Wednesday, January 20, 2010

Bila Mata Hanya Nampak Wang, Otak Disembunyi Celah Kangkang!!

Saya sangat kasihan dengan nasib yang menimpa seorang wanita penjaga parkir kereta di pusat beli belah KL Central  seperti yang disiarkan oleh beberapa akhbar hari ini. Halimaton Din, 41 tahun, telah diisytiharkan muflis oleh mahkamah kelmarin kerana dikatakan gagal membayar balik hutang kereta Toyota Estima 2.4 berjumlah RM167,170.11 kepada Bank Muamalat, walaupun kenderaan MPV itu sebenarnya tidak pernah dimilikinya.


Berapa sangatlah pendapatan penjaga parkir kereta seperti suri rumah yang mempunyai lima anak itu untuk memiliki sebuah kereta mewah? Bagaimana hendak membayar ansuran bulanan sekitar RM3,000 sebulan itu jika pendapatannya sendiri pun tidak sampai RM1,000 sebulan?


Semuanya berlaku gara-gara kad pengenalan Halimaton hilang pada penghujung tahun 2005 dahulu ketika dia mengunjungi pusat beli belah Mid Valley, tapi kemudian dikembalikan semula oleh 'seseorang' melalui pos sebulan selepas kehilangannya. Mungkin pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyalah gunakan kad pengenalan Halimaton untuk membuat pinjaman di Bank Muamalat bagi memiliki kenderaan mewah MPV itu.


Halimaton yang merasa dirinya teraniaya sebelum ini pernah cuba mendapatkan bantuan peguam bagi mewakilinya di mahkamah, tetapi wang perkhidmatan guaman RM400 yang dikenakan oleh peguam berkenaan tidak mampu dibayar oleh orang kecil sepertinya. Saya tidak tahu sama ada suri rumah yang berpendidikan rendah ini  sedar  bahawa di negara ini mempunyai Biro Bantuan Guaman yang akan menyediakan khidmat peguam percuma untuk orang berpendapatan rendah sepertinya. Tapi saya kira dia pasti tidak tahu kewujudan Biro itu, jika tahu pasti Halimaton tidak pergi ke mahkamah bersendirian  tanpa peguam kelmarin.



Dan kini, Halimaton diisytiharkan muflis oleh mahkamah kerana gagal membayar hutang kepada Bank Muamalat. Sebagai seorang muflis, Halimaton pasti terpaksa melalui banyak pengalaman ngeri dalam hidupnya selepas ini.



Nampaknya Halimaton telah menjadi mangsa kepada sistem kewangan dan penghakiman negara ini yang hanya melihat sesuatu itu dari segi fakta untung-rugi sahaja. Bank Muamalat yang kononnya bersendikan syariah itu seperti bank komersil lain hanya tahu mahu untung saja. Pihak pengurusan bank mungkin tidak pernah menyiasat sama ada munasabah atau tidak seorang penjaga parkir kereta yang pendapatannya tidak sampai RM1,000 sebulan itu mampu memiliki kereta mewah. Apa yang mereka tahu bila hutang ia perlu dibayar balik dan jika gagal bayar balik si-berhutang perlu disengsarakan. Tidak kisahlah sama ada orang itu sebenarnya buat atau tidak perkara itu, yang penting prosedur tetap prosedur, duit mesti dapat balik! 


Begitu juga dengan mahkamah, terus saja isytihar seseorang itu muflis tanpa menyiasat asal usul yang menjadikan ia begitu. Jika melibatkan orang besar dan VVIP,  kesnya boleh pula ditangguhkan berpuluh kali, tapi bila membabitkan orang kecil seperti Halimaton, masuk saja mahkamah terus dapat anugerah muflis!


Begitulah malangnya nasib orang kecil seperti Halimaton. Kes seperti Halimaton tentu tidak sampai ke peringkat diisytiharkan muflis jika sistem kewangan dan penghakiman kita menggunakan sedikit pertimbangan. Itulah yang terjadi bila mata mereka yang berkuasa hanya nampak wang ringgit saja, sedang otak  disembunyikan di celah kangkang!!




~ pendikar gunung kriang

1 comment:

toyu said...

Salam.

Saya setuju sungguh dgn tuan PGK...

Depa hat yg dikatakan baguih tu, tera mcm mcm, pandaicekap cekap mcm mcm, sistem yg canggih manggih, laporanlaporan yg hebat hebat kpd pihak penguruan pun dok kena muhung juga. Tu pun depa takmo ngaku kata depa kena muhung... caihhh....

Dan seterusnya, utk elakkan dari depa kena 'boh' balik depa kona pi kot lain.... caihhhh.... ada ka lagu tu...

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.