Friday, November 6, 2009

Masjid Putrajaya dan Masjid Negara Bukannya Masjid?


Lepas satu isu, satu isu lagi menguji kerajaan Pakatan Rakyat Selangor. Lepas isu 'ceramah tanpa tauliah' Dr Asri, kini 'ucapan tidak mengikut peraturan' exco kerajaan Selangor, Dr Xavier Jayakumar di satu majlis berbuka puasa di masjid Taman Seri Andalas, Ogos lepas pula menjadi isu.

Jawatankuasa Masjid tersebut, Mohamad Tarmizi Ismail berkata, setakat ini tidak ada arahan rasmi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang melarang masjid-masjid di negeri itu dimasuki oleh orang bukan Islam. Beliau diminta mengulas kenyataan Pengarah JAIS, Datuk Mohamed Khusrin Munawi untuk mengambil tindakan terhadap jawatankuasa majlis itu kerana membenarkan Dr Xavier, yang juga ADUN PKR bagi Seri Andalas, berucap di dewan utama masjid itu.

Kehadiran Dr Xavier di masjid tersebut dibantah oleh pergerakan Pemuda Umno Kota Raja yang menghantar memorandum kepada JAIS memintanya menyiasat tindakan jawatankuasa masjid itu.

"Sepatutnya JAIS keluarkanlah arahan rasmi (dahulu) supaya jelas kepada seluruh umat Islam di Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula dalam satu kenyataannya kepada mStar Online menyifatkan kenyataan Pengarah JAIS bahawa orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid merupakan satu pandangan yang sempit.

"Jika pandangan yang seperti ini cuba diamalkan, ia menunjukkan seakan Islam itu wujudkan permusuhan dengan bukan Islam. Saya ingin menasihatkan kepada JAIS dan juga rakan-rakannya supaya janganlah memberi pandangan-pandangan yang sempit hingga akhirnya masyarakat bukan Islam akan melihat Islam dari sudut yang negatif," kata Dr Asri kepada mStar.

Saya tidak ingin komen percanggahan pendapat di antara JAIS di satu pihak dan Pengerusi Masjid Seri Andalas dan Dr Asri di satu pihak lain itu. Ini kerana saya menyedari kekerdilan ilmu agama saya berbanding mereka. Saya tahu Dr Asri tinggi ilmu agamanya. Tapi saya tidak tahu setakat mana ilmu agama Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid tersebut, Mohamad Tarmizi Ismail. Tapi setahu saya Pengarah Jabatan Agama Islam negeri-negeri ialah Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) atau Pegawai Tadbir Negeri atau Pegawai Hal Ehwal Agama Islam. Jika Pengarahnya hanya seorang pegawai PTD, kelulusan agama bukannya kriteria penting bagi melayakkan mereka menjawat jawatan itu. Tapi jika Pengarahnya adalah Pegawai Hal Ehwal agama Islam, pasti ilmunya tinggi juga.

Saya juga tidak pasti tempat 'dewan' sebenar tempat Dr Xavier berucap, sama ada ia dewan solat, dewan jemaah mengadakan aktiviti atau dewan-dewan lain.

Satu lagi yang memusykilkan saya ialah beberapa masjid besar seperti Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan beberapa Masjid Negeri boleh dikunjungi oleh orang bukan Islam, termasuk wanita dengan syarat mereka menutup aurat ketika memasuki masjid. Jika Masjid Negara dan Masjid Putrajaya boleh dikunjungi oleh mereka yang bukan Islam, mengapa Masjid Seri Andalas tidak boleh? Adakah kerana Masjid Seri Andalas cuma sebuah masjid yang tidak sebesar mana maka ia harus diberi layanan berbeza dengan masjid-masjid besar seperti Masjid Negara dan Masjid Putrajaya yang diketuai oleh Imam Besar gred 54?

Atau Masjid Negara dan Masjid Putrajaya boleh dimasuki oleh orang bukan Islam kerana ia bukan masjid dalam erti kata sebenar?

Mungkin juga benar seperti kata orang-orang tua-tua kita: lain padang, lain belalang; lain masjid, lain resamnya; lain jabatan agama, lain pengarahnya; lain pengarah, lain yang diarahnya. Begitulah adanya......

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.