Monday, November 30, 2009

Kolonel Mat Yang Saya Kenali

l

Ini pun kolonel juga....Kolonel Sanders!!


Selain dari isu doa TG Nik Aziz terhadap Dato Seri Najib, satu lagi isu popular sepanjang minggu ini ialah isu siapa Kolonel Mat yang dibangkitkan oleh TG Nik Aziz. Hebatnya Kolonel Mat yang cuba memecah belahkan PAS itu hingga blogger Kickdefella pun mengaku mengenali orang itu.


Bukan saja Kickdefella, saya juga boleh berkata saya pun mengenali Kolonel Mat. Dan saya bukan saja sekadar berkata, kerana itulah yang sebenarnya - saya memang megenali siapa Kolonel Mat. Kolonel Mat pertama yang saya kenali ialah seorang yang sudah agak veteran yang meniti pangkat demi pangkat dalam tentera hingga menjadi Kolonel. Saya mengenali beliau ketika bertugas di salah satu daerah di Pulau Pinang dan beliau sering menjadi wakil Pegawai  Memerintah Kem Sungai Petani untuk menghadiri mesyuarat di pejabat saya. Tiada yang istimewanya tentang Kolonel Mat ini selain dari suara parau dan kumis cap ular sawa di atas bibirnya. Saya sangat yakin Kolonel Mat ini tidak dikenali langsung oleh TG Nik Aziz!



Ketika bertugas di daerah yang sama, saya juga kadang-kadang diminta oleh boss saya untuk menghadiri pelbagai mesyuarat dan tugas lain di peringkat negeri dan sekali lagi saya mengenali ramai pegawai tentera dari pangkat rendah hingga pangkat tinggi, termasuk yang berpangkat kolonel. Dan yang berpangkat Kolonel ini, termasuk juga yang di depannya ada nama Mohamad, tidak kira Mohd Amin, Mohd Ismail, Mohd Iqbal dan lain-lain. Bagi saya mereka ini juga boleh dipanggil Kolonel Mat, walaupun ketika bertemu saya memanggil mereka sebagai 'kolonel' saja.


Ketika bertugas di salah satu agensi pusat di Kuala Lumpur selepas itu, saya sekali lagi menemui dan berurusan dengan ramai yang bernama Mat ini. Kebetulan saya menguruskan kewangan, termasuk kewangan MINDEF, jadi ramailah orang yang dipangkalnya ada nama Mohd atau Mat, termasuk yang berpangkat Kolonel yang saya temui dan berurusan dengan mereka hampir setiap hari.


Begitu banyak nama Kolonel Mat yang saya kenali dan pernah temui sehingga kini. Itu tidak termasuk lagi Sarjan Mat, Kapten Mat, Mejar Mat, Leftenan Kolonel hingga ke Jeneral Mat!! Oleh itu bila kini orang bercakap mengenai Kolonel Mat dan tertanya-tanya siapa Kolonel Mat, saya akan berkata: saya kenal siapa Kolonel Mat. Cuma rata-rata Kolonel Mat yang saya kenali tidak aktif mana-mana parti politik!!


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.