Sunday, November 8, 2009

PAS, Jangan Lupa Tutup Zip Seluar Anda!!!

http://2.bp.blogspot.com/_Z7xr2E7rHA0/SnXa88rDWvI/AAAAAAAAAHY/6g6O4HH8zbw/s320/DSC00396.JPG

Ramai kalangan dalam Pas beberapa hari ini naik angin dengan kenyataan terhadap parti itu yang dikeluarkan oleh beberapa pihak yang dikira arif dan profesional di bidang mereka. Antaranya termasuklah Dr. Aziz Bari (UIA) dan Dr. Abu Hasan (UM). Ramai yang mempertikaikan sama ada kenyataan yang mereka buat itu berdasarkan 'kajian' yang benar-benar bersandarkan fakta dan data yang boleh dipertanggung jawabkan atau sekadar berdasarkan andaian?

Saya tidak ingin mengulas tentang sama ada 'kajian' mereka boleh dipercayai 100% atau tidak, kerana saya juga ada banyak pengalaman dalam mengumpul fakta ketika bertugas dengan beberapa jabatan kerajaan dan agak masak tentang cerita-cerita di sebalik pengumpulan data itu.

Cuma saya agak tidak berkenan dengan perangai sesetengah kita yang hanya suka dipuji dan melenting apabila ditegur. Jika anda dari jenis ini bermakna anda juga mewarisi perangai buruk kebanyakan musuh anda dalam BN yang berperangai sama - suka dipuji dan tidak gemar ditegur. Malah lepas kalah banyak kerusi dalam PRU ke-12 pun, sebahagian besar pemimpin BN masih kelihatan berlagak seperti manusia maksum yang tiada cacat celanya dan oleh itu tidak berhak ditegur! Oleh itu jika anda ahli Pas tidak menghargai teguran, apa bezanya antara anda dan Umno yang selalu anda kritik itu?

Mengapa kita tidak ingin melihat teguran dari perspektif baik? Jika pada suatu hari anda berjalan tergesa-gesa ke suatu majlis dan tiba-tiba ada seseorang menegur zip seluar anda yang tidak ditutup rapi dan hampir menampakkan sesuatu yang tersembunyi di dalamnya, adakah anda akan mengherdik si-penegur itu dan kemudian terus berjalan selamba tanpa menghiraukan zip seluar yang terbuka? Atau anda akan mengucapkan terima kasih kepada si-penegur kerana telah menyelamatkan anda dari terus dimalukan apabila berdiri di dalam satu majlis dan ratusan mata melihat ke arah zip seluar anda yang terdedah?

Janganlah kita menyangka semua parti politik sempurna sepenuhnya. Sedangkan BN yang banyak dana itu pun kerapkali terhoyong hayang, apa lagilah parti-parti lain. Lihatlah teguran Dr Aziz Bari dan Dr Abu Hasan dari perspektif yang baik. Pas ada kurang lebih 3 tahun lagi untuk menghadapi PRU ke-13 - suatu tempoh masa yang mencukupi untuk ia menutup zip seluar yang terlucut atau membeli zip baru jika zip yang ada telah rosak. Janganlah tunggu untuk menutup zip ketika sudah benar-benar terlewat apabila PRU ke-13 datang dan anda diketawakan oleh pengundi!!

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.