Wednesday, September 30, 2009

Pengundi BP: Buktikan Tahap Ketololan Anda Kepada Dunia!!

http://1.bp.blogspot.com/_0Fb6DSzBQUI/SrSUpQVBQpI/AAAAAAAAGzo/qHt1x55IYjg/s400/isa+samad.jpg
Awas.....dalam rambut gondrong pun ada tersembunyi wang untuk disogok!!!!!

Saya nak tulis isu ini sejak petang kelmarin lagi. Tapi PC di rumah digunakan anak untuk kerja sekolahnya dari petang hingga hampir tengah malam. Laptop isteri pula dibawa ke Langkawi, jadi peluang mencuri-curi masa menulis tak ada langsung.

Isu yang saya nak tulis ini ialah mengenai hobi pelik manusia yang suka bikin gempaq. Ada yang bikin gempaq dengan mencipta pelbagai rekod untuk kebaikan manusia seperti mencipta telefon, wireless, televisyen, kereta, kapalterbang, komputer, atau penemuan-penemuan baru di bidang perubatan dan teknologi untuk kesejahteraan manusia. Ada pula yang bikin gempaq dengan mencipta rekod-rekod pelik yang tidak berfaedah kepada orang lain seperti makan berkilo-kilo cacing, tinggal berhari-hari dengan binatang berbisa, berjalan telanjang bulat di tengah laluan sibuk, berjalan secara mengundur mengelilingi dunia dan macam-macam lagi.

Kelmarin satu lagi rekod pelik telah dicipta di dunia. Yang membanggakan kita ialah rekod pelik itu dicipta di Malaysia. Dan yang lebih menjadi kita terpegun kerana rekod pelik ini dicipta oleh Umno, sebuah parti yang menunjangi BN yang memerintah negara.

Rekod pelik yang dicipta Umno itu ialah pemilihan Isa Samad - tokoh penyogok politik wang @ rasuah sebagai calon BN Bagan Pinang. Yang peliknya ialah ketika dunia memandang hina kepada korupsi, ketika indeks persepsi rasuah Malaysia merudum dari anak tangga ke-43 pada tahun 2007 kepada 47 pada 2008, Umno pula memilih tokoh rasuah sebagai calonnya!

Apa yang sebenarnya hendak dibuktikan oleh Umno dengan pemilihan tokoh rasuah seperti Isa sebagai calon Bagan Pinang? Saya percaya Umno cuba membuktikan kepada dunia bahawa tokoh rasuah pun boleh menang di Malaysia, negara yang sudah terkenal dengan tahap rasuahnya yang tinggi di dunia itu. Jika di sesetengah negara pernah berlaku tokoh homosex, tokoh lesbian, tokoh filem bogel boleh menang dalam pilihanraya, mengapa tokoh rasuah tidak boleh menang di negara 'Malaysia Boleh' ini?

Kepada pengundi Bagan Pinang, inilah saat terbaik untuk mereka berjalan seiring dengan wawasan pemimpin besar kita untuk membuktikan sesuatu kepada dunia. Cara anda membuktikan kehebatan minda tolol kepada dunia mudah saja: undilah Isa Samad, tokoh rasuah itu, dalam pilihanraya Bagan Pinang nanti. Buktikan kepada dunia bahawa kita sentiasa menyanjungi rasuah sebagai budaya rakyat bagi mencapai kejayaan wawasan 1Malaysia dan Wawasan 2020 yang tinggal 8 tahun saja lagi itu. Buktikan kepada dunia bahawa pengundi tolol seperti kita boleh melakukan banyak perkara bodoh untuk menarik perhatian lensa kamera wartawan luar negara!

Kepada pengundi Bagan Pinang, sila ambil perhatian jangan sekali-kali mengundi calon PAS, Haji Zulkefly Mohammad Omar, kerana dia terkenal dengan sifat bersihnya. Calon bersih seperti yang diketengahkan oleh PAS itu tidak layak menjadi wakil rakyat Bagan Pinang. Kemenangan calon bersih sepertinya hanya akan menjejaskankan kedudukan dan peluang negara Malaysia yang sedang berusaha keras meletakkan dirinya dalam kelompok negara paling rasuah di dunia ini. Jika tahun lepas negara ini berada di tangga ke-47 dalam indeks persepsi rasuah, pemilihan calon rasuah seperti Isa sangat penting bagi memastikan kita berada di tangga yang lebih teruk, sama ada di tangga 60 atau 70, malah 100 pada tahun-tahun mendatang.

Justru, kepada pengundi Bagan Pinang (BP), jangan lupa untuk memilih BN dalam pilihanraya kecil yang bakal berlangsung nanti. Ingatlah satu undi kepada Isa adalah satu bukti penting ketololan diri anda yang perlu dipertontonkan untuk diketawakan oleh masyarakat Malaysia dan dunia. Oleh itu, buktikan tahap ketololan, kepandiran dan kebodohan diri anda dengan mengundi Isa dalam pilihanraya kecil itu nanti!!!

~ pendikar gunung kriang

Monday, September 28, 2009

Brahim Katak: Dah Tua, Tak Guna Pula!!

http://1.bp.blogspot.com/_6ipzT2dKaWI/SaSbz8M_IEI/AAAAAAAAAEw/NbomLOT2DRY/s320/katak+Ibrahim+Ali+2.jpg

Saya nak tergelak apabila mengikuti polemik mutakhir antara Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali @ Brahim Katak (BK). Ia bermula dengan desakan Menteri Besar itu supaya BK melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan PAS - parti yang mengangkatnya menjadi Ahli Parlimen dalam PRU 12. Ini bukan pertama kali BK diminta oleh Tok Guru mahu pun pihak-pihak lain untuk meletak jawatan. Tapi seperti katak puru di bawah tempurung, BK hanya tersengih setiap kali dicabar kerana dalam hatinya dia sedar jika pilihanraya diadakan dan dia bertanding dengan memakai baju bebas atau BN, dia bukan saja pasti tewas, malah mungkin hilang wang pertaruhan. Sebagai MB yang memegang kepada kewajaran prinsip, cabaran Tok Guru itu memang patut dibuat. Yang menjadi tak wajar ialah pihak yang dicabar cuma seekor katak yang menyerupai manusia. Malangnya mana ada katak di dalam sejarah planet bumi yang memahami bahasa manusia, kecuali cerita dongeng Barat tentang putera Raja yangb disumpah menjadi katak?


Yang lebih memilukan mengenai BK ini ialah apabila cabaran Tok Guru dijawabnya dengan meminta Nik Aziz meletak jawatan kerana kononnya gagal melaksanakan tugas sebagai MB dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda. Saya tidak faham mengapa Tok Guru dikatakan gagal melaksanakan tugas sebagai MB. Kalau gagal, mengapa beliau masih diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan MB sejak 19 tahun yang lalu?

Mengenai faktor usia, ia juga agak melucukan apabila yang mengucapkannya ialah BK. Jika yang mengucapkannya KJ, tidak heranlah, sebab dia masih berusia awal 30an. BK bukan orang muda lagi. Usianya yang telah mencecahi 60 tahun itu boleh digelar sebagai warga emas yang bila-bila masa sahaja boleh dipanggil Illahi mengadapNya. Oleh itu apabila BK menyatakan Tok Guru sudah tua, dia seperti meludah ke langit, akhirnya terkena batang hidung tuanya sendiri!!

Tok Guru dalam jawapan kepada BK mengenai isu tua ini berkata faktor usia yang tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik. "Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.

Benar kata Tok Guru, tua apa salahnya, kerana muda juga bukan satu kelebihan. Yang salahnya ialah apabila menjadi orang sepert BK yang sudahlah tua, tapi masih berlagak seperti sampah tegar yang enggan berundur, walau sudah cuba diusir berpuluh kali!

~ pendikar gunung kriang

Sunday, September 27, 2009

Rasuah: Malaysia Dikeji, Pulau Pinang Dipuji!!

Corruption Perceptions Index 2008



Teruknya Malaysia! Itulah ungkapan yang terdetik di hati saya selepas terbaca laporan Transparency International (TI) yang meletakkan Malaysia di tangga 47 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2008 berbanding tangga ke 43 pada tahun 2007. Menggelunsur 4 anak tangga! Tahap keyakinan (confidence range) terhadap negara ini pula mengikut laporan TI cuma pada kadar 4.5-5.7 daripada skala maksimum 10; alahai teruknya!!


Yang ironinya ialah kedudukan Malaysia di tangga ke-47 itu lebih buruk dari Israel yang dilabel kita sebagai negara rejim zionis dan ganas yang diletakkan di tangga ke-33 dan Singapura yang sering dikecam oleh pemimpin-pemimpin kita pula berada di tangga keempat Indeks Persepsi Rasuah 2008. Alahai!!!

Mujurlahlah juga nama buruk Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dilunakkan sedikit oleh Pulau Pinang yang menerima pujian dari TI kerana langkah-langkah drastik oleh Kerajaan Negeri di bawah pimpinan PR itu dalam memerangi rasuah. Secara kebetulan, Pulau Pinang yang sedang berusaha membanteras rasuah itu dipimpin oleh DAP - sebuah parti yang selalu dilabel sebagai 'adik' kepada PAP yang memerintah Singapura. Mungkin ada yang berkata jika 'abang' anti-rasuah, 'perangai baik' tersebut mempengaruhi juga pemikiran adiknya yang berada di Pulau Pinang itu. Betapa bertuahnya orang Pulau Pinang!!!

~ pendikar gunuing kriang

Apa Lagi Yang Depa dan Hanpa Nak Buat Di Selangor Lepas Ni?


Sejak beberapa hari ini kisah hikayat SELCAT (Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor) tiba-tiba heboh 1Malaysia. Ia menjadi kian heboh bila banyak pihak yang gila memperagakan suara mereka bercakap mengenai isu itu. Ia bermula dengan dakwaan Pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin baru-baru ini yang menuduh Selcat menimbulkan drama politik dan memalukannya dalam siasatan mengenai salah guna peruntukan kerajaan negeri sebelum pilihan raya umum tahun lepas. Lepas itu ramailah lagi yang bercakap mengenainya - Dato' Dr Hasan Ali, Nasrudin Hassan Tantawi (Ketua Dewan Pemuda PAS), Dr Dzulkifli Ahmad (AJK Pas Pusat), Teng Chang Kim (Pengerusi Selcat), Datuk Dr Maamor Osman (Setiausaha Agung PPIM) dan ramai lagi yang bercakap.

Tiba-tiba, seolah-olahnya Selcat telah menjadi isu besar yang bakal memecah belahkan persepakatan PR Selangor. Sebelum ini juga banyak juga isu yang didakwa media arus perdana bakal memecah belahkan PR Selangor, malangnya ia tidak menjadikan PR pecah dan hanyut. Kini isu Selcat pula digembar gemburkan.

Teruk kaedah siasatan Selcat hingga PR boleh tumbang di Selangor kerananya? Ia hanya bermula dengan kenyataan Pegawai Daerah (DO) Klang yang mendakwa terdera mindanya dengan kaedah siasatan Selcat. Ironinya yang mendakwa mindanya didera oleh Selcat cuma tuan DO seorang itu saja. DO-DO lain yang turut dalam prosiding soal siasat itu tidak dengar berkata apa-apa pun.

Saya secara peribadi tidak kenal DO yang bernama Bakhtiar Hussin itu. Tapi dia mesti pegawai tinggi Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD). Bukan calang-calang orang yang berani memegang jawatan DO ini. Biasanya hanya mereka yang tahan diuji mindanya saja menjawat jawatan DO. Ini kerana dalam sesuatu daerah, DO adalah pegawai yang paling berkuasa, dialah pengerusi jawatankuasa pembangunan, dialah pengerusi jawatankuasa keselamatan, dialah pengerusi majlis itu majlis ini di peringkat daerah, sehingga jatuh bangunnya sesuatu daerah orang lazimnya akan memandang kepadanya.

Bukan sesuatu yang luar biasa DO dikritik dalam mesyuarat di peringkat daerah dan negeri yang dihadirinya. Bukan sesuatu yang luar biasa juga DO dipanggil dan disiasat oleh audit, Jawatankuasa Kira-kira Negeri, malah membantu siasatan SPRM dalam sesuatu isu. Kaedah audit, Jawatankuasa Kira-Kira Negeri dan SPRM siasat pun boleh tahan hebatnya, ramai yang merah telinga dan ada kes yang saya dengar terpaksa gunakan khidmat bomoh sebelum menghadapi siasatan. Namun hampir tidak pernah didengari, ada DO atau ADO (Penolong Pegawai Daerah) yang melenting dan sensitif dengan prosedur siasatan yang dilaluinya hingga mengadu kepada media. Kebanyakannya melihat ia sebagai suatu perkara biasa, suatu asam garam dalam tugas-tugas DO yang begitu rencam dan pelbagai itu. Tapi Tuan Bakhtiar ini lain pula nampaknya. Tiba-tiba saja dia naik angin dan mengadu kepada media mengenai layanan yang diterimanya. Berbeza sekali dengan Yang Di Pertua Majlis Daerah Hulu Seklangor, Tukiman Nail yang menerima anugerah penyapu dari Khir Toyo kira-kira 2 tahun lepas. Ia suatu tragedi yang memalukan, tapi Tukiman begitu profesional, menerima hadiah itu dengan senyuman dan apabila media mewawancaranya, tidak pula dia kelihatan melenting atas anugerah yang begitu biadap dari seorang MB itu.

Mungkin antara Tukiman, DO-DO lain di Selangor yang disiasat oleh Selcat dan Bakhtiar berbeza. Mereka, kecuali Bakhtiar, mungkin manusia yang tahan uji, profesional dan bukan jenis manusia manja. Mereka, kecuali Bakhtiar, mungkin pegawai PTD yang berpengalaman menghadapi asam garam kehidupan seorang pegawai tinggi kerajaan yang sentiasa terdedah kepada kritik awam.

Yang hairannya, mengapa hanya kerana seorang Bakhtiar, Selangor tiba-tiba seperti hendak runtuh? Dan yang bertambah hairan lagi mengapa tiba-tiba ramai yang hendak menjadi hero dalam isu yang nampak seperti biasa dan tidak ada apa-apa itu? Atau isu Selcat itu hanya mainan media kita yang masih ternanti-nanti kejatuhan sebuah lagi kerajaan negeri PR selepas Perak?

Yang saya masih ternanti-nanti ialah: apa lagi di Selangor selepas ini? Apa lagi yang depa (BN) nak buat dan apa lagi yang hanpa (PR) nak buat bagi membantu BN menjatuhkan kerajaan negeri PR?

~ pendikar gunung kriang

Friday, September 25, 2009

Bagan Pinang: Saya Isytihar Sokongan Kepada Umno!!





UNDILAH BN dengan memangkah PR!!

Saya jarang-jarang sokong pendirian Umno dalam apa hal sekali pun. Tapi jika pendirian Umno itu menguntungkan rakyat, apa salahnya kita sokong. Petang ini ada satu berita baik yang dipetik dari Malaysiakini yang wajar kita sokong kerana ia menguntungan rakyat. Ia mengenai kata dua Umno Telok Kemang yang tetap tidak berganjak daripada pendirian mereka untuk terus menamakan Tan Sri Isa Samad dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, ketika hari penamaan calon hanya tinggal seminggu saja lagi.


Ketua Wanitanya Rohani Yaakob berkata, "Kita sudah ada kata putus. Seluruh bahagian Teluk Kemang sebulat suara mahu Tan Sri Isa diletakkan sebagai calon (tapi) terpulanglah (kepada presiden) hendak letak siapa,".

Mengapa saya sokong pendirian Umno Teluk Kemang? Mengapa saya sokong orang yang tidak bersih menjadi calon Umno, calon BN, dalam pilihanraya kecil yang sangat penting itu? Ini kerana saya ingin melihat tahap kecerdasan minda pengundi Bagan Pinang. Jika perwakilan Umno tidak kisah untuk mengundi dan memenangkan Isa Samad dan banyak lagi tokoh-tokoh tidak bersih dalam pemilihan parti itu sebelum ini, adakah pengundi Bagan Pinang berkongsi kepandiran yang sama dengan ketololan perwakilan Umno? Jika ditakdirkan Isa bertanding dalam pilihanraya itu dan menang, ia bermakna tahap pemikiran pengundi Bagan Pinang 2x5 saja dengan pemikiran perwakilan Umno. Tapi jika mereka menolak Isa, ia bermakna mereka lebih cerdik dari perwakilan Umno. Namun, dalam hati kecil saya, saya percaya jika Isa dicalonkan, peluang PR untuk merebut kawasan itu dari BN agak cerah. Ini kerana tahap pemikiran pengundi kita sudah jauh berubah, bukan lagi seperti zaman 10 hingga 50 tahun dulu di mana jika katak puru dicalonkan sebagai calon BN pun, dia akan menang. Saya yakin jika Isa dicalonkan, banyak undi BN akan mengalir masuk ke peti undi PR.

Jadi jika suara Umno Telok Kemang itu didengari oleh presiden UMNO, saya sangat suka. Saya ingin menyatakan dan mengisytiharkan sokongan penuh terhadap pendirian Umno Teluk Kemang yang tetap tidak berganjak menyokong Isa Samad sebagai calon Bagan Pinang. Saya suka Isa Samad bertanding, saya suka tengok dia hulur wang dua tiga guni kepada pengundi yang akan menukar nilai maruah mereka dengan memangkah parti lain dalam pilihanraya itu.

~ pendikar gunung kriang

Saya Sudah Pulih Dari Koma Yang Panjang!

My Photo

Assalamualaikum bloggers yang masih mengingati saya!

Saya pernah berjanji selepas semuanya pulih, saya pasti kembali bersiaran di blog ini. Memang banyak rintangan yang mengganggu kelancaran saya bersiaran dan berkarya menerusi blog ini sepanjang satu setengah bulan yang lepas. Selama satu setengah bulan ini, urusan rasmi bercampur urusan peribadi dan famili menghalang saya melayari dan aktif di alam siber. Halangan terakhir ialah ketidak lancaran talian streamyx, kerana brokband di tempat saya tinggal tak boleh harap langsung, walaupun ia cuma 2 kilometer dari pusat bandar Alor Setar. Tapi mulai hari ini talian streamyx sudah boleh dikatakan pulih. Saya gunakan ayat "sudah boleh dikatakan pulih" kerana masih ada gangguan talian. Tak tahulah apa sebabnya belum pulih sepenuhnya, mungkin juga kerana talian sibuk seperti lebuhraya yang banyak menerima tetamu sepanjang cuti panjang Edul Fitr ini. Sedang menulis ini pun, 2 kali talian streamyx terputus!

Kali terakhir saya benar-benar berkarya dan berposting ialah pada 11 Ogos. Tulisan-tulisan lain pada 13 Ogos, 6 September dan 22 September hanya sekadar pemberitahuan saya masih wujud di alam fana ini. Sepanjang tidak melayari internet dan bersiaran di blog ini, saya seperti orang koma yang hanya dapat mendengar dan melihat tetapi tidak dapat menyumbang apa-apa.

Kini talian telah boleh dikatakan pulih. Dan saya akan menulis lagi selepas ini. Mulai saat ini, saya tidak koma lagi dalam berkarya. Tapi seperti orang yang baru pulih dari koma yang panjang saya juga perlu sedikit masa pemulihan untuk berkarya sepenuhnya. Saya kena belajar bertak-tih dan mengesot sebelum dapat berjalan semula. Pasti sedikit masa diperlukan untuk mengembalikan sentuhan lama.....

~ pendikar gunung kriang

Tuesday, September 22, 2009

Salam EidulFitr Yang Terlewat

Sehingga kini masalah streamyx di kediaman baru saya masih belum selesai. Fedup betul. Sehari sebelum Raya, TM kata talian streamyx dah okey, tapi bila cuba buat connection, masih tak dapat. TM janji akan cuba atasi lepas cuti panjang EidulFitr (Alamak....kena tunggu sampai Raya Haji pula kot!!)
Sekarang saya menulis guna laptop isteri yang brok bandnya benar-benar macam berok kena belacan, melompat-lompat sekejap ada, sekejap tak ada (Lebih banyak tak ada, dari ada).
Apapun, saya ingin mengucapkan Salam EidulFitr untuk semua mereka yang masih mengunjungi blog ini. Harap ia bukan Salam EidulFitr yang terlewat, ketika sebahagian kita yang pulang ke kampung telah mula bersiap-siap untuk menamatkan percutian kita. Kepada yang sedang berpuasa enam, diucapkan selamat berpuasa. Kepada yang sedang memandu, berhati-hati memandu. Kepada yang bakal membuat rumah terbuka sempena EidulFitr, lakukannya secara sederhana. (Bercakap mengenai rumah terbuka ini, saya akan berada di rumah terbuka YAB Menteri Besar Kedah di Mentaloon pada hari Khamis ini. Jumpa di sana.......)
Harap kita bertemu lagi di siaran akan datang, selepas segalanya pulih seperti sediakala.
- pendikar gunung kriang

Sunday, September 6, 2009

Saya Akan Kembali...Insayallah..

Assalamualaikum,

Sudah lama saya tidak bersiaran di blog ini. Posting terkhir saya ialah pada 13 Ogos...lama benar kan? Apa boleh buat, banyak urusan rasmi dan tidak rasmi perlu dibereskan. Saya sudah jelaskan dalam posting terakhir saya dulu bahawa saya perlu bercuti panjang kerana sebab-sebab tertentu.

Kini, walaupun urusan rasmi sudah selesai, tapi urusan tidak rasmi masih belum selesai: talian streamyx di teratak baru saya belum dipulihkan oleh pihak TM. Sudah hampir 2 minggu berpindah rumah, tapi talian streamyx masih belum disambungkan...leceh betul...Saya menulis ini pun curi-curi tulis dengan menggunakan laptop isteri yang jarang berenggang darinya.

Dalam tempoh tidak menulis ini, banyak peristiwa besar berlaku. Tapi saya terpaksa cuma menjadi pemerhati, terpenjara dalam kesibukan dan kini terputus hubungan kerana tiada talian streamyx.

Saya akan kembali, itu pun jika ada peluang mencuri-curi menulis dengan menggunakan laptop isteri atau sehingga talian streamyx di teratak saya dipulihkan sepenuhnya oleh pihak TM.

Sehingga bertemu lagi, tidak terlambat rasanya untuk saya mengucapkan selamat meneruskan ibadat puasa kepada pengikut blog ini dan diharap anda dapat mengisinya dengan amalan yang mendekatkan lagi diri kita dengan Yang Maha Esa.

Saya akan kembali, Insayaallah.....

~ pendikar gunung kriang