Monday, October 5, 2009

SPR Cuma Akan Bertindak JIka Anggota Tentera Berani Berarak Menuntut Hak Mereka!



Pemalsuan dan tiada ketelusan undi pos bukan isu baru di negara ini. Ia sudah dibangkitkan sejak puluhan tahun dulu lagi. Tapi kerajaan BN mengambil langkah 'selamat' - mendiamkan diri atau sesekali menafikan ianya pernah berlaku. Saya sendiri mempunyai adik ipar, seorang pegawai tentera. Dia pernah beritahu saya tidak pernah mengundi, kerana ada orang lain yang mengundi bagi pihaknya. Ia pengakuan yang tidak mengejutkan saya. Saya juga percaya rakyat Malaysia tidak terkejut bila dikatakan undi pos tidak telus, undi pos tiada kerahsiaan, undi pos diselewengkan. Yang selalu berkata undi pos tidak pernah diselewengkan cuma pak-pak Menteri saja. Tapi itu kata mulut mereka. Dalam hati pak-pak Menteri ini juga pasti tahu undi pos memang tidak telus. Mereka tahu undi pos memang sering diselewengkan. Ramai anggota tentera tidak pernah mengundi, kerana ada tangan lain yang mengundi BN bagi pihak mereka. Atau ada yang pernah mengundi, tapi mereka hanya dibenarkan memangkah parti cap dacing itu saja. Pak-Pak Menteri pasti tahu maklumat ini. Tapi kerana ia sesuatu yang menguntungkan parti, pak-pak Menteri ini buat-buat tak tahu, buat-buat terkejut bila dikatakan undi pos diselewengkan.

Pegawai-pegawai atasan tentera sendiri pernah membuat pengakuan tiada kerahsiaan dalam undi pos, undi pos diselewengkan untuk manfaat BN. Antara yang pernah membuat pengakuan ialah bekas pegawai tentera, Brigadier Jeneral (B) Datuk Zakaria bin Hj Dahlan dan Brig Jeneral Hj Abdul Ghani B Hj Mahluddin.

Hari ini Malaysiakini melaporkan seorang lagi bekas sarjan mengakui pernah terlibat memangkah BN bagi pihak kira-kira 400 anggota tentera di kem Port Dickson dalam dua pilihan raya umum lalu. Sarjan (B), Abu Kassim, yang bertugas sebagai "sarjan gaji", berkata beliau dan beberapa kakitangan tentera dalam bahagian pentadbiran, seperti ketua kerani, mendapat arahan bagi memanipulasikan undi pos daripada pegawai pentadbir kem. Belaiu juga pernah melaporkan perkara ini kepada SPR pada hujung bulan Ogos lepas.

Apa tindakan SPR bagi mengatasi penyelewengan undi pos ini? SPR tidak akan melakukan apa-apa! SPR bukanlah suruhanjaya bebas seperti yang wujud di negara-negara demokrasi. Jadi tidak hairan ia tidak akan melakukan apa-apa. Seperti biasa jika diajukan soalan mengenai penyelewengan undi pos, skrip jawapan yang telah dihafal oleh pegawai SPR seperti yang lepas-lepas juga: nafi, nafi dan nafi. Walaupun banyak pihak yang mengemukakan saksi dan bukti, tapi SPR tetap kata tiada saksi dan bukti. Apa nak dihairankan, kerana bukankah SPR itu sendiri salah satu komponen parti dalam BN?

SPR mungkin hanya berani memberi kebebasan kepada anggota tentera mengundi jika anggota-anggota tentera itu sendiri berani berarak beramai-ramai ke pejabat SPR untuk menuntut hak bersuara mereka - hak bebas mengundi - yang dijamin dalam perlembagaan. Tapi perkara sedemikian tidak akan pernah berlaku di negara ini, kerana tentera kita bukanlah jenis tentera di negara jiran seperti Thailand, Filipina dan Indonesia yang begitu dekat dengan suara hati nurani rakyat.

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.