Wednesday, November 4, 2009

1Malaysia 2Cara Bayaran: Apa Ke Jadahnya Tu, Najib?



Saya amat bersetuju dengan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan yang dilaporkan mungkin membatalkan perjanjian menyerahkan hak cari gali kepada Petronas jika royalti petroleum tidak diberikan. Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan itu dicapai dalam Mesyuarat Exco tengahari tadi sebagai reaksi segera terhadap pengumuman Datuk Seri Najib Razak pagi ini di Parlimen yang ingin menyalurkan bantuan 'wang ehsan' kepada negeri itu mulai tahun hadapan.

Ketika Najib mengumumkan kenyataan tersebut di Parlimen, ramai wakil Pakatan Rakyat mengemukakan soalan sehingga menimbulkan kekecohan yang memaksa speaker menghentikan soalan mengenai peruntukan 'wang ehsan' itu. Bagi sesetengah pihak dalam BN, pasti pendirian Kerajaan Negeri Kelantan itu dilihat sebagai satu sikap tidak berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan. Yang menjadi persoalannnya, patutkah Kelantan berterima kasih jika bantuan yang dinamakan 'wang ehsan' yang hendak diberikan itu boleh dipertikaikan kejujurannya? Mengapa Kelantan hendak dibayar 'wang ehsan' untuk hasil petroleumnya, sedangkan untuk hasil petroleum bagi negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak, mereka dibayar wang royalti?

Bayaran royalti dan wang ehsan disalurkan menerusi cara yang berbeza. Peruntukan royalti berdasarkan 5% dari hasil minyak disalurkan terus kepada Kerajaan Negeri dan terpulanglah kepada kebijaksanaan Kerajaan Negeri berkenaan membelanjakannya. Wang ehsan pula seperti pengalaman di Terengganu dahulu, disalurkan dalam bentuk projek pembangunan dan program-program lain menerusi kawalan Jabatan Pembangunan Persekutuan yang kemudian mengagih-agihkannya kepada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri. Dari segi pelaksanaannya pula, projek perlu dipersetujui oleh Ketua-Ketua Bahagian Umno sebelum diimplementasikan.

Jadi jika Kelantan dibayar wang ehsan, peruntukan itu akan disalurkan menerusi agensi Kerajaan Persekutuan yang Menterinya ialah orang BN dan pelaksanaanya di peringkat negeri perlu menerusi pemimpin politik BN. Jika ini berlaku, kecenderungan untuk berlaku adil dalam pengagihan peruntukan kepada sebuah kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang sangat diragukan. Dalam kes Terengganu, bekas Menteri Besar, Dato Seri Idris Jusoh pernah mengecam Kerajaan Pusat kerana menyalurkan peruntukan ke negeri itu yang sebahagiannya tanpa pengetahuannya. Itu kes antara kerajaan negeri BN dan Kerajaan Persekutuan BN. Jika kes seperti di Kelantan di mana Kerajaan Negeri PAS dan Kerajaan Persekutuan BN, bayangkanlah apa akan jadi dengan peruntukan wang ehsan itu.

Jika Najib yang terkenal dengan formula 1Malaysianya itu benar-benar jujur, tidak perlulah beliau melaksanakan 1Malaysia dengan dua kaedah bayaran petroleum berbeza untuk negeri yang diperintah oleh BN dan PAS. Jika Najib sedar Kelantan juga adalah di bawah 1 Malaysia seperti yang terpampang dalam peta Malaysia di dalam bilik pejabatnya, sepatutnya Kelantan juga berhak mendapat bayaran royalti petroleum seperti negeri-negeri lain

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.