Saturday, December 26, 2009

MP BN dan PR Juga Bertanggung Jawab Terhadap Kematian Itu!!




Awal pagi tadi satu tragedi menyayat hati berlaku di km 272.8 lebuhraya PLUS berdekatan tol Ipoh Selatan apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan menyebabkan 10 penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah

Setiap tahun jalanraya kita mengorbankan ribuan nyawa akibat kemalangan sebegitu. Pagi tadi saja 10 orang maut. Itu jumlah yang meninggal. Jumlah yang menanggung kesengsaraan akibat kematian 10 orang itu tidak terhitung. Setiap mereka yang meninggal dunia mempunyai anak, isteri, ibu bapa dan adik beradik yang perlu ditanggung kehidupan. Kini mereka pergi selamanya meninggalkan bersama harapan masa depan keluarga yang hancur musnah dan perlu dibangun semula untuk meneruskan kehidupan.

Salah siapa bila berlaku kemalangan ngeri sebegini? Salah siapa yang menyebabkan wanita menjadi janda, lelaki menjadi duda dan anak hilang ibu bapa tempatnya bergantung harap? Menuding jari sesama agensi- JKR salahkan JPJ, JPJ salahkan Polis, Polis salahkan PLUS; sampai bila masalah ini akan selesai cuma dengan salah menyalah sesama sendiri?


Kita ada pelbagai akta, pelbagai peraturan, tetapi banyak yang ada itu tidak berkesan. Jika akta dan peraturan itu cuma selembar kertas yang gagal berfungsi, apa gunanya?


Kita ada sistem, kita ada jentera pentadbiran, kita ada pegawai kerajaan, kita ada Ahli Parlimen yang perlu bekerjasama membina sebuah negara untuk kesejahteraan rakyat. Tapi ada pegawai kerajaan yang hanya melihat tugasnya sebagai pekerja makan gaji, ada pula yang sibuk mencari populariti menerusi persatuan, ada yang gila mengumpul harta dengan menyisihkan etika dan menghalalkan rasuah. Ahli Parlimen pula ramai yang sibuk berpolitik, sibuk memancing pengikut supaya  nama terus kekal dalam PRU ke-13, sibuk dengan soal-soal peribadi hingga tiada banyak masa untuk meneliti draf pindaan akta dan peraturan, malah tiada masa untuk membahaskannya di Parlimen, hatta hendak hadir di Dewan Rakyat pun payah. Akibatnya akta dan peraturan yang tidak sempurna, carik di sana sini diluluskan Parlimen tanpa perbahasan yang serius. 


Dan yang menjadi mangsa kepada kebobrokan sistem kita itu ialah rakyat dan pengguna. Dan hari ini 10 orang maut akibat kelemahan sistem kita - kelemahan jentera pentadbiran, kelemahan pegawai kerajaan, kelemahan Ahli Parlimen BN dan PR serta kelemahan kita sendiri sebagai rakyat yang tidak berupaya merobah sistem yang ada.


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.