Wednesday, October 14, 2009

Najib & Muhyiddin Dah Sedia Letak Jawatan?



Umno nak jadi seperti Parti Kongres (kiri) dan Kuomintang (tengah)?

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno dan BN akan bangkit semula dan mengulangi kegemilangannya sepertimana parti Kongres di India dan Parti Kuomintang di Taiwan yang pernah tewas tetapi bangkit semula dengan citra politik yang baru. Beliau dilapor berkata demikian ketika merasmi serentak perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC di ibu negara malam tadi.

Elok juga jika Umno dan BN berhasrat hendak jadi seperti Parti Kongres India dan Parti Kuomintang Taiwan. Di India Parti Kongres yang pernah tewas di peringkat federal kepada Parti Janata akhirnya mampu bangkit semula selepas perubahan total dilakukan dalam kepimpinan dan dasar parti itu. Tapi untuk bangkit semula pengorbanan besar telah dilakukan oleh tokoh-tokoh besar kedua-dua parti itu. Pemimpin-pemimpin order lama yang pernah menjadi ikon parti disingkirkan dan diganti dengan muka baru . Antara muka baru yang dipilih termasuk Sonia Ghandi yang berdarah 100% Itali dan tidak pernah terbabit dengan politik itu. Begitu juga dasar baru parti digubal bagi mengelakkan rakyat mengingati wajah hodoh Kongres yang sebelum itu dikenali sebagai parti yang penuh dengan elemen korup dan kronisme. Keadaan yang sama berlaku kepada Parti Kuomimtang di Taiwan di mana pemimpin-pemimpin baru di pilih bersama dasar baru yang menepati cita rasa rakyat.

Tapi mampukah Umno berubah seperti Parti Kongres dan Kuomintang baru? Untuk jadi seperti Parti Kongres dan Kuomintang baru, Umno dan BN perlu perubahan total. Saki baki order lama Umno yang tubuh mereka sarat dinodai pelbagai skandal seperti Najib, Muhyiddin, Khairy dan lain-lain perlu disingkirkan. Dasar lama termasuk mementingkan kaum keluarga, gaya hidup ultra-mewah, perkauman melampau dan sebagainya juga perlu diubah. Mungkin juga nama 'Malay' dalam Umno juga perlu diubah kepada 'Malaysia' supaya Umno tidak lagi kelihatan sebagai parti perkauman.

Tapi mampukah Umno berubah secara begitu drastik seperti yang telah ditunjukkan oleh Parti Kongres dan Kuomintang sebagaimana yang dihasratkan oleh Muhyiddin itu? Mahukah Najib, Muhyiddin dan order lama Umno berundur seperti kesediaan pemimpin-pemimpin utama Kongres dan Kuomintang? Atau seperti lazimnya kepada tokoh yang sayangkan kuasa, mereka masih tidak bersedia untuk turun takhta? Pemilihan Isa sebagai calon di Bagan Pinang dan seterusnya memenangi kerusi kawasan itu seperti membuktikan Umno tidak mampu dan tidak layak berubah! Mungkin Umno boleh menang di Bagan Pinang, mungkin Umno boleh bangkit sekali di Bagan Pinang, tapi ia tidak menjanjikan Umno akan bangkit secara total seperti bangkitnya Kongres dan Kuomintang di India dan Taiwan!

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.