Wednesday, January 27, 2010

Berita Buruk Untuk Penjawat Awam Sudah Sampai




Mulai saat ini penjawat awam pasti tak boleh duduk senang lagi. Dulu depa ingat kerja dengan kerajaan ada security - rawatan kesihatan dan ubat percuma, dapat kuaters percuma, pinjaman mudah untuk membeli  kenderaan, rumah, komputer dan lain-lain, ada KWSP, disediakan pencen dan ganjaran persaraan dan yang paling menarik kerja selamat, tidak boleh dibuang kerja, kecuali jika terlibat dengan jenayah dan masalah disiplin yang sangat-sangat teruk.

Tapi semua mimpi indah itu mungkin akan berakhir tidak lama lagi. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengumumkan kelmarin kerajaan sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan sistem  sistem mengambil dan membuang pekerja yang diguna pakai oleh sektor swasta tidak loama lagi. 

Ini bermakna penjawat awam yang gagal menunjukkan prestasi  paling terbaik mungkin akan ditamatkan perkhidmatan serta merta. Tidak seperti sekarang, mereka yang buat kerja cincai juga boleh kerja hingga pencen. Jika dihukum pun hanya menerusi pemberian gaji statik, tapi tiap bulan masih juga dapat gaji, cuma tiada pergerakan gaji tahunan. 

Jika kata-kata Dr Koh ini dilaksanakan, pemberhentian kerja penjawat awam tidak perlu lagi  melalui pelbagai  jawatankuasa disiplin peringkat jabatan, peringkat kementerian dan jawankuasa rayuan untuk membolehkan mereka dibuang kerja. Juga mungkin tidak perlu lagi tindakan tatatertib, termasuk buang kerja,  melalui pelbagai prosedur yang begitu rumit dan cermat yang dipraktikkan sebelum ini bagi mengelakkkan ada yang teraniaya.

Mengapa kerajaan hendak mengguna pakai prosedur pembuangan kerja sektor swasta untuk penjawat awam? Mungkin salah satu faktornya ialah kedudukan kewangan negara kini yang berada di tahap yang sangat menyesakkan nafas. Kerana kesuntukan wanglah maka baru-baru ini tersebar berita beberapa elaun mungkin ditarik balik. Walaupun ia dinafikan, tapi bukan rahsia lagi bahawa semua kementerian dan jabatan di peringkat pusat dan negeri sedang menghadapi masalah kewangan yang serius. Peruntukan tahun baru 2010 banyak yang dipotong, hingga ramai Ketua Jabatan yang pening kepala. Bila saya ke hospital kerajaan  baru-baru ini terdengar bualan pembantu farmasi mengenai pesakit-pesakit yang merungut kerana ubat yang biasa mereka gunakan diganti dengan ubat lain yang lebih murah. Guru Besar sekolah anak saya pula merungut tentang perbelanjaan utiliti (air dan api) yang dulunya ditanggung oleh Jabatan Pelajaran, kini terpaksa menggunakan peruntukan sekolah yang juga banyak dipotong dan dirincik-rincik di sana sini.


Kini negara mempunyai kira-kira 1.2 juta penjawat awam. Mungkin selepas ini ramai yang akan diberhentikan kerja mengikut sistem pemberhentian kerja sukarela (VSS) yang diamalkan oleh sektor swasta sekarang. Dengan itu kerajaan dapat menjimatkan wang untuk perkara lain yang lebih berfaedah termasuk menaja  Team Silver Arrow dengan pemandu sensasi Michael Schumacher menerusi peruntukan Petronas.



Kepada penjawat awam, tingkatkan prestasi ke peringkat paling wahid atau anda akan dibuang kerja. Tapi jika anda bekerja baik pun, ia tidak menjamin 100% masa depan anda. 

Berita buruk dari menteri sudah sampai, bersedialah.




~pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.