Sunday, January 31, 2010

BN Akan Dapat Kembali Majoriti Dua Pertiga Sekejap Lagi?

Kelmarin Pengerusi PKR Pulau Pinang, Mansor Othman berkata 3 hingga 4 Ahli Parlimen PKR sedang menimbang untuk menyertai BN. Tapi hari ini desas desus tersebar pula angkanya meningkat - antara 7 hingga 10 ahli Parlimen PKR  dari Pulau Pinang, Kedah dan Selangor akan menyertai BN!  

Pengarah Pilihanraya PKR, Fuziah Saleh tidak menolak kemungkinan itu, dan berkata mereka ingin keluar PKR dipercayai ada kaitan dengan langkah parti itu yang mula menilai prestasi wakil rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13. Mereka didakwa kemungkinan bimbang tidak akan dipilih semula sebagai calon, justru mencari saluran lain – menyertai parti lain.

Jika hingga 10 Ahli Parlimen menyertai BN, ia sekaligus akan  membantu BN kembali memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Bagi saya, jika semua yang diberitakan itu benar, hingga 10 Ahli Parlimen yang merasa diri mereka tidak berguna akan keluar PKR, ia satu berita paling buruk di pagi secerah ini. Ia berita yang mengecewakan ramai orang. Tapi jika mereka benar-benar keluar nanti, mereka keluar bersama satu rekod yang sungguh buruk. Mereka keluar kerana sedar mereka ahli Parlimen yang  tidak berguna  kepada pengundi yang memilih mereka. Mereka telah memusnahkan harapan pengundi. Mereka keluar hanya kerana takut hilang jawatan, ia sesuatu yang sungguh teruk untuk satu jawatan yang digelar Yang Berhormat tapi tak layak dihormati jika itu alasannya!

Saya harap berita itu tidak benar. Saya harap PR akan terus menafikan majoriti BN di Parlimen. Saya harap ahli Yang Berhormat dari PKR  ini masih layak dihormati.

~ pendikar gunung kriang

No comments:

Post a Comment

Pengendali blog tidak bertanggung jawab atas komen yang disampaikan. Komen yang disampaikan adalah tanggung jawab anda sendiri.