Friday, December 18, 2009

Bola & Malam Malang Untuk Pahala




Bukan hendak menuduh sesiapa, kerana mungkin saya tidak nampak apa yang sebenarnya berlaku di atas sejadah. Lagi pun ada orang kata urusan dengan Allah adalah hak peribadi. Lain orang lain kuburnya, so, jagalah kubur sendiri. Jika dia hendak solat atau tak solat dia punya pasallah. Jika dia hendak tinggalkan solat dengan niat untuk qadha kemudiannya pun, dia punya pasallah.


Saya hendak tulis hal ini malam tadi lagi. tapi rumah tidak ada letrik - blackout - dari jam 9.30 hingga hampir tengah malam. Jadi terpaksa simpan apa yang terpendam itu hingga hari ini. Saya tahu petang tadi hingga lepas Maghrib ramai orang berada di depan TV, sama ada di rumah atau di kedai makan atau tempat-tempat lain yang disediakan TV untuk menonton siaran langsung bolasepak SEA. Saya tahu ramai yang seronok kerana akhirnya penantian 20 tahun pasukan kebangsaan kita berakhir selepas  membenamkan Vietnam 1-0. Saya juga gembira, kerana pemain-pemnain bola kita melakukan sesuatu yang sekaligus berjaya menutup mulut celupar (orang Kedah kata mulut hebeaq) jurulatih Vietnam bangsa Portugal yang menghina keupayaan negara kita itu. Padan Mat Salih tu!!



Petang kelmarin saya pun tengok bola di rumah juga, tapi setakat separuh masa pertama saja. Lepas itu saya bergegas ke terminal feri Kuala Kedah untuk menjemput isteri yang pulang dari Langkawi. Sempat solat Maghrib di Masjid India Kuala Kedah. Saya nampak ramai juga jemaah yang lepas solat keluar masjid tergesa-gesa sambil mulut menyebut,"Nak tengok bola!"


Tapi tak apalah, walaupun tak sempat menghabiskan wirid, sekurang-kurangnya depa solat. Yang di kedai, di restoran, di pasar malam (ada peniaga yang letakkan TV untuk kemudahan pengunjung pasar malam) dan lain-lain, mungkin ada yang terlepas solat Maghrib kerana bola. Bukan andaian, tapi saya hampir yakin ramai yang terlepas solat, kerana ketika melalui pasar malam di Kuala Kedah dan terpaksa memperlahankan kenderaan, saya sempat menjeling wajah-wajah penuh khusyuk di depan TV yang semuanya Melayu. Dan dalam perjalanan balik ke Alor Setar, saya singgah di pasar malam yang sama  untuk beli juadah makan malam dan ada wajah-wajah yang saya ingati menonton bola tadi, masih di situ. Lepas perlawanan tamat mereka masih tunggu untuk melihat episod seterusnya - penyampaian piala. Dalam hati saya berkata: depa qadha di rumah kot lepas ini. 

Tapi apa nak kata, itulah wajah orang kita. Malam gemilang untuk bola, malam malang untuk memperoleh secebis pahala. Alahai.....


~ pendikar gunung kriang

1 comment:

armouris said...

tahniah Malaysia!! hati-hati jangan tercedera semasa bermain bola sepak - Kecederaan/Kematian di Padang Bola Sepak

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.