Friday, November 13, 2009

Apa, Ingat Tu Duit Mak Bapak Hanpa Ka?

http://4.bp.blogspot.com/_-TmWcCkYErY/Sd3HU07Nz7I/AAAAAAAADhg/S9lOGEoc9pk/s320/NohOmar.jpg


Sejak dahulu lagi, saya sangat prejudis dengan bantuan-bantuan yang berbentuk subsidi ini. Tidak kiralah sama ada bantuan itu di depannya ada perkataan 'subsidi' atau tidak ada, tapi itulah maksudnya. Perasaan prejudis terhadap bantuan itu, dan bantuan ini mungkin juga kerana ia berdasarkan pengalaman silam, di mana saya nampak ia banyak diselewengkan. Dari bantuan biasiswa semasa persekolahan, bantuan buku teks, bantuan (pinjaman) peniaga kecil, bantuan kebajikan, bantuan PPRT, bantuan (subsidi) baja dan lain-lain; semuanya ada banyak cerita di belakang tabir. Cerita-cerita di belakang tabir ini pula (cerita penyelewengan bantuan) mungkin Kerajaan tidak tahu, atau mungkin itulah dasar yang digubalnya, tapi depa buat-buat tak tahu bila ditanya!

Dan petang semalam Parlimen riuh rendah selepas berlaku pertikaman lidah antara Menteri Pertanian, Noh Omar dengan anggota Parlimen PR berhubung borang permohonan baucer program subsidi beras untuk rakyat (SUBUR) ketika menteri itu sedang menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat dasar. Kekecohan berlaku apabila beberapa anggota Parlimen PR mempersoalkan terdapat ruang pada borang permohonan baucer itu untuk mendapatkan tanda tangan Ketua Bahagian Umno sedangkan SUBUR merupakan program kerajaan dan bukannya program Umno. Program beras subsidi itu datang dari peruntukan Kerajaan, hasil  wang rakyat, dan bukannya datang dari kantung Umno, jadi mengapa tanda tangan Ketua  Bahagian Umno diperlukan?



Noh yang pura-pura terkejut apabila borang itu ditunjukkan kepadanya berkata borang asal yang dikeluarkan tidak ada ruangan itu (ruangan untuk mendapatkan tanda tangan Ketua Umno Bahagian).
"Kalau tidak percaya boleh buka laman web, kita (boleh) tengok", katanya.


Memanglah Noh oooiii....dalam laman web tidak ada ruangan untuk tanda tangan Ketua Bahagian Umno itu. Seperti juga dalam banyak bantuan-bantuan sebelum ini, seperti bantuan baja, bantuan PPRT, bantuan kebajikan dan serba serbi bantuan mak nenek lain, memang asalnya tidak perlu tandatangan ketua Umno, tapi bila tiba di peringkat negeri, lain pula jadinya. Siapa yang tokok tambah, hasil perbincangan antara pihak mana dengan pihak mana hingga perkara itu berlaku; tahu sama tahu sajalah. 



Tapi jika Noh memang benar-benar tidak tahu hal itu berlaku, buatlah siasatan. Jangan main-main tuduh bahawa borang yang perlu tanda tangan Ketua Bahagian Umno itu sengaja dicetak oleh pembangkang untuk memburuk-burukkan Kerajaan. Siasat dulu baru bercakap, baru nampak gaya macam Menteri.



Lepas ini ada satu lagi bantuan subsidi yang akan diberi Kerajaan - bantuan subsidi petrol untuk golongan pemilik kenderaan tertentu. Saya sangat khuatir sejarah bantuan subsidi-subsidi sebelum ini berulang lagi: borang perlu ditandatangani oleh Ketua Bahagian Umno, Ketua Cawangan Umno, atau ape ape aje berkaitan Umno lagi!

Apa, ingat tu duit mak bapa hanpa ka?


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.