cuba hindari melawati negeri-negeri lubuk maut selsema babi terutama Selangor, Johor dan Melaka. Tapi jika anda sedang bermaustatin di 3 negeri itu, berdoa, bersabarlah dan jaga kesihatan diri selalu.

~ pendikar gunung kriang

Tuesday, August 11, 2009

Mereka Bukan Bapa Perompak, Datuk, Tapi Kepala Bapa Perompak!!

http://www.sun2surf.com/images/sun2surf/articles/27599/Azhar%20Ibrahim.jpg

Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang ditadbir oleh PR sebagai "bapa perompak" kerana menerima baki bayaran premium hasil penjualan tanah Kg Buah Pala (seperti yang termaktub dalam undang-undang tanah).


"Jika mereka menuduh kita perompak, merekalah bapa perompak".

Apa yang Azhar katakan itu memang benar: Jika bukan bapa perompak, apa ke jadah namanya jika sudah lebih setengah abad kerja mereka hanya membahagikan kontrak sesama kroni macam negara ini mak bapa mereka punya?

Jika bukan bapa perompak, apa ke jadah namanya jika projek yang cuma bernilai RM100 juta ditawar kepada kroni RM140 juta dan projek RM500 juta ditawar kepada kroni RM650 juta?

Jika bukan bapa perompak, apa ke jadah namanya jika beli kapal selam dan ambil komisyen RM530 juta?

Jika bukan bapa perompak apa ke jadah namanya hingga negara seperti hampir muflis dengan hutang negara bertambah saban tahun hingga menjadi RM303 bilion pada akhir tahun 2008?

Jika bukan bapa perompak, apa yang patut digelar kerajaan BN yang memerintah 1Malaysia ini, wahai Datuk Azhar? Jika bukan bapa perompak, adakah Kerajaan BN itu patut digelar KEPALA BAPA PEROMPAK?

~ pendikar gunung kriang

UMNO, Aku Rindu Suaramu!!!


Tiba-tiba saja sejak beberapa hari lepas, replika besar Najib yang dinaikkan beberapa ratus meter di depan patung besar Dewa Muruga yang berwarna emas di pintu masuk gua Batu Caves, menjadi isu.

Apa tidak menjadi isu, di lokasi yang hampir sama pada Oktober tahun lepas, replika Anwar telah dinaikkan oleh penyokong-penyokongnya dan kemudian menjadi ISU BESAR dalam UMNO. Umno Gombak dan pemimpin-pemimpin besar parti itu, termasuk menterinya mendepani usaha menentang keras penegakan replika Anwar, kerana imej besar berdekatan simpang jalan itu didakwa mengganggu kelancaran lalulintas di samping bertentangan dengan Islam. Malah Mufti dPerlis ketika itu sempat mengeluarkan fatwa mengenai penegakan replika itu.

Anehnya, apabila replika Najib berdiri megah di Batu Caves, tiada pula komen keras dari pemimpin-pemimpin UMNO, termasuk UMNO Gombak. Malah ketika dihubungi Malaysiakini kelmarini, ketua UMNO Gombak, Abdul Rahim, enggan mengulas mengenai replika presiden UMNO dengan alasan "belum melihat sendiri imej tersebut". Tidak tahulah sama ada beliau, menteri-menteri UMNO dan Mufti Perlis sempat melihat replika Anwar sebelum memberi komen mereka dahulu!

Apapun, kita harap pemimpin-pemimpin UMNO termasuk Ketua UMNO Gombak yang menentang keras penegakan replika Anwar dahulu dapat memberi komen dalam tempoh terdekat. Kita hendak melihat sama ada mereka masih punya pendirian konsisten dalam isu itu. Janganlah bila terkena kain orang, kita nampak kotornya; tapi bila terkena seluar dalam sendiri, buat-buat tak nampak dan tak rasa pula!

bersuaralah UMNO mengenai replika Najib ini
bersuaralah UMNO
katakan sesuatu
UMNO, aku rindu suaramu!!


~ pendikar gunung kriang

Amaran SPR: Kemenangan Pas di Ptg Pasir Akan Dibatalkan!!!

Belum pun hari penamaan calon, belumpun hari pengundian pilihanraya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah pun membayangkan siapa pemenangnya dan tindakan yang bakal diambil kepada pemenangnya.

Ini berikutan amaran keras Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof bahawa pihaknya akan membatalkan kemenangan "mana-mana calon" sekiranya terdapat laporan dan bukti adanya kempen oleh parti calon berkenaan pada hari pengundian.

Siapa "mana-mana calon" yang dimaksudkan oleh Pengerusi SPR itu? Adakah ia calon BN? Pastinya ia bukan calon BN. Ini kerana pertama, berdasarklan sejarah pilihanraya lalu, SPR tidak pernah menghukum BN atas kesalahan sebesar mana pun yang dilakukannya. Tapi jika yang melakukannya pembangkang, kesalahan kecil pun boleh diperbesar-besarkannya. Jadi kita boleh membuat andaian dalam pilihanraya kecil PermatangPasir, BN "tidak akan dilihat melakukan kesalahan pilihanraya", walaupun melakukannya.

Kedua, berdasarkan rekod siri pilihanraya-pilihanraya Permatang Pasir yang lalu, pemenang mutlaknya ialah Pas. BN tidak pernah memenanginya kecuali ketika Anwar Ibrahim masih di dalam Umno dahulu.Jadi kita boleh membuat andaian SPR menujukan amaran akan membatalkan kemenangan pilihanraya Permatang Pasir pada 25 Ogos itu kepada Pas. Jika Pas menang dalam pilihanraya itu, kemenangannya akan dibatalkan atas alasan berkempen pada hari pengundian.

Tapi jika pada hari pengundian, Pas tidak berkempen adakah kemenangan calonnya tidak dibatalkan? Jawapannya ia belum tentu kerana bagi sebuah organisasi kaya raya seperti BN dan sebuah komponen BN bergelar SPR, permainan silap mata adalah perkara biasa. Mudah saja SPR mengadakan bukti untuk BN, seperti semudah mereka memadam bukti yang disampaikan PR kepada mereka.

Jadi kepada jentera pilihanraya Pas dan PR, berhati-hatilah sepanjang kempen berlangsung. Ingat: SPR sudah memberi amaran dan amaran itu bukan main-main. Bersiap sedialah untuk merasai rasa kepedihan sebuah kemenangan yang dibatalkan!!!

~ pendikar gunung kriang

Sunday, August 9, 2009

Betul Muhyiddin, Dia Memang Pengkhianat Melayu!!





Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pengkhianat Melayu yang dibuktikan menerusi beberapa tindak tanduknya selama ini. Memang betul Tan Sri, dia adalah pengkhianat Melayu. Dia memang pengkhianat Melayu, dia memang pengkhianat Melayu, dia memang pengkhianat Melayu!
Dia yang diberi nama UMNO itu diberi masa setengah abad untuk membantu Melayu, tapi dia lebih banyak mengkhianati Melayu demi kuasa dan memenuhkan kantung diri dan kroninya!!


BETUL MUHYIDDIN, DIA MEMANG PENGKHIANAT MELAYU!!


Betul katamu, Muhyiddin memang dia pengkhianat Melayu
memang dia pengkhianat Melayu

setengah abad diberi tampuk kuasa
tapi dia pengkhianat Melayu
ekuiti Melayu masih di takuk gitu-gitu juga

kerana mereka songlap harta negara atas tiket Bumiputra

kantung mereka merempah ruah, kantung kita tiris kosong

mereka tidur dalam mahligai agam penuh kemegahan
kita tidur dalam teratak usang penuh kedukaan
mereka berbelanja bagai nak rak di luar negara
kita bernafas semput ketika rezeki semakin susut.


Betul katamu, Muhyiddin
memang dia pengkhianat Melayu
memang dia pengkhianat Melayu

setengah abad diberi tampuk kuasa

Bahasa Melayu hanya arca hiasan

mesyuarat kabinet Bahasa Inggeris

mesyuarat di pejabat Bahasa Inggeris
wawancara diTV Bahasa Inggeris

pengumuman di pasaraya Bahasa Inggeris

kain rentang Bahasa Inggeris
Sains Matematik 6 tahun Bahasa Inggeris

nak ubah PPSMI ke Bahasa Melayu terkemut-kemut 3 tahun
precint, House of Justice, Bank Agro dan lain-lain
mana Bahasa Melayu, mana Bahasa Melayu
kerana mereka nampak Bahasa Melayu tiada nilai komersil

Betul katamu, Muhyiddin
memang dia pengkhianat Melayu
memang dia pengkhianat Melayu

setengah abad diberi tampuk kuasa

Melayu mendepani Rekod Guiness Malaysia:

Melayu jaguh dadah

Melayu jaguh rempit

Melayu jaguh buang anak haram

Melayu jaguh korupsi
Melayu jaguh lepak kosong

Melayu jaguh ragut
Melayu jaguh dan jaguh
Melayu jaguh segalanya yang bernama buruk dan keji.


Betul katamu, Muhyiddin memang dia pengkhianat Melayu
memang dia pengkhianat Melayu
setengah abad diberi tampuk kuasa

UMNO lebih banyak bercakap dari melakukannya
memang UMNO pengkhianat Melayu

dan Melayu akan pastikan

pengkhianat itu tidak akan bernafas lagi dalam PRU ke-13
kerana dia memang pengkhianat Melayu!!


~ pendikar gunung kriang

Tuhan, Aku Cinta PadaMu!!

http://apdnsemarang.files.wordpress.com/2009/07/ws-rendra.gif

Bergenang seketika air mata saya ketika membaca kisah saat-saat akhir kehidupan tokoh budayawan, penyair dan pejuang rakyat dan kemanusiaan terkemuka WS Rendra sebelum Allah menjemput beliau menemuiNya. Sebelum pergi menemui Yang Esa, masih sempat beliau bersolat Maghrib dan mandi, selain memotong dan membersihkan kukunya seperti tahu masa telah tiba untuk berangkat meninggalkan dunia ini buat selamanya. Malah yang lebih mengkagumkan, penyair terulung Nusantara ini sempat mengungkap sajak terakhir beliau yang diucapkan dengan pengakhiran: Tuhan, aku cinta padaMu.


Tuhan, Aku Cinta PadaMu


Aku lemas

Tapi berdaya

Aku tidak sambat rasa sakit

atau gatal


Aku pengin makan tajin

Aku tidak pernah sesak nafas

Tapi tubuhku tidak memuaskan

untuk punya posisi yang ideal dan wajar


Aku pengin membersihkan tubuhku

dari racun kimiawi

Aku ingin kembali pada jalan alam

Aku ingin meningkatkan pengabdian

kepada Allah


Tuhan, aku cinta padamu


SEMOGA ALLAH MENCUCURI RAHMAT TERHADAP ALLAHYARHAM DAN MELETAKKANNYA DI KALANGAN MEREKA YANG BERIMAN, AMIN..

~ pendikar gunung kriang

Saturday, August 8, 2009

Tak Payah Hanya Sekadar Jadi Pendengar Pekak Badak, Najib!!



PM 1Malaysia merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dilapor berkata oleh BERNAMA bahawa para pemimpin dan anggota parti itu mesti mempraktikkan tiga budaya iaitu "mendengar, berkhidmat dan menyelesaikan masalah" bagi memantapkan semula Umno. Najib berkata ketiga-tiga budaya itu penting bagi memastikan Umno terus dapat mempertahankan kedudukannya sebagai parti memerintah dan mendapat sokongan padu daripada rakyat.

Yang pertama dan paling penting, kata Najib, ialah budaya mendengar, "Kita kena sentiasa mendengar suara rakyat, rintihan rakyat, sanggup sentiasa di sisi rakyat dan bukannya jauh, bukan sombong tapi merendah diri dan jangan jadi golongan elit," katanya.

Tapi benarkah pemimpin Umno sedia mendengar suara rakyat, Datuk Seri? Tentu pemimpin Umno bertanya, bagaimana dan dari saluran mana mereka boleh mendengar suara dan rintihan rakyat? Tentu ia bukan 'suara rakyat' hasil dari wawancara wartawan di TV dan akhbar kerana ianya boleh diatur. Tentu juga bukan dari demonstrasi jalanan kerana Umno/BN tidak percaya kehadiran puluhan ribu rakyat adalah manifestasi dari rintihan suara hati mereka. Salah satu kaedah mengetahui suara dan rintihan rakyat ialah menerusi tinjauan pendapat umum yang dilakukan oleh banyak pihak sebelum ini. Tapi ketika Najib meminta pemimpin dan anggota Umno untuk sedia mendengar suara dan rintihan rakyat yang dipancarkan menerusi tinjauan pendapat umum, adakah beliau sendiri bersedia menghormati keputusan tinjauan tersebut?

Contohnya apabila 74% daripada responden di Perak menerusi kajian Merdeka Centre menyatakan mereka mahukan DUN Perak dibubarkan, mengapa Najib dan pemimpin-pemimpin Umno/BN enggan mendengarnya? Dan terbaru apabila 91% daripada responden menerusi kajian KDN menyatakan mereka mahu ISA dimansuhkan mengapa Najib dan pemimpin-pemimpin Umno/BN masih bercakap mengenai pindaan dan bukannya pemansuhan ISA? Apalah maknanya 'budaya mendengar' yang disarankan oleh Najib kepada pemimpin-pemimpin dan anggota-anggota Umno jika mereka hanya berlagak menjadi pendengar yang pekak badak dan tidak melakukan apa-apa?

~ pendikar gunung kriang

Friday, August 7, 2009

Mampus SPRM....Kesan Darah Ditemui Di Pejabat Depa!!

Lawatan Koroner Azmil Muntapha Abas dan pegawai inkues ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam telah menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai kematian Teoh Beng Hock.

Ini kerana kesan, yang mungkin darah, ditemui di ruang tangga dari tingkat 14 - pintu masuk utama ke pejabat SPRM - ke tingkat 15 pejabat tersebut.

Lebih banyak kesan terdapat dalam sebuah bilik di tingkat 15. Yang memeranjatkan ialah koroner dimaklumkan bahawa polis tidak mengambil sampel dari kesan tersebut.

Peguam Lim Lip Eng yang mewakili keluarga Teoh berkata, pada mulanya koroner dijadualkan melawatkan keseluruhan tingkat 14, tetapi para peguam meminta supaya dilihat sekali tingkat 15.

"Kami sedang menaiki anak tangga ke tingkat 15 melalui pintu belakang. Bila kami sampai ke tingkat 15, kami dapat ada kesan sepanjang dua kaki atas lantai anak tangga tersebut.

"Kami bertanya kepada pengarah SPRM (Selangor) mengenainya, tetapi beliau tidak tahu. Pegawai penyiasat polis berkata beliau akan memeriksa kesan tersebut," kata Lim.

Apabila tiba di tingkat 15, mereka tidak dibenarkan melihat setiap bilik di situ.

Lim berkata, mereka ternampak lebih banyak kesan pada satu dinding bilik apabila mereka melihat menerusi kaca pintu.

(Sumber: Malaysiakini)

ADUN Galas Kritikal - Doakan Untuk Beliau


http://1.bp.blogspot.com/_S4MlRdSECg4/SlivNla0_0I/AAAAAAAAAiY/93guaSQACOY/s200/Chek+Hashim+Sulaiman.jpg

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Che Hashim Sulaiman, 45, yang sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di Guangzhao, China kerana barah usus dikatakan sedang berada di dalam keadaan kritikal dan dijadual menjalani pembedahan hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Harun, memberitahu BERNAMA Che Hashim telah menjalani rawatan di China sejak 18 hari lalu di mana Pas Kelantan telah meluluskan peruntukan RM200,000 bagi membiayai rawatannya.

Kepada umat Islam diharap dapat mendoakan kesejahteraan Che Hashim. Semoga pembedahan yang bakal dijalaninya hari ini berjalan lancar dan beliau dapat kembali menjalani hidup seperti biasa selepas ini.

~ pendikar gunung kriang

Al-Fatihah Untuk WS Rendra - Pejuang Rakyat dan Kemanusiaan

http://media.kapanlagi.com/p/ws_rendra-001.jpg

Sejak di era pelajar, saya sangat meminati susuk yang bernama WS Rendra itu. Saya meminati sajaknya, malah menghafal banyak bait-bait sajaknya kerana ia sangat dekat dengan suara nurani rakyat bawahan dan sarat dengan mesej kemanusiaan. Antara sajak-sajaknya yang sangat saya kagumi ialah Bersatulah Pelacur-Pelacur Kota Jakarta, Pesan Pencopet kepada Pacarnya, Paman Doblang, Sajak Seorang Tua Tentang Bandung Lautan Api dan Rajawali.

Rendra, 74, yang juga dikenali "Si Burung Merak" meninggal dunia pada 10.15 malam tadi akibat sakit jantung meninggalkan 11 orang anak daripada tiga isteri - dua daripadanya sudah diceraikan. Beliau yang dilahirkan sebagai seorang Kristian telah memeluk Islam pada Ogos 1970 ketika menikahi isteri keduanya Sitoresmi Prabuningrat menukar namanya menjadi Wahyu Sulaiman Rendra daripada nama asalnya Willibrodus Surendra Broto Renda.

Jenazah allahyarham dijadual dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Al-Fatihah untuk Rendra, tokoh pejuang rakyat dan kemanusiaan yang tiada bandingnya itu.

Sebagai ingatan terhadap Allayarham, saya titipkan sajak beliau 'Rajawali' yang ditujukan kepada pejuang-pejuang rakyat yang tidak pernah luntur semangat perjuangannya dalam menegakkan kebenaran:


Rajawali


Sebuah sangkar besi tidak bisa merubah seekor rajawali menjadi seekor burung nuri.

Rajawali adalah pacar langit dan didalam sangkar besi rajawali merasa pasti bahwa langit akan selalu menanti..

Langit tanpa rajawali adalah keluasan dan kebebasan tanpa sukma.


Tujuh langit tujuh rajawali, tujuh cakrawala tujuh pengembara

Rajawali terbang tinggi memasuki sepi memandang dunia

Rajawali di sangkar besi duduk bertapa mengolah hidupnya

Hidup adalah merjan2 kemungkinan yang terjadi dari kringat matahari


Tanpa kemantapan hati rajawali mata kita hanya melihat fatamorgana

Rajawali terbang tinggi membela langit dengan setia

Dan ia akan mematuk kedua matamu - wahai kamu, wahai kamu, pencemar langit yang durhaka!

Benar kata Rendra, sangkar besi (penjara) yang mengurung sang rajawali, tidak bisa mengubahnya menjadi seekor nuri yang tunduk kepada kata-kata sang penguasa.

Dan siapa pencemar langit yang durhaka itu? Pencemar langit yang durhaka itu ada di sekitar kita, mereka sangat berkuasa, namun jika anda adalah rajawali, anda tak perlu gentar dengan pencemar langit yang durhaka itu, kerana tiba masanya anda selaku rajawali akan mematuk kedua matanya hingga buta!!

~ pendikar gunung kriang

Jangan Panik, Yang Mati Belum Sampai 1,400!!

http://www.asiaone.com/a1media/health/06Jun09/others/ismail.jpg

Saya menonton TV malam tadi yang menayangkan wajah serius Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican yang meminta rakyat Malaysia supaya jangan panik berikutan kematian korban ke 14 selsema babi. Yang herannya ketika menyeru rakyat supaya 'jangan panik', wajah Ketua Pengarah Kesihatan itu sendiri seperti orang panik dengan alur-alur kerutan yang sangat jelas di dahinya.

Tapi betullah kata Tan Sri Ismail, mengapa rakyat Malaysia perlu panik? Yang meninggal kerana selsema babi itu bukankah baru 14 orang, bukannya 140 orang atau 1,400 orang. Oleh itu kita jangan panik, jalani kehidupan seperti biasa. Kita hanya boleh jadi panik jika yang kena selsema babi itu menteri kita, pegawai atasan Kementerian Kesihatan atau mereka yang dekat dengan kita. Selagi yang meninggal itu 'orang luar' dari lingkungan itu, walaupun ia saudara seagama kita, saudara 1Malaysia kita; janganlah panik. Ikutlah nasihat Ketua Pengarah Kesihatan: jangan panik! Tunggulah korban ke-100, ke-140 atau ke-1,400, kemudian baru kita sama-sama panik!!!

~ pendikar gunung kriang

Thursday, August 6, 2009

Dahsyat...Sampai 3 Orang Tolak Teoh?


SHAH ALAM: Saksi kesembilan inkues kematian Teoh Beng Hock, Dr Seah Lay Hong mengesahkan terdapat sekurang-kurangnya tiga sampel DNA lelaki yang tidak dikenali diambil daripada kesan tali pinggang yang terputus milik si mati.

Semasa memberi keterangan kepada mahkamah hari ini, Dr Seah juga tidak menolak kemungkinan bahawa Teoh telah dipegang oleh lebih daripada dua individu lain sebelum terjatuh dari tingkat 14 bangunan Plaza Masalam dekat sini.

Beliau sebelum itu menjawab soalan peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berhubung laporan ujian DNA yang dilakukannya keatas tali pinggang milik si mati yang menyebut terdapat sekurang-kurangnya satu lagi DNA lelaki yang tidak dikenali.

"Apa maksud anda dengan mengatakan sekurang-kurangnya?" soal Gobind.

Kemudian Dr Seah menjawab: "Ya, jumlah yang kecil atau juga mungkin lebih... bagaimanapun jika nak katakan ada DNA keempat, ia mungkin agak lemah."

Dr Seah merupakan seorang pakar DNA yang berkhidmat di Jabatan Kimia Malaysia.

Beliau adalah salah seorang daripada tiga ahli kimia yang dipanggil hari ini sebagai saksi.

(Sumber: star online)

Kini Sudah Ada Jawatan ISTERI PM Di Pejabat PM!!

http://sloone.files.wordpress.com/2009/03/datin-sri-rosmah-mansor.jpg

Selama ini saya sangka isteri Perdana Menteri hanya sekadar teman hidup seorang PM. Tidak sangka pula di bawah Najib, isteri bukan sekadar seorang teman hidup, tapi juga SATU JAWATAN di Pejabat PM! Saya cuma menyedarinya malam tadi selepas diberitahu kawan. Lantas saya melayari laman web Datin Seri Rosmah yang baru dilancarkan pada 4 Ogos lalu http://www4.pmo.gov.my/datinrosmah/ .

Yang menimbulkan rasa keyakinan saya bahawa isteri PM adalah SATU JAWATAN dan bukan sekadar teman hidup ialah laman web Rosmah menggunakan alamat pejabat PM: pmo.gov.my.

Bukan itu saja, alamat surat menyurat Rosmah juga sama dengan alamat pejabat PM:


MAIN BLOCK,
PRIME MINISTER'S OFFICE,
PERDANA PUTRA BUILDING,
FEDERAL GOVERNMENT
ADMINISTRATIVE CENTRE,
62502 PUTRAJAYA, MALAYSIA

Rosmah juga menggunakan nombor telefon, fax dan e-mail pejabat PM:

Tel : 603-8888 8000
Fax : 603-8888 3444
E-Mail :


Setahu saya perkara ini (isteri PM menggunakan kemudahan telefon, alamat surat menyurat, e-mail dan web pejabat PM) tidak pernah berlaku sebelumnya di Malaysia ini (Jika telahan saya tidak betul, sila maklumkan). Jika Rosmah yang cuma isteri PM boleh menggunakan kemudahan pejabat PM, seolah-olah Najib telah mewujudkan satu jawatan tetap baru di pejabatnya - Isteri PM. Jika isteri PM hanya sekadar pasngan hidup beliau dan bukannya jawatan tetap di pejabat PM, maka Rosmah tidak layak menggunakan nama dan alamat pejabat PM di hujung namanya. Jika teringin dan gila glamour sangat, sebagai isteri PM, Rosmah boleh menggunakan nama dan alamat kediaman PM di Seri Perdana kerana kemudahan yang disediakan di situ adalah juga untuk beliau sebagai isteri PM. Atau sebagai Yang Dipertua BAKTI, beliau boleh menggunakan kemudahan, termasuk alamat pejabat dan web BAKTI. Tetapi menggunakan kemudahan pejabat PM, ia sangat aneh dan janggal, kecuali memang ada satu jawatan tetap untuk Rosmah di situ.

Harap Najib dapat menjelaskan kepada rakyat 1Malaysia status sebenar Rosmah: sama ada beliau hanya sekadar isteri seorang PM atau sudah ada satu jawatan tetap Isteri PM di pejabat PM?

~ pendikar gunung kriang

Jika Keluarga Tahanan ISA Saman Kerajaan, Ia Bukan RM10 Juta....


Sekarang ini memang zaman saman menyaman.Yang terakhir ialah saman dari 3 persatuan iaitu Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman (LTAR) terhadap Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sebanyak RM10 juta kerana dikatakan kerugian besar akibat demonstrasi Sabtu lepas.

Mujurlah keluarga tahanan-tahanan ISA yang dizalimi mental dan fizikalnya itu tidak menyaman kerajaan kerana menahan tanpa bicara suami, anak atau ayah tempat mereka bergantung rezeki dan harapan selama ini. Jika semua keluarga tahanan ISA menyaman kerajaan tentu jumlahnya bukan RM10 juta, tapi ratusan juta atau meningkat bilion ringgit. Abdul Malik Hussain yang pernah ditahan di bawah ISA pada 1998 pernah menyaman kerajaan sebanyak RM2.5 juta dan dia telah memenangi kes itu. Jika semua tahanan atau anggota keluarga yang ditahan di bawah ISA sejak negara merdeka yang berjumlah ratusan orang itu menyaman kerajaan dalam jumlah yang sama (RM2.5 juta bagi satu keluarga), bayangkan jumlah yang perlu ditanggung oleh kerajaan.

Mujurlah tahanan atau anggota keluarga tahanan ISA yang lain tidak menyaman kerajaan. Mungkin kerana pihak yang menasihatkan tiga persatuan itu menyaman GMI tidak menanasihatkan tahanan ISA dan keluarga mereka untuk mengambil tindakan yang sama terhadap kerajaan, sebab kerajaan yang ditunjangi Umno itu adalah boss mereka!!

~ pendikar gunung kriang

Mengapa Saman GMI, Samanlah PDRM dan KDN!!


Ekoran demonstrasi anti-ISA pada Sabtu lepas, 3 persatuan yang dikatakan mewakili peniaga kecil Bumiputra diberitakan akan menyaman Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) sebanyak RM10 juta kononnya berdasarkan kerugian yang dialami akibat demonstrasi itu. Tiga Persatuan tersebut ialah Persatuan Peniaga Bumiputera Wilayah Persekutuan, Persatuan Penjaja dan Pekedai Bumiputera Wilayah Persekutuan dan Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman (LTAR).


Saya tidak tahu kaedah perkiraan yang diguna pakai hingga jumlah kerugian beberapa jam kerana penutupan premis perniagaan mereka itu meningkat RM10 juta. Mungkin ada pihak yang menjadi sponsor @ tukang kira kerugian peniaga, terutama sebuah parti politik yang begitu galak 'berjuang' untuk menarik sokongan Bumiputra. Kepada 3 persatuan yang menyaman GMI itu mereka perlu bertanya, adakah penutupan premis perniagaan mereka itu atas arahan GMI atau pihak lain atau atas kerelaan sendiri?

GMI tidak pernah meminta premis perniagaan ditutup kerana ia adalah demonstrasi aman. Difahamkan mereka menutup perniagaan masing-masing adalah atas arahan polis dan kerelaan sendiri. Jika ia adalah atas arahan polis, mengapa mereka menyaman GMI dan tidak menyaman PDRM dan KDN? Demonstasi yang diadakan itu adalah demonstrasi aman, keadaan hanya menjadi huru-hara selepas polis menggunakan kekerasan bagi menyuraikan perhimpunan yang mereka enggan mengeluarkan permitnya. Cuba tanya peniaga yang tidak menutup premis mereka, kabarnya mereka mendapat rezeki terpijak pada hari itu kerana begitu ramainya pengunjung dari 1Malaysia yang menyerbu premis mereka, terutama yang berasaskan makanan dan minuman.

Dan akhir sekali, adakah idea untuk menyaman GMI ini datangnya dari 3 persatuan itu sendiri dan bukannya hasil dari nasihat beberapa NGOk dan sebuah parti politik Melayu yang sangat mengkagumi ISA itu? Demonstrasi jalanan bukanlah sesuatu yang asing di negara ini. Mengapa beberapa demonstasi besar sebelum ini, umpamanya demontrasi-demontrasi di era reformasi pada 1998/99 dan anjuran BERSIH dan Gerakan Mansuhkan PPSMI di lokasi yang sama tidak pula terdengar peniaga-peniaga tersebut menyaman penganjurnya? Adakah mereka tidak menyaman penganjurnya kerana tidak dinasihatkan oleh parti politik itu untuk berbuat demikian?

~ pendikar gunung kriang

Wednesday, August 5, 2009

Sipa Gerangan Si-Kerbau Hitam Dalam Pas Itu?



Sekonyong-konyong nama Mohd. Khairul Azam Abd. Aziz (gambar) yang bertindak sebagai Penasihat Undang-Undang kepada Magaran tiba-tiba menjadi terkenal. Ia ekoran tindakan Khairul yang menyerahkan memorandum kepada Istana Negara Sabtu lalu mewakili Magaran yang proI-ISA itu. Dan ia menjadi semakin gempaq kerana Khairul diberitakan adalah ahli PAS - sebuah parti yang tidak pernah surut berjuang menentang akta gila babi itu.

Siapa si-mamat bernama Khairul yang tiba-tiba menjadi hero Magaran itu? Sejak bila dia menjadi ahli PAS dan adakah ia ahli yang aktif atau setakat ada nama dalam rekod parti tapi tidak pernah aktif memperjuangkan suara parti? Tindakan Khairul (jika benar dia ahli Pas) pasti dilihat mencemar imej Pas. Seperti kata pepatah, Khairul bak seekor kerbau membawa lumpur, habis semua nama parti terpalit. Tindakan Khairul (jika benar ia ahli Pas) bukanlah pelik benar kerana dalam parti yang sebesar Pas, tentu ada seekor dua ekor 'kerbau' yang mempunyai idea dan inspirasi berbeza dari kumpulannya. Ia juga berlaku dalam parti lain seperti Umno yang ada ahlinya yang pernah dituduh menjadi militan komunis.

Sama ada Khairul memang ahli Pas atau tidak, sesuatu yang melucukan saya ialah susuk Khairul mengingatkan saya kepada seorang pemimpin Umno yang berkulit gelap, berkaca mata tebal dan sangat anti-Pas dan PR dan kini menjadi orang yang paling berkuasa di Perak menerusi satu rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah. Adakah Khairul dan mat Perak itu ada hubungan kekeluargaan?

~ pendikar gunung kriang

Maafkan Saya, Maafkan Saya!!!

Assalamualaikum kepada semua yang bersiaran di blog ini,

Terlebih dahulu saya memohon seribu kemaafan kerana sudah lama tidak menulis di blog kerdil ini. Bagi sebilangan kecil pengikut blog ini tentu ada yang tertanya-tanya ke mana saya menghilang diri sejak dua minggu lepas? Sebenarnya saya sihat walafiat, cuma saya sangat tidak kecukupan masa dalam tempoh dua minggu ini bukan saja untuk menulis, malah menjenguk ke alam siber yang telah menjadi ketagihan saya sejak bertahun-tahun dahulu pun tak sempat. Bukan saja tidak kecukupan masa untuk menulis, malah membuka komputer pun tidak sempat. Berita di TV pun hanya sesekali sempat menonton, kerana banyak masa saya selama 2 minggu ini ialah dalam kenderaan berulang alik dari setempat ke setempat. Satu-satunya saluran sumber berita yang menghubungkan saya dengan dunia luar selama dua minggu ini ialah berita radio yang sangat singkat siarannya itu!

Saya tidak kecukupan masa untuk bersiaran di alam siber adalah kerana saya terlibat dalam satu operasi khas yang belum masanya untuk diceritakan di sini. Operasi itu mungkin memakan masa sebulan lebih dan dijangkan akan selesai sebelum bulan Ramadhan ini. Walau bagaimanapun keadaan sudah agak sedikit 'reda' kini dan saya sudah ada sedikit masa untuk mencuri-curi masa membuka komputer dalam tempoh yang sangat terhad. Dalam tempoh sekarang hingga operasi itu selesai sepenuhnya kelak, saya akan cuba menghidupkan kembali blog saya ini, walaupun mungkin tidak semeriah dahulu.

Jadi dalam 'tempoh kecederaan' ini, harap pengikut blog ini dapat memaafkan saya. Sehingga operasi khas ini selesai nanti, saya mohon maaf atas ketidak hadiran saya menyokong dan memeriahkan suara nurani rakyat di sekitar kita. Maafkan saya, maafkan saya dan doakan segalanya kembali seperti dahulu dengan segera......

~ pendikar gunung kriang