Wednesday, December 2, 2009

Apabila Suara Chin Peng, Dr M dan Pas Senada







Jarang-jarang sekali Dr Mahathir mempunyai pandangan yang sama dengan Pas. Kebanyakan pandangannya tidak sama dengan pandangan Pas. Kalau sama pun, pasti ada 'tapi'nya yang berbaur dengan sindiran tajam terhadap parti Islam itu. Tapi dalam kes Chin Peng yang ingin kembali ke negara ini, Dr Mahathir hari ini memberikan pandangan yang sama dengan apa yang pernah disuarakan oleh Salehudin Ayubi, Naib Presiden Pas - kepulangan Chin Peng perlu mengikut suara ramai. Salehudin  dalam hal ini pada 23 November lalu telah meminta kerajaan membuat satu referendum bagi melihat pandangan rakyat sama ada mereka menyokong kepulangan Chin Peng atau tidak.

Apabila suara Dr Mahathir senada dengan Pas, ia tidak bermakna mantan PM itu menyokong Pas, tapi dia cuma mungkin menyokong satu idea yang cukup baik dari tokoh Pas itu. Katanya, beliau sendiri akan bersetuju dengan apa saja yang diputuskan oleh orang ramai dalam isu Chin Peng itu. "Saya kena ambil kira perasaan orang. Kalau orang suka tiada masalahlah, tapi kalau orang tak suka apa nak buat," katanya ketika ditemui pemberita semasa melawat Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di Dewan Pameran Mahsuri Antarabangsa (MIEC) di Langkawi hari ini, seperti yang dipetik oleh BERNAMA.


Dan jika referendum diadakan, adakah suara yang menyokong  kepulangan Chin Peng  pulang ke Malaysia yang akan menang atau suara yang menentangnya yang akan menang?


Saya sendiri tidak pasti siapa yang akan menang, tapi saya yakin rakyat Malaysia telah semakin cerdik dan tidak akan membuat keputusan mengikut emosi. 


Tapi dalam soal referendum  terhadap kepulangan Chin Peng ini, saya tertarik kepada tinjauan mStar yang mendapati 44.2% tidak bersetuju Chin Peng pulang, manakala 55.8% lagi bersetuju Chin Peng pulang. Tinjauan mStar ini mungkin tidak menggambarkan keseluruhan suara hati nurani rakyat Malaysia, tapi itulah antara keputusan pendapat ramai yang ada dalam rekod kita.

~ pendikar gunung kriang

1 comment:

armouris said...

Rahsia awet muda Tun Dr. Mahathir? - Rahsia Muda Dr. Mahathir

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.