Tuesday, January 26, 2010

Awat Zul Kulim Semakin Kebudak-Budakan?


Salah satu perangai semula jadi budak-budak kecil ialah kalau dia dihukum, dia mahu orang lain pun akan dikenakan hukuman yang sama juga. Dia tak berpuas hati jika dia seorang saja yang dihukum.



Jika di rumah anda berleter dengan anak sulung yang suka buang sampah merata-rata,  dia bukan hendak minta maaf sambil berjanji untuk tidak mengulanginya. Sebaliknya dia akan berkata, "Alah...Angah dan Usu pun buang sampah merata-rata juga!"



Itulah budak-budak, kita tegur dia, tapi dia bercakap mengenai orang lain pula. Tak relevan langsung!!


Tapi itu cerita budak-budak. Malaysian Insider sebentar tadi melaporkan ada seorang bapa budak yang perangainya macam budak-budak, malah lebih teruk daripada  budak-budak.



Ia mengenai Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, yang dirujuk oleh  pucuk kepimpinan PKR kepada lembaga disiplin. Apa komennya bila ditanya mengenai keputusan parti terhadapnya? 

Jawapannya macam budak-budak belum bersunat: Zulkifli mahu PAS mengambil tindakan yang serupa (merujuk ke lembaga disiplin)  terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang mengesyorkan agar Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dikaji semula.

“Adalah tidak adil mengenakan tindakan ini ke atas saya seorang sahaja. PAS juga perlu mengambil tindakan seperti ini ke atas Khalid", kata budak berketayap itu.

Zul Kulim ni mungkin terlupa Khalid adalah ahli Pas. Hal Khalid adalah hal rumah tangga Pas. Apa hak Zul nak minta Pas menghukum ahlinya? Bagaimana seorang yang berlatar belakangkan peguam sampai terfikir hujah sedangkal itu?


Satu ketika dulu saya sangat kagum dengan Zul Kulim ini, terutama di era reformasi, di mana dia adalah salah seorang peguam terkemuka yang membela kes Anwar. Selain dari itu Zul juga terkenal dengan kelantangannya menentang ketidak upayaan pemerintah menghadapi isu murtad orang-orang Melayu.


Namun perkembangan mutakhir ini menyaksikan Zul seperti manusia yang semakin kehilangan arah dan makin merapu ideanya. Tindak tanduknya semakin menjengkelkan. 

Dan apabila dia sudah berperangai semakin mirip keanak-anakan, rasa hormat terhadapnya pun semakin luntur dan hilang.


http://pendikargunung.blogspot.com/


~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.