Tuesday, October 20, 2009

JJ & Chin Peng Di Las Vegas



Kerajaan disyor menawarkan taraf pemastautin tetap (PR) kepada lebih 200,000 warganegara Amerika Syarikat (AS) yang pernah menjadi rakyat negara ini bagi mewujudkan rangkaian ekonomi kukuh antara kedua-dua negara. Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (JJ), ketika membuat cadangan itu berkata kehadiran rakyat AS ke negara ini dapat menyuntik aliran masuk wang asing yang besar pada setiap tahun kerana jika seorang rakyat Amerika berbelanja USD10,000 di Malaysia, bermakna USD2 bilion (RM7.6 bilion) wang asing memasuki negara ini.


Saya tidak ingin komen mengenai kesan ekonomi kemasukan rakyat Amerika yang dicadang mendapat PR negara ini, kerana ia kerja pakar ekonomi menganalisisnya. Saya juga tidak mahu komen kesan sosial jika 200,000 rakyat Amerika masuk ke negara ini, kerana kita pun tahu bukan semua rakyat Amerika jahat, bukan semua suka sex bebas, bukan semua suka tepuk punggung orang. Biarlah soal itu diulas oleh pakar pengkaji sosial.

Cuma saya terfikir tentang beberapa orang seperti Chin Peng bekas pemimpin PKM yang kepingin sangat pulang ke Malaysia, tetapi tidak dibenarkan pemimpin kita. Sedangkan orang-orang dari Amerika ini yang bukan lagi rakyat Malaysia dan tidak teringin menjadi rakyat Malaysia, tetapi dipelawa sangat-sangat untuk pulang ke Malaysia. Agak janggal, orang tua yang cuma menunggu ajal hendak balik ke negara ini tidak dibenarkan; orang yang hatinya bukan lagi untuk Malaysia diminta balik, dirayu balik.

Memang betul ia salah ChinPeng. Dosa Chin Peng sangat besar, ketika sesetengah orang (tokoh-tokoh kemerdekaan negara) minum teh dengan Mat Salih di Kuala Lumpur dan London pada tahun 1950an, Chin Peng si-bodoh itu bersama rakan-rakannya termasuk beberapa orang Melayu berhaluan kiri masuk hutan memerangi penjajah. Ketika pejuang-pejuang kemerdekaan belajar di sekolah orang putih, berkawan dengan anak-anak Mat Salih dan melanjutkan pelajaran di negara orang putih, Chin Peng menjadi penderhaka dengan menyerang askar British dan estet Mat Salih. Siapa suruh dia memilih jalan yang salah sebegitu? Siapa suruh dia berjuang untuk memerdekakan rakyat dari cengkaman penjajah?

Yang tidak memilih jalan yang salah, yang sentiasa memilih jalan yang betul ialah 200,000 orang rakyat Amerika yang diajak balik oleh JJ pulang ke Malaysia itu. Mereka ini telah memilih jalan yang betul: keluar dari Malaysia yang tidak menjanjikan pulangan ekonomi yang baik dan berhijrah ke Amerika bagi mengejar kehidupan yang lebih lumayan. Mereka (200,000 rakyat Amerika ini) lebih bijak dari Chin Peng. Chin Peng hanya tahu bercakap mengenai Malaysia, Malaysia dan Malaysia (dulu dia memangggil Malaya, Malaya dan Malaya). 200,000 rakyat Amerika ini pula hanya bercakap mengenai Amerika, Amerika dan Amerika dan kerana itulah mereka tidak mahu lagi menjadi rakyat negera ini.

Chin Peng tentu tidak suka membaca berita ini. Tapi semuanya salah dia juga. Jika Chin Peng seorang taukeh judi yang kaya raya di Las Vegas, tentu kepulangannya ke Malaysia sangat dialu-alukan oleh JJ kerana ia dapat menjana ekonomi negara ini!

~ pendikar gunung kriang

2 comments:

Apai Ngelai said...

Itulah. Dulu nak sangat menderhaka, bunuh penduduk kampung, bunuh pasukan keselamatan kita, bunuh keamanan kat negara kita, bunuh kepercayaan penyokongnya masa berjuang menentang penjajah untuk kepentingan diri. Sudahnya kena halau, dah nak mati nak balik pun tak dapat.. Silap2 esok dibakar, abu pun main tabur jer kat ruang udara Malaysia guna airasia.

Tak suma orang boleh terima Chin Peng ni.. Patut2 dulu lagi dia dah mati kena pancung ahli keluarga mangsa yang dianiaya. Kalau kerajaan bagi dia ni balik, nanti apa kata keluarga mangsa kat kerajaan? Chin Peng ni korang jer yang sokong, sebab kalau dia balik bolehlah dia bagi ideologi komunismenya utk diaplikasikan kat politik korang yang kemaruk isu. cubalah lagi... pi lah merayu bagi pihak dia, kalau boleh ciumlah kaki duta AS tu.. Mudah2an dia pun sanggup berusaha sampai mati bantu pengkhianat tu.

pendikar gunung kriang said...

Salam apai, sori lambat jawab kerana kelmarin line semput satu hari.

Saya seronok baca tulisan apai. Tapi saya akan lebih seronok jika apai dapat meluangkan masa membaca buku-buku sejarah terutama zaman pra merdeka dan pasca merdeka negara. Ketika itu baru kita dapat menilai peristiwa sebenar sejarah yang berbeza dari buku sejarah tingkatan 5 seperti yang apai baca.

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.