Tuesday, December 15, 2009

Umno Akan Panggil Barua dan Pembelotkah Kepada Najib Lepas Ini?





Al-kisah, maka PM 1Malaysia semalam meminta rakyat Malaysia, terutama dari kaum Melayu perlu mempelajari bahasa Mandarin memandangkan ia kini menjadi bahasa yang cukup penting di dunia. PM berkata dengan mempelajari satu lagi bahasa, ia akan membolehkan seseorang itu memahami dengan lebih jelas mengenai orang lain yang mempunyai latar belakang yang berbeza, sekaligus membolehkan mereka lebih menghormati antara satu sama lain.  "Hanya apabila kita menghormati antara satu sama lain, baru kita boleh jadi rakyat Malaysia yang sebenar," katanya seperti yang dipetik oleh Bernama.

Saya setuju dengan apa  yang PM saya katakan itu. Alangkah eloknya jika seruan ini dikemandangkan hari-hari sejak negara merdeka lebih setengah abad yang lalu. Lebih elok, jika mata pelajaran Mandarin asas dan Tamil asas turut diajar di sekolah kebangsaan. Setidak-tidaknya orang Melayu  tidak mudah dikelentong masa beli barang di kedai Cina atau kedai makan Mamak.


Tapi satu fakta yang kita perlu tahu, bukan semua orang Cina yang faham Bahasa Mandarin. Ramai generasi tua Cina yang tidak faham Bahasa Mandarin, kerana bahasa itu hanya diajar di Sekolah Rendah Cina dan bukan satu bahasa pertuturan harian masyarakat itu seperti Hokkien, Hakka atau Cantonese. Generasi tua yang berpendidikan Inggeris atau tidak pernah bersekolah langsung, tidak faham Bahasa Mandarin. Saya ada satu pengalaman lucu ketika belajar di sebuah IPTA dahulu di mana saya mengambil Bahasa Mandarin sebagai salah satu kertas pengajian di tahun pertama. Kerana minat yang tinggi, saya dapat kelulusan yang agak baik dalam Bahasa Mandarin, dan sehingga kini jika menonton berita Mandarin, saya boleh  faham lebih kurang intipati berita yang disiarkan. 
Suatu hari, ketika musim cuti IPTA itu, saya pulang ke kampung asal saya di Pulau Pinang. Kononnya hendak tunjuk terror barbahasa Mandarin, saya pun bertutur dalam Bahasa Mandarin dengan pekedai yang merupakan seorang apek tua. Tapi apek itu hanya memandang saya dan lama lepas itu baru dia berkata, "Cakap Melayulah...lagi senaang!". Lepas itu baru saya tahu ramai pekedai di situ tidak faham atau tidak berapa menguasai Bahasa Mandarin. Mereka lebih respect kita jika dapat bercakap dalam Bahasa Hokkien yang mereka pertuturkan seharian.


Tapi apa pun, apa yang dikatakan oleh Najib bahawa jika kita memahami Bahasa Cina  (Bahasa Tamil juga), maka kita akan lebih memahami budaya kaum itu dan lebih menghormati mereka dan mereka juga akan menghormati kita, ada benarnya. Sebab itulah YAB Nizar Jamaludin dihormati oleh masyarakat Cina, kerana dia dapat menguasai Bahasa Cina dan justru memahami budaya mereka. Begitu juga dengan Salehuddin Ayub. Malangnya orang-orang satu parti dengan Najib yang berjiwa rasis  itu tidak menyenangi Nizar dan menuduhnya sebagai 'barua' dan 'pembelot'   Melayu kerana dia dapat diterima oleh orang Cina.


Alangkah baiknya jika seruan Najib ini difahami oleh puak-puak rasis dalam Umno itu. Tidaklah lagi mereka menuduh orang Melayu lain 'barua dan pembelot ' Melayu semata-mata kerana orang itu memahami  budaya kaum lain dan diterima oleh mereka. Jika mereka faham mesej di sebalik ucapan Najib itu, mereka juga tidak akan memanggil 'barua dan pembelot' untuk Najib kerana meminta orang Melayu meghormati kaum-kaum lain dan memahami budaya mereka.


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.