Thursday, October 22, 2009

Peliknya... Tak Gigit Dihukum Kerana Menggigit!!



Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 ke atas ahli parlimen Batu, Tian Chua, selepas mendapatinya bersalah terhadap tuduhan menggigit seorang anggota polis dan menghalangnya daripada menjalankan tugas.

Sebelum ini, Majistret Mohd Faizi Che Abu mendapat Tian Chua bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Katanya, beliau mendapati Tian Chua bukan saksi yang berwibawa kerana pembelaannya hanya merupakan penafian semata-mata.

Malah, kata Mohd Faizi, rakaman video yang dikemukakan oleh pihak tertuduh menunjukkannya menghalang dirinya ditangkap.

Katanya, walaupun rakaman video tersebut tidak menunjukkan berlakunya pelakuan menggigit, tetapi beliau percaya ia berlaku kerana anggota polis berkenaan memberi keterangan bahawa beliau menumbuk tertuduh dan Tian Chua bertindak balas dengan menggigit.

Mohd Faizi juga berkata, bukan anggota polis tersebut yang dibicara tetapi tertuduh yang menghadapi perbicaraan.

Katanya, beliau mendapati kewibawaan anggota polis itu tidak terjejas kerana beliau mengaku, dalam keterangannya, telah menumbuk Tian Chua.

Dalam reaksinya, Tian Chua berkata beliau tidak fikir ianya satu penghakiman yang adil kerana mendakwa majistret dan pihak pendakwa bergantung kepada keterangan anggota polis terbabit dan berasaskan kepada bukti keadaan.

Katanya, ia tidak membuktikan bahawa kejadian menggigit itu berlaku.

Tian Chua mendakwa hukuman tersebut adalah untuk menghilangkan kelayakannya sebagai ahli parlimen.

"Saya akan terus berkhidmat kepada rakyat dan hukuman tersebut tidak akan menjejaskan agenda untuk perubahan dan pembaharuan," katanya.

Tian Chua, 46, yang nama penuhnya Chua Tian Chang, didakwa mencederakan konstabel Rosyaidi Anuar, 21, di depan bangunan Parlimen pada jam 10.45 pagi 11 Disember 2007.

Rosyaidi bertugas dengan Bahagian Narkotik Ibupejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur.

(
Sumber: Malaysiakini)

........................................................................................................

pendikar gunung kriang:

Sebelum beri komen harus saya akui, saya bukan arif di bidang undang-undang. Jadi, komen ini hanya sebagai orang biasa - layman - yang tidak lengkap ilmunya.

Sebagai orang biasa, saya melihat hukuman Mahkamah Majisteret Kuala Lumpur itu melucukan. Mengapa melucukan?

Pertama, Tian Chua dihukum 6 bulan penjara atas dakwaan menggigit anggota polis, tapi Majisteret yang arif itu berkata, tiada bukti Tian Chua menggigit anggota polis berkenaan! Sebaliknya hukuman itu dijatuhkan Majisteret kerana 'beliau percaya ia berlaku'. Satu lagi penghakiman berdasarkan dengar cakap (hear say)! Nasib baiklah yang membicarakan kes ini hakim junior, jika hakim senior seperti Augustin Paul, tentu awal-awal lagi dia sudah berkata, kes ini tak relevan!!

Kedua, majisteret yang menghakimi kes itu mengakui polis itu yang terlebih dahulu menumbuk Tian Chua. Memang anggota polis itu penjawat awam, tapi soalnya adakah penjawat awam dibenarkan menumbuk orang awam ketika bertugas? Jika penghakiman ini boleh dijadikan sebagai precedent dalam penghakiman mahkamah, alamak...habislah rakyat lepas ini! Misalnya jka ada guru yang menumbuk ibu bapa dan ibu bapa itu cuba mempertahankan dirinya, ibu bapa itu akan didapati bersalah. Begitu juga jika Perdana Menteri menumbuk dan meletupkan orang, orang yang diletupkan itu akan didapati bersalah! Teruknya jika ia dijadikan precedent!!

Ketiga, anggota polis yang 'digigit' bernama Roshaidi Anuar itu bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis. Mengapa anggota polis Bahagian Narkotik yang lazimnya bertugas menumpaskan aktiviti dadah itu ditugaskan menangkap seorang Ahli Parlimen yang bukannya penagih, pengedar, mahupun taukeh dadah? Mungkinkah badan Tian Chua yang macam papan sekeping itu kelihatan seperti penagih dadah ketika ditangkap?

Apapun, hukuman tersebut memang sesuatu yang berat untuk Tian Chua. Silap-silap hari bulan, ika rayuannya ditolak satu pilihanraya kecil bakal berlangsung di Parlimen Batu kerana Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen!

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.