Wednesday, September 30, 2009

Pengundi BP: Buktikan Tahap Ketololan Anda Kepada Dunia!!

http://1.bp.blogspot.com/_0Fb6DSzBQUI/SrSUpQVBQpI/AAAAAAAAGzo/qHt1x55IYjg/s400/isa+samad.jpg
Awas.....dalam rambut gondrong pun ada tersembunyi wang untuk disogok!!!!!

Saya nak tulis isu ini sejak petang kelmarin lagi. Tapi PC di rumah digunakan anak untuk kerja sekolahnya dari petang hingga hampir tengah malam. Laptop isteri pula dibawa ke Langkawi, jadi peluang mencuri-curi masa menulis tak ada langsung.

Isu yang saya nak tulis ini ialah mengenai hobi pelik manusia yang suka bikin gempaq. Ada yang bikin gempaq dengan mencipta pelbagai rekod untuk kebaikan manusia seperti mencipta telefon, wireless, televisyen, kereta, kapalterbang, komputer, atau penemuan-penemuan baru di bidang perubatan dan teknologi untuk kesejahteraan manusia. Ada pula yang bikin gempaq dengan mencipta rekod-rekod pelik yang tidak berfaedah kepada orang lain seperti makan berkilo-kilo cacing, tinggal berhari-hari dengan binatang berbisa, berjalan telanjang bulat di tengah laluan sibuk, berjalan secara mengundur mengelilingi dunia dan macam-macam lagi.

Kelmarin satu lagi rekod pelik telah dicipta di dunia. Yang membanggakan kita ialah rekod pelik itu dicipta di Malaysia. Dan yang lebih menjadi kita terpegun kerana rekod pelik ini dicipta oleh Umno, sebuah parti yang menunjangi BN yang memerintah negara.

Rekod pelik yang dicipta Umno itu ialah pemilihan Isa Samad - tokoh penyogok politik wang @ rasuah sebagai calon BN Bagan Pinang. Yang peliknya ialah ketika dunia memandang hina kepada korupsi, ketika indeks persepsi rasuah Malaysia merudum dari anak tangga ke-43 pada tahun 2007 kepada 47 pada 2008, Umno pula memilih tokoh rasuah sebagai calonnya!

Apa yang sebenarnya hendak dibuktikan oleh Umno dengan pemilihan tokoh rasuah seperti Isa sebagai calon Bagan Pinang? Saya percaya Umno cuba membuktikan kepada dunia bahawa tokoh rasuah pun boleh menang di Malaysia, negara yang sudah terkenal dengan tahap rasuahnya yang tinggi di dunia itu. Jika di sesetengah negara pernah berlaku tokoh homosex, tokoh lesbian, tokoh filem bogel boleh menang dalam pilihanraya, mengapa tokoh rasuah tidak boleh menang di negara 'Malaysia Boleh' ini?

Kepada pengundi Bagan Pinang, inilah saat terbaik untuk mereka berjalan seiring dengan wawasan pemimpin besar kita untuk membuktikan sesuatu kepada dunia. Cara anda membuktikan kehebatan minda tolol kepada dunia mudah saja: undilah Isa Samad, tokoh rasuah itu, dalam pilihanraya Bagan Pinang nanti. Buktikan kepada dunia bahawa kita sentiasa menyanjungi rasuah sebagai budaya rakyat bagi mencapai kejayaan wawasan 1Malaysia dan Wawasan 2020 yang tinggal 8 tahun saja lagi itu. Buktikan kepada dunia bahawa pengundi tolol seperti kita boleh melakukan banyak perkara bodoh untuk menarik perhatian lensa kamera wartawan luar negara!

Kepada pengundi Bagan Pinang, sila ambil perhatian jangan sekali-kali mengundi calon PAS, Haji Zulkefly Mohammad Omar, kerana dia terkenal dengan sifat bersihnya. Calon bersih seperti yang diketengahkan oleh PAS itu tidak layak menjadi wakil rakyat Bagan Pinang. Kemenangan calon bersih sepertinya hanya akan menjejaskankan kedudukan dan peluang negara Malaysia yang sedang berusaha keras meletakkan dirinya dalam kelompok negara paling rasuah di dunia ini. Jika tahun lepas negara ini berada di tangga ke-47 dalam indeks persepsi rasuah, pemilihan calon rasuah seperti Isa sangat penting bagi memastikan kita berada di tangga yang lebih teruk, sama ada di tangga 60 atau 70, malah 100 pada tahun-tahun mendatang.

Justru, kepada pengundi Bagan Pinang (BP), jangan lupa untuk memilih BN dalam pilihanraya kecil yang bakal berlangsung nanti. Ingatlah satu undi kepada Isa adalah satu bukti penting ketololan diri anda yang perlu dipertontonkan untuk diketawakan oleh masyarakat Malaysia dan dunia. Oleh itu, buktikan tahap ketololan, kepandiran dan kebodohan diri anda dengan mengundi Isa dalam pilihanraya kecil itu nanti!!!

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.